Ustaz Ismail Mina – Fahaman Pluralisme Agama, secara relatifnya, tidak begitu sangat berbahaya, jika pengamalnya tidak mempunyai cita-cita politik atau tidak mempunyai kuasa politik. Akan tetapi, marabahaya menunggu untuk menimpa masyarakat Islam dengan parah, jika seorang pluralis mempunyai kuasa politik.
Akbar adalah contoh yang terbaik. Ia telah melaksanakan keyakinan fahamannya dalam era pemerintahannya dengan sempurna melalui konsep Din-i-Ilahi.
Masyarakat Moghul menderita krisis Aqidah dan Syariah yang amat parah, kira-kira 100 tahun. Mujur, mereka dapat dipulihkan dengan rahmat Allah, oleh cicit Akbar bernama Auranzeb (m: 1707M), seorang pemerintah soleh yang menghapuskan ajaran Din-i-Ilahi-Pluralisme Agama ini dan digantikan dengan ajaran Islam sebenar.
Auranzeb melaksanakan Syariat Islam dalam pemerintahannya dan terkenal dengan Fatwa Alamgirinya. Itulah daya kuasa politik!
Dalam keadaan tiada kuasa politik yang solid, golongan Pluralis Malaysia dan Indonesia sudah pun giat membuat program yang berbagai-bagai untuk merealisasikan fahaman Liberalisme-Pluralisme mereka.
Pluralis Melayu Malaysia bukan sahaja setakat membuat program wacana-ceramah, tetapi sudah ada dari mereka yang mempraktikan fahaman Pluralisme Agama ini.
Ada pemimpin besar mereka yang sudah tidak ada rasa berdosa memakan daging binatang sembelihan orang bukan Islam, padahal umat Islam Malaysia sedang bergelut dengan status halal sembelihan yang ada di pasaran – mereka ada berkata: sembelihan dalam pinggan (!); membenarkan orang bukan Islam solat berjamaah; membongkok ke paras ruku’ kepada mayat seorang bukan Islam yang mati membunuh diri, sebagai ‘penghormatan terakhir’; mengumpan orang-orang bukan Islam dengan mengatakan bahawa tuhan (perhatikan ejaan tuhan dengan huruf ‘t’ kecil) sembahan orang bukan Islam sama dengan Tuhan orang Islam; memperjuangkan kewajaran menggunakan kalimah Allah kepada orang bukan Islam sehingga bersungguh-sungguh mengumpul intelektual dan aktivis Islam dan mengupayakan perjumpaan di rumahnya untuk membuat ijma’ yang gagal itu, sehingga tidak mempedulikan isu seorang Islam yang mengaku secara terbuka terlibat dalam aktiviti homoseksual.
Kesungguhan mereka ini ternyata apabila mereka menerbitkan buku yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada orang bukan Islam. Akibat dari mewajarkan penggunaan kalimah Allah ini, sebuah majalah Kristian,
Christianity Today, keluaran Februari 2011, mendedahkan bahawa dengan menggunakan
religious vocabulary familiar to Muslims, maka: many thounsands of Muslims in this nation alone, then, had found faith in Jesus (mereka tidak nyatakan negara mana).
Saya sebutkan contoh-contoh ini bukan sahaja untuk melihat dari aspek fahaman Pluralisme Agama semata-mata, tetapi wajar dilihat dari aspek agenda dan strategi politik golongan Pluralis Agama ini.
Di Malaysia, Pluralis Anwar Ibrahim dan Khalid Jaafar aktif dalam sebuah parti politik yang sama.
Di Indonesia, Dr. Ulil Abshar Abdalla, seorang tokoh besar malah pelopor Liberalisme-Pluralisme Agama menjawat jawatan penting sebagai Ketua Unit Strategi Dan Dasar dalam Parti Demokrat (Parti Demokrat adalah komponen utama dalam Kerajaan Pusat Indonesia sekarang).
Beliau mempunyai hubungan baik malah menjadi rujukan utama Pluralis Malaysia. Ulil mengatakan tidak ada hukum Tuhan dalam kes pencurian, jual beli, pemerintahan dan pernikahan, malah larangan kahwin antara lelaki non-Muslim dengan wanita Muslim sudah tidak relevan lagi.
Tambahnya lagi, Rasulullah SAW adalah tokoh historis yang wajib dikaji dengan kritis kerana sebagai manusia, dia juga banyak kekurangan; semua agama sama, semuanya menuju kebenaran; Islam bukan yang paling benar dan lain-lain lagi.
Oleh kerana pandangan begini, beliau telah divonis mati oleh Forum Ulama Umat Islam Indonesia (FUUI) pada tahun 2002.(30)
Usaha perlu digerakkan segera dan seoptima mungkin secara tersusun bagi menyekat golongan Pluralis ini agar tiada tempat dalam koridor kekuasaan di Malaysia dan Indonesia bahkan di seluruh alam semesta.
WACANA KEILMUAN DAN PLURALISME AGAMA
Dialog Peradaban. Dialog Keamanan. Wacana Keilmuan. Itu semua tidak perlu kepada pendekatan Pluralisme Agama!
Kami mempunyai sedikit pengalaman mengenai ‘dialog agama’.
Pada tahun 1971 M, kami aktivis Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) pada masa itu, telah mengadakan forum antara agama. Yang hadir ialah dari Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.
Islam diwakili oleh (Dr) Uthman El-Muhammady, yang ketika itu merupakan pensyarah di universiti tersebut. Tanpa dolak-dalik, apologetik dan hina diri, (Dr) Uthman El-Muhammady terus-terang menerangkan ajaran dan doktrin Islam.
Beliau berjaya menghuraikan doktrin Islam yang sempurna itu dengan cara yang sempurna pula dan berjaya menerang dan menonjolkan superioriti dan izzah Islam.
Paling mencengangkan ialah beliau mendapat tahniah dari wakil Hindu. (Dr) Uthman El-Muhammady tidak perlu menjadi seorang Pluralis!
Di bahagian lain dunia, Maulana Abul Hasan Ali al-Nadvi rh berdepan secara langsung dengan intelektual Hindu di India dan kini diteruskan oleh Dr. Zakir Naik; Ahmad Deedat, yang terkenal petah berdebat dengan penganut Kristian, berhujah kukuh ke atas mereka terutama di Afrika Selatan dan memukul mati hujah lawan berdasarkan kitab mereka sendiri (!); para da’i-intelektual Indonesia terutama dari Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia, cekal menghadapi golongan Kristian dan lain-lain; di Barat, Muhammad Hamidullah rh dan Hamza Yusuf Hanson di Amerika Syarikat, dan ramai lagi, semuanya ini terlibat di barisan hadapan menghadapi berbagai jenis manusia bukan Islam dari bermacam-macam aliran pemikiran dan tidak seorang pun dari mereka yang terhakis Islamnya, walau sekelumit, baik dalam pemikiran, akidah, peribadi, kehidupan dan akhlak.
Mereka semua ini berjaya menyatakan al-Islam ya’lu dan menonjolkan ‘izzah Mukminin dan tidak masuk lubang Pluralisme Agama seperti Asghar Ali Engineer, Mukti Ali, Nurcholish, Djohan, Anwar dan sebagainya. Na’uzubillah.
Golongan Pluralis ini mendakwa, walaupun mereka berdialog menggunakan pendekatan Pluralisme Agama dengan bukan Islam, namun, iman dan pegangan Islam mereka tidak sedikit pun goyah dan terhakis, bahkan tetap kukuh.
Apakah dengan berkata agama Islam sama dengan agama lain, tidak tergelincir akidah? Apakah dengan melarang orang dari mengatakan akidah agama selain Islam tidak benar, tidak terkeluar dari akidah Islam?
Pada hal Allah SWT berfirman: Dan sesiapa yang mencari agama, selain Islam sebagai agama, maka tidak diterima sama sekali darinya. (31)
Maka yang perlu bagi golongan ini ialah meneliti ulang ajaran akidah dan syariat Islam yang mereka pegang itu dan rujuk kepada sumber yang muktabar, melalui akal Islamiy.
Sebenarnya golongan Pluralisme Agama ini yang masih mengaku dirinya sebagai Islam, telah memfitnah agamanya sendiri. Mereka tidak menerangkan ajaran Islam seperti yang telah diijma’ dalam ajaran Islam, namun mendakwa ia adalah ajaran Islam.
Hakikatnya, mereka telah meleburkan Islam yang bersifat sibghah Allah itu, ke dalam sibghah al-syayatin, yang hasilnya, terwarnalah orang yang masih mengaku Islam dengan berbagai warna dan wajah. Dalam dirinya itu, terdapatlah wajah Sikh, Yahudi, Shinto, Confucious, Kristian dan sebagainya.
Inilah wajah dan sifat Islam yang mereka kehendaki. Jika disusur-galurkan secara cermat dan mendalam, akan bertemulah punca sebenar, bahawa mentor mereka yang sesungguhnya ialah Yahudi-Kristian yang tidak pernah hapus-hilang sifat dengki dan dendam kesumat yang terbit dari hati jahat mereka kepada ajaran dan umat Islam.
Ini adalah kerana Nabi SAW yang mulia telah menolak mentah-mentah ajaran agama mereka di depan muka nenek moyang mereka di Madinah dahulu.
Wacana dengan pendekatan sebegini, menyebabkan orang bukan Islam tidak akan mendapat apa-apa yang murni dan benar, kerana awal-awal lagi mereka meletakkan Islam sama benar dan sama tara dengan agama lain.
Justeru, orang yang bukan Islam ini, tidak perlu memeluk agama Islam kerana agama anutan mereka sekarang ini pun sudah benar dan tidak ada apa-apa perbezaan akidah. Paling tidak, mereka akan menganut agama baru iaitu Pluralisme Agama.
Umat Islam perlu sedar bahawa Allah telah memberitahu kita bahawa orang-orang Yahudi dan Nasara-Kristian tidak akan berhenti bekerja untuk memesongkan akidah umat Islam. Untuk tujuan tersebut, mereka menggunakan berbagai strategi.
Dulu mereka menggunakan sarjana mereka sendiri yang bukan Islam itu, membuat tahrif-perubahan dalam pemahaman Islam melalui golongan apa yang disebut sebagai Orientalis.
Kini mereka mengubah strategi dengan menggunakan sarjana dan ilmuan Islam sendiri atas nama Transcendentalisme-Perennialisme-Pluralisme. Mereka menganjurkan wacana-wacana dan dialog-dialog atas nama keilmuan dan kesarjanaan.
Selain dari itu, golongan Yahudi ini menggunakan organisasi dan badan-badan NGO milik mereka secara langsung seperti Lions Club, Rotary Club dan sebagainya.
Tetapi setelah mereka menyedari bahawa masyarakat Islam terlalu kritis terhadap organisasi-organisasi ini, maka sekarang ini, mereka menggunakan individu Islam sendiri untuk menyampaikan hasrat dan rancangan jahat mereka.
Untuk tujuan tersebut, mereka akan mencurahkan dana yang tidak terhingga untuk membiayai dialog antara agama yang diwakili oleh orang yang mereka pilih dari kalangan orang Islam Liberalis-Pluralis dan membiayai penerbitan buku-buku yang ditulis oleh orang Islam jenis ini.
Golongan inilah yang merupakan agen yang lebih berkesan dalam membuat perubahan akidah dan syariah umat Islam.
Sebab itulah golongan ini melaungkan slogan agenda perubahan, Hak Asasi Manusia (HAM), demokrasi, ekualiti, kebebasan,
good governance dan sebagainya.
Dalam masyarakat Islam, yang pada hakikatnya jika diteliti secara mendalam, golongan ini, sebenarnya adalah propagandis Liberalisme-Pluralisme Agama.
Secara kasar terdapat dua bentuk program keilmuan. Pertama, melalui dialog antara agama dan kedua melalui penulisan.
Program yang dinamakan dialog antara agama itu sebenarnya dialog, tetapi program mendengar keputusan yang telah dibuat yang bertujuan untuk menjahanamkan umat Islam. Ia dikemukakan kepada sidang semata-mata untuk diiktiraf (
endorse). Program tajaan Rand Corporation adalah salah satu contoh terbaik. (32)
Melalui tulisan pula, mereka membiayai sepenuhnya penerbitan puluhan buku-buku IKD di Malaysia dan di Indonesia melalui JIL dan lain-lain.
SLOGAN PERUBAHAN DAN PLURALISME AGAMA
Seperti yang telah disebut, golongan Pluralis Malaysia ini, di merata tempat melaungkan slogan ‘perubahan’. Masyarakat Islam perlu bertanya: apa sebenarnya perubahan yang mereka maksudkan itu ?
Dari ucapan dan aktiviti golongan ini, ternyata bahawa pada hakikatnya, slogan itu bukan bermakna perubahan politik atau ekonomi. Secara pasti yang mereka maksudkan ialah: Perubahan
structural dan
doctrinal dalam agama Islam!
Cuba perhatikan artikel Khalid Jaafar yang bertajuk Kebebasan dan Pluralisme di Malaysia Baru, dalam Kerohanian dan Pencerahan. Dari tajuk artikel ini pun sudah dapat difahami bahawa golongan Pluralis ini atas nama perubahan, mahu merubah struktur dan doktrin agama Islam yang melibatkan akidah, syariah, sistem akhlak, sistem sosial dan sebagainya ke dalam satu entiti baru yang bernama Pluralisme Agama.
Untuk tujuan itu, mereka menerbitkan buku-buku seperti Metafizik Dan Kosmopolitanisme dan Kerohanian Dan Pencerahan, karangan Khalid Jaafar; Suara Orang Buangan oleh Nasr Hamid Abu Zaid yang dikafirkan oleh ulama Azhar: buku-buku mengenai Humanisme; Pergolakan Pemikiran Islam oleh Ahmad Wahib yang penuh dengan kekufuran itu, 2007; buku Kahwin Campur Antara Muslim Dengan bukan Muslim, 2006, yang mana mewajarkan kahwin campur antara Muslim dan Non Muslim; buku Islam dan Pluralisme, 2006, yang memuatkan tulisan John Hick dan lain-lain, yang menekankan betapa pentingnya akidah kesetaraan agama.
Mereka juga menerbitkan huku Hayek, John Locke, Kant dan lain-lain.
Penerbitan buku-buku ini semua, pada peringkat awalnya ialah sebagai perintis jalan ke arah perubahan berfikir. Dengan perubahan cara berfikir, maka akan berlaku perubahan paradigm dalam menilai sesuatu.
Ini merupakan prasyarat utama untuk menerima isi kandungan buku tersebut seluruhnya, yang nantinya lagi akan merubah pendirian-pegangan dan akhirnya menjadi keyakinan dalam diri individu tersebut.
Dengan cara ini tercapailah slogan perubahan itu. Strategi pre-emptif ini adalah penting. Kerana, sekiranya mereka mempunyai kesempatan berada di koridor kuasa, maka tiada halangan yang berat untuk merealisasikan doktrin kufur ini, inilah perubahan yang mereka mahukan.
Di Indonesia, atas nama perubahan, mereka merubah hukum Islam yang dikatakan mereka sebagai kuno itu kepada hukum yang moden.
Maka, mereka pun menghalalkan kahwin campur antara penganut Islam dengan yang bukan Islam; membenarkan berkahwin sesama jenis dan menghalalkan homoseksual dan lesbian.
Di sana sudah terbit buku bertajuk, ‘Indahnya Kahwin Sesama Jenis’. Antara cadangan aktivis homoseksual ini ialah menafsir semula kisah umat Nabi Luth as dalam al-Quran supaya sesuai dengan kehendak mereka yang cenderung kepada homoseksual itu.
Menurut Dr. Siti Musdah, seorang tokoh Pluralisme Agama Indonesia yang juga pengarang ‘Ensiklopedia Hukum Islam’ berkata, tidak ada alasan menolak homoseksual.
Di Malaysia, kita sudah pun dengar pengakuan terbuka dari orang yang mengaku Islam mengamalkan aktiviti homoseksual. Yang tidak mengaku secara terbuka, tidak tahu pula berapa ramai.
Saya percaya, jika tersebar ‘fatwa’ dari golongan Pluralis Malaysia seperti di Indonesia itu, yang mengharuskan aktiviti homoseksual – na’uzubillah (Pluralis Malaysia sudah pun mengeluarkan fatwa harus berkahwin berbeza agama!, maka ramai yang akan berani isytihar secara terbuka telah melakukan aktiviti keji tersebut dan akan parah, jika bilangan peserta akan bertambah dan akan lebih-lebih lagi parah, jika pemimpin tertinggi negara seorang yang gian homoseksual.
Bagaimana keadaan dan kedudukan masyarakat sebegini ?
Golongan Pluralis juga telah menolak solat secara Islam dan amal ibadat yang lain, sebagai satu-satunya jalan menuju kepada Allah. Apa akan terjadi kepada agama ini yang mana solat merupakan tiangnya dan amal ibadat yang diajar Nabi SAW yang merupakan cara untuk sampai kepada Allah, telah dikeluarkan dari agama milik Allah itu sendiri?
Apa akan terjadi dalam institusi keluarga jika terdapat perkahwinan beza agama ? Orang Majusi menyembelih untuk kurban dan aqiqah, bagaimana? Bagi Pluralis, ini semua tidak mengapa.
Seperti yang saya nyatakan, bahawa agenda perubahan Pluralis Malaysia bukan bertujuan untuk membuat perubahan politik dan ekonomi ke arah yang lebih demokratik mengikut piawai demokrasi Barat yang mereka sanjungi itu.
Kalau mereka mahu membuat perubahan politik misalnya, mereka akan mulakan dari dalam parti politik yang mereka kuasai dahulu. Ya, memang mereka ada membuat perubahan dalam parti politik yang mereka kuasai tetapi ternyata bahawa perubahan yang mereka lakukan itu ternyata ke arah yang lebih tidak demokratik, penuh dengan manipulasi dan intrik diabolik.
Inilah perubahan yang dimaksudkan oleh Pluralis Melayu Malaysia: meruntuhkan sistem Islam!
SAPERE AUDE DAN PLURALISME AGAMA
‘Lebih dua dekad lalu saya cuba hayati semangat sepere aude…’ kata Anwar Ibrahim pada 3hb Februari 2008 di blognya. (33)
Apa dia sepere aude ? Sepere aude adalah bahasa Latin yang bermakna, beranilah menggunakan akal dan kefahaman sendiri.
Slogan ini disebut oleh Kant (dan lain-lain seperti Nasr) dalam tulisannya,
Was ist Aufklarung? (Apa Itu Pencerahan?).
Menghurai lanjut Kant berkata: … berupaya ataupun dapat meletakkan diri ke dalam suatu kedudukan untuk menggunakan kefahaman sendiri dengan yakin dalam hal-ehwal agama tanpa panduan orang lain…(34)
Khalid Jaafar dalam kata pengantar buku ini menulis:…membebaskan tenaga pikiran manusia…; penggunaan akal sebagai alat untuk menyoal siasat sistem politik…dan juga amalam beragama. (35)
Halangan besar untuk mencapai slogan ini seperti kata Kant: … kekurangan azam dan keberanian untuk menggunakannya tanpa panduan orang lain…
Inilah premis pemikiran Anwar Ibrahim dan IKD iaitu berani membebaskan akal dan otoriti agama Islam dan menggunakannya dengan kefahaman sendiri!
Golongan Pluralis Melayu Malaysia bersifat hipokrit dan tidak berpegang kepada slogan mereka sendiri. Di satu sisi, mereka menolak otoriti dalam Islam kerana mahu bebas berfikir dan berpendirian.
Tetapi dalam masa sama, mereka terpenjara dalam fahaman syirik orang bukan Islam seperti Hick dan Dante dan mendapat panduan dari mereka. Merekalah sebenarnya yang tidak bebas berfikir. Afala ta’qiluun?
Al-Quran sendiri menyuruh umat islam berpegang kepada otoriti seperti firman Allah SWT: bertanyalah kepada ahli z-zikr jika kamu tidak tahu (al-Nahli: 43) dan tinggalkan orang jahil (al-Furqan: 63) dan berlepas tangan dari orang jahil (al-A’raf: 199).
Nabi SAW mengancam dengan bakaran neraka kepada orang yang menginterprestasikan Islam mengikut hawa nafsu dengan bersabda: Sesiapa berbohong atas saya dengan sengaja, maka dia menempatkan kerusi daripada api (Neraka).(36)
Justeru, untuk tujuan tersebut, dengan rahmat-Nya, di sepanjang sejarah umat Islam, allah SWT menghantar Mujtahid, Ulama, Ahli Tarjih, Mushlih, Ahli Usul, Ahli Tawhid, Mufassir, Fuqaha dan sebagainya untuk membimbing ummah.
Mereka semuanya itu memiliki akal yang paling sejahtera, hati yang paling jernih dan anggota zahir yang paling bersih dan suci dari maksiat.
Akal mereka ini terikat kukuh kepada otoriti sebelumnya dan sebelumnya kepada sebelumnya dan seterusnya ke atas: orang awam kepada ulama, ulama kepada mujtahid, kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam berbagai-bagai bidang keagamaan.
Akar kata akal bermakna mengikat dan jika dipasang kepada Islam bermakna mengikat manusia kepada Allah dan Rasul-Nya.
Fungsi akal yang sebenarnya ialah mengenal kebenaran yang hakiki; mengenal Allah dan Rasul-Nya dan segala kebenaran yang datang dari langit dan dengan ini boleh mendekatkan diri kepada Allah dan Rasul-Nya. Sebab itu orang yang tidak menggunakan akal akan menjadi ashaab al-sa’iir, penghuni neraka. (37)
Ulama dan hukama Islam telah pun menghuraikan dengan panjang lebar mengenai definisi, kedudukan, peranan, kemuliaan dan fungsi akal yang sebenar dan cara bagaimana untuk membebaskannya dari belenggu iblis-syaiton.
Huraian dalam hal ini antaranya boleh dilihat dalam tulisan al-Muhasibi (w: 243H) dan al-Gahzaaliy (w: 505H). (38)
Dalam kitab-kitab Usul Al-Din-Tawhid, Fiqh, Tafsir, Mantiq dan lain-lain telah menekankan kepentingan penggunaan akal. Dengan menggunakan akal yang terikat kepada al-Quran dan al-Sunnah, maka kita dapati dalam sejarah manusia, Ulama dan Hukama Islam telah menghasilkan jutaan tulisan dalam semua bidang ilmu yang mutunya tiada tara dan di atasnyalah umat manusia di dunia ini – tidak kira agama dan bangsa – berjaya membina satu tamadun yang tiada tolok banding, sejak manusia menghuni alam ini.
Bagi orang yang beriman, mereka semua mengecapi nikmat dan rahmat Ilahi dan bagi umat manusia amnya, mereka mendapat keselesaan dan keselamatan.
MA’RIFAH DAN PLURALISME AGAMA
‘Lazzatul makrifah’, kata Anwar Ibrahim.
Makna ma’rifah bagi golongan Pluralisme Agama tiada kena mengena langsung dengan Islam, walaupun terdapat perkataan ma’rifah yang berbau Islamik di situ. Ini adalah kerana falsafah mereka ialah sapere aude.
Di sisi Islam, ma’rifah mempunyai konotasi yang cukup mulia. Ahli ma’rifah memerlukan ilmu yang benar mengenai Allah. Pun begitu, ilmu yang benar saja tidak cukup, walaupun ia merupakan syarat untuk ma’rifah.
Orientalis juga ada yang memiliki ilmu yang benar mengenai Allah dan bahkan Iblis juga, namun mereka kafir. Kata al-Hujwiri rh (w: 456 atau 464H), untuk mendapatkan kelazatan ma’rifah, ia memerlukan ilmu yang benar dan juga hal yakni rasa dan keadaan yang benar.
Maka, orang yang tidak ada ilmu yang benar mengenai Allah seperti golongan Pluralis Agama, awal-awal lagi sudah tertolak dari wilayah ma’rifah.
Al-Hujwiri rh menolak dakwaan Mu’tazilah yang menyatakan bahawa ma’rifah adalah bersifat intelektual dan hanya orang yang berakal saja dapat memilikinya.
Beliau berhujah dengan katanya, bahawa jika sekiranya ukuran ma’rifah adalah akal-intelektual, maka setiap orang yang berakal pasti mengenal Allah.
Dari persepktif Islam, kelazatan ma’rifah ialah seperti kata Imam al-Qusyairi dalam al-Risalahnya: Ada seorang lelaki berkata kepada al-Junayd: Daripada kalangan ahli ma’rifah, ada satu kumpulan mengatakan bahawa meninggalkan harakah (amal ibadat) termasuk kategori berbuat baik dengan taqwa.
Al-Junayd berkata: Perkataan ini adalah perkataan golongan yang ingin menggugurkan amal ibadat dan dia di sisi saya (mereka ini) amat hebat. Orang yang mencuri dan berzina pun, lebih baik kedudukannya dari orang yang berkata demikian.
Sesungguhnya golongan ‘aarifin bi’llah mengambil amal-amal mereka dari Allah Ta’ala dan dengan amalan itu mereka kembali kepada Allah Ta’ala. Jika baki hidup saya seribu tahun lagi, saya tidak akan meninggalkan amal-amal ibadah saya yang baik (walau) sebiji zarah pun.
Kata al-Qusyairi rh lagi: ma’rifah adalah sifat orang-orang yang mengenal Allah dengan Nama-nama dan Sifat-sifatNya, kemudian ia membenarkan Allah dengan melaksanakan ajaran-ajaranNya dalam segala perbuatan. Ia membersihkan dirinya dari akhlak yang rendah dan dosa-dosa, kemudian lama berdiri mengetuk pintu Allah.
Pendeknya, ma’rifah adalah seperti kata Muhammad al-Farawi rh: hatinya hidup bersama Allah Ta’ala. Nikmat dan lazat ‘bersama’ Allah.
Ternyata bahawa lazzatul ma’rifah atau kelazatan ma’rifah adalah hasil dari beramal dan mujahadah yang mendalam dan bukan meninggalkan atau meremehkan amal dan juga bukan dari menghayati ilmu, ajaran dan akidah yang salah dan sesat seperti golongan Pluralis Agama.
Kata Ibn Arabi rh:… berhati-hatilah (terhadap ajaran sesat-P)… sesiapa yang tahqiq ilmu, amal dan halnya, maka ia akan memperoleh kemuliaan abadi dan sesiapa meninggalkan tahqiq tersebut, maka ia akan hancur…
Dua tokoh besar arif bi’llah telah memberi nasihat. Dzun Nun al-Misri rh berkata: berhati-hatilah jangan sampai engkau mengaku/mendakwa memiliki ma’rifah. Al-Hujwiri rh pula menegaskan:… supaya engkau tidak binasa dalam pengakuanmu.
Ada satu kisah menarik dalam literature Sufi iaitu sekumpulan pengikut ajaran sesat di Baghdad, telah ditipu oleh Syaikh palsu mereka untuk menikmati kelazatan Syurga.
Mereka telah dibawa ke satu tempat pada malam hari. Pada siangnya, mereka dapati, mereka berada di atas timbunan najis himar!
Golongan Pluralis Agama mahu merosakkan konsep Islam mengenai ma’rifah. Sesetengah dari mereka seperti golongan Sophia Perennis, cuba memasukkan gnosis dari ajaran agama yang sudah tiada kena mengena dengan doktrin Tawhid yang kalis ke dalam wilayah ma’rifah Islam yang bersih ini.
Ini adalah kerana fahaman Pluralisme Agama mereka ialah bahawa semua ajaran kerohanian semua agama boleh membawa kepada keselamatan
salvation.
Dari satu sisi lain, seperti kata al-Junayd rh, mereka mahu menggugurkan amal ibadah sebab mereka percaya kepada fahaman bahawa menuju Allah adalah merentasi mere practice tanpa bersusah-payah beramal dan bermujahadah membina akhlak mulia.
Seperti kata Schuon, solat bukan jaminan seseorang itu berada dalam
the right path.
Pendeknya, ma’rifah adalah mengenali Allah pada peringkat ilmu yang benar kemudian dengan mujahadah, menerapkan ilmu yang benar itu melalui amal ibadah hingga ke paras muraqabah dan musyahadah. Di sinilah terasa lazat.
Sebagai dasar Pluralisme Agama, maka mereka campurkan kekeliruan mereka dalam makna ma’rifah orang-orang bukan Islam yang tiada kenal Allah itu dengan ma’rifah golongan arif bi’llah, yang benar-benar mengenal Allah.
Golongan Pluralisme Agama memasang makna ma’rifah sebatang kayu buruk kepada emas sepuluh mutu!
PENCERAHAN DAN PLURALISME AGAMA
… zaman ini, iaitu abad
Friederich, adalah zaman Pencerahan. Kata Kant. Ia disambut gemuruh oleh golongan Pluralisme Agama Melayu Malaysia.
Kata-kata Kant ini, adalah akibat dari kekacauan sosio-religio-politik zamannya.
Golongan Pluralisme Agama Melayu di Malaysia yang mencanangkan slogan pencerahan ini dapat dilihat dalam tiga kedudukan.
Pertama, mereka amat tidak faham erti Pencerahan dalam epistemology dan wacana pemikiran-rohaniyah Islam sepanjang tamadunnya. Akal mereka tidak dicerahkan oleh Pencerahan Islam, sebab itu mereka menerima dan mengusung konsep Pencerahan Kant dan menerbitkan bukunya.
Kedua, mereka terasa amat hina diri kepada pemikiran dan kebudayaan barat (sebab itu mereka menerbitkan buku Hukum Barat Pun Islam, Renaisans Dan Humanisme, Matlamat Kerajaan Madani oleh Locke terjemahan dan lain-lain lagi) dan kagum kepada slogan Kant yang sinikal kepada agamanya kerana sama seperti mereka, yang juga sinikal kepada agama mereka. Ini adalah kerana hati mereka tidak dicerahkan oleh Pencerahan rohani Islami.
Ketiga, mereka sedang bergelut untuk kekuasaan politik demi untuk merealisasikan doktrin Pluralisme Agama mereka. ini mempunyai persamaan dengan kes Kant yang memuji Friederich kerana dapat merealisasikan pemikirannya melalui kuasa politik.
Secara berencana, aktivis Pluralisme Agama dari kalangan Yahudi-Kristian telah mengangkat orang Islam Pluralis sebagai tokoh ‘Pencerahan/
Enlightment’ Islam, sebaris dengan Locke, Kant dan lain-lain.
Mereka yang ditokohkan oleh Yahudi dari kalangan orang Islam itu merasa lazat atas penokohan tersebut, padahal yang sebenarnya, mereka bukanlah tokoh Pencerahan Islam tetapi tokoh ‘Penggelapan Islam’.
Mereka gelap dalam perut John Hick, Schuon dan lain-lain lagi.
Golongan Pluralis ini sebenarnya telah membawa keluar diri mereka – atas semangat sapere aude – dari cahaya kepada kegelapan:
mina ‘n-nur ila ‘z-zulumat, yang sepatutnya ialah:
mina ‘z-zulumat ila ‘n-nur.
Mereka mahu memadukan kegelapan aqliyah dan rohaniyah Kant, Nurcholish, Hick, Swami-Swami Hindu, Guru-guru Sikh, Pemimpin India Merah Amerika, Rabbi Yahudi, Salihara, IKD dan lain-lain ke dalam kecerahan aqliyah dan rohaniyah Muhammad Nafis, Dawud al-Fathoniyy, al-Falimbani, al-Rumi, al-Ghazzaliy, Ibn Arabi, al-Jili, Athailah dan lain-lain.
Inilah jenayah akidah dan rohaniyah paling besar dalam sejarah umat Islam pasca-modernisme yang dilakukan oleh orang Islam sendiri dari golongan Pencerahan gadungan. Umat Islam tidak memerlukan golongan pencerahan (baca: penggelapan) seperti mereka yang rosak akidah dan syariah itu.
Di zaman kegelapan agama dan huru-hara rohani dan kecelaruan epistemology seperti sekarang ini, ummah Islam memerlukan ulama, hukama, da’i, murabbi, muslih dan mujaddid dan bukan orang-orang dari golongan pencerahan diabolik.
Golongan yang bercakap mengenai Pencerahan ini, sebenarnya tidak pernah secara sistematik dan berdisplin, mempelajari ilmu Isyraq-Pencerahan Islam seperti dalam I’tiqod, urusan ibadah ahwal penyucian hati dan penyucian zahir dan sebagainya dari persepktif ajaran Isyraq-Pencerahan al-Ghazzaliy, Atailah, Ibn Raslan, Abu Madyan, Dawud al-Fatoniy, Tok Ku Pulau Manis dan lain-lain.
Tokoh besar Pencerahan Islam, Ibn Atha rh berkata: membiasakan diri dengan adab Syara, Allah sinari hatinya dengan nur ma’rifah.
Bagi Pluralis dan sekutunya, pencerahan adalah permainan kata semata-mata dengan mengutip beberapa perkataan dari tokoh-tokoh Pencerahan seperti Ibn Arabi, al-Ghazzaliyy, al-Rumi dan lain-laim.
Ternyata jelas, bahawa kehidupan keagamaan golongan pencerahan gadungan ini, tidak menepati langsung kriteria dan piawai Pencerahan yang sebenar seperti yang dikatakan oleh tokohnya di atas.
Pencerahan dalam epistemology Islam, secara sederhananya bermaksud: keluar dari kegelapan kesyirikan kepada kecerahan
tawhid mina ‘z-zulumat ilal nur dan dari kegelapan Jahiliyah kepada kecerahan Nur Muhammadiyyah.
Umat Islam sudah cerah menerang kerana Islam adalah nur cahaya yang terang-benderang seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran.
Umat manusia dan alam semesta ini sudah disuluh oleh cahaya Nubuwwah dan Risalah al-Khalidah dari Rasulullah SAW yang merupakan sirajan munira (lampu yang bergemerlapan).
Tokoh-tokoh Isyraq-Pencerahan Islam kemudiannya telah menghuraikan lagi doktrin ini dengan lebih terperinci dengan amat cerah sekali untuk menyuluh dan memandu ummah dalam bentuk dakwah, mengajar, mentarbiyah dan menulis ribuan tajuk buku, dari yang senipis-nipis hinggalah yang setebal-tebalnya.
Tujuan mereka ialah untuk mencerahkan akal-hati manusia supaya benar-benar mengenali kebenaran yang hakiki dan membezakannya dari yang palsu dan memiliki akal Malaikat yang semata-mata tunduk-patuh kepada kebenaran tersebut.
Pencerahan dalam Islam berperanan mencerahkan zahir manusia dari kegelapan maksiat pancaindera dan anggota badan kepada cahaya taat terhadap Syariat Muhammadiyyah dalam ibadah, hukum-hakam, cara hidup dan akhlak.
Pencerahan dalam islam juga bertujuan untuk membersihkan hati dan roh manusia sehingga dalam dirinya tercerah oleh cahaya-nur wahyu dan Nubuyyah sehingga dalam kehidupannya senantiasa ‘terpandang’ wajah Dzul Jalali wa l-Ikram.
Paling tidak, ia dicerahkan oleh kesedaran rohaniyah yang dapat mengawal dan menyuluh perjalanan hidupnya.
Pencerahan golongan Pluralisme Agama kant dan IKD tidak ada nilai langsung di sisi Allah kerana pencerahan mereka bermakna membebaskan dari cahaya kecerahan Nur Ilahi.
Suluhan lampu yang gelap tidak boleh mencerahkan.
KEBEBASAN INDIVIDU DAN PLURALISME AGAMA
Khalid Jaafar menulis:… wacana yang pertama (mengenai kebebasan-P) adalah
The Passion for Freedom yang ditulis oleh Anwar Ibrahim dari penjara. Maka perjuangan untuk meluaskan kebebasan – agama, politik dll – harus dimulai dengan wacama kebebasan. (39)
Atas nama ‘kebebasan’ dan
passion-kelazatan ini, mereka bebas mengertikan akidah, syariat, hukum-hakam, al-Quran al-Sunnah, tasawwuf dan sebagainya mengikut kebebasan-kehendak-keperluan-kelazatan mereka; bebas menerima atau menolak mana-mana otoriti agama yang sudah disepakti Ijma ummah seperti dalam hukum larangan kahwin campur agama, haram khamar dan sebagainya; menerbitkan buku Fiqh Lintas Agama atau Ijtihad golongan Liberal, sebagai panduan beragama; berpendirian bahawa manusia bebas keluar-masuk agama dan sebagainya.
Peliknya, mereka tidak berani secara terang mengisytihar keluar dari agama Allah ini dan menganut agama baru, Agama Pluralisme. Padahal mereka sudah tidak yakin lagi kepada agama Allah yang sebenar itu.
Atas nama kebebasan juga, Anwar Ibrahim memetik kata-kata Dante untuk menyokong pendirian Pluralisme Agamanya, padahal Dante bukan seorang Pluralis. Kalau dia seorang Pluralis Agama dan menghormati semua agama, maka dia tidak akan mengeluarkan kenyataan biadab yang menyatakan bahawa dia menemui Nabi SAW di dalam Neraka.
Orang yang walaupun ada hanya sedikit iman sahaja dan memiliki sekelumit kecil cinta kepada Nabi SAW, tidak akan tergamak menghubungkan dirinya dengan si Dante itu.
Adalah terlalu amat bersangatan jijik untuk mengutip kata-katanya yang hina itu. Perbuatan memetik kata-kata Dante ini adalah demi untuk menggembirakan hati audiens yang bukan Islam itu dan mewajarkan faham syirik Pluralisme Agamanya.
…bersambung siri ke-4..
(30) Budi Handrianto, 50 Tokoh Islam Liberal Indonesia, 2007.
(31) Ali ‘Imran: 85.
(33) Rujuk Lampiran VI
(34) Entri blog Anwar Ibrahim pada 3 Februari 2008, di http://anwaribrahimblog.com di bawah tajuk ‘Pupuk Tradisi Ilmiah, Bukan Sikap Bebal,’ http://anwaribrahimblog.com/2008/02/03/pupuk-tradisi-ilmiah-bukan-sikap-bebal/ (1 Jun 2011).
(35) Kant; Apa Itu Pencerahan, ms 22, IKD, 2006.
(35) Ibid, ms 13.
(36) HR Muttafaqun ‘alayh.
(37) Lihat Surah al-Mulk: 10.
(38) Lihat Mustafa ‘Atha Syaraf al-‘Aql, 1998; Ihya dll.
(39) Khalid Jaafar; Metafizik & Kosmopolitanisme, IKD-KAS, 2009
Pluralisme Agama : Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah (2)
Pluralisme Agama : Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah