Rakyat Malaysia mudah ditipu?
SABAN hari ada sahaja kisah rakyat kita ditipu. Penipuan ini terpampang di dada akhbar-akhbar tempatan. Seolah-olah rakyat kita begitu mudah untuk ditipu. Tidak kiralah sama ada ditipu oleh warganegara Malaysia sendiri mahupun warga asing.Kisah seperti ditipu oleh pemaju hartanah sering kali kedengaran. Rumah-rumah yang dijanjikan tidak siap sepenuhnya. Jadilah projek perumahan tersebut sebagai projek gajah putih. Terbengkalai begitu sahaja. Yang rugi, pembeli yang terpaksa membayar hutang bank manakala, pemaju-pemaju hartanah projek terbengkalai tidak langsung dikenakan tindakan. Mereka ini masih hidup bersenang lenang.
Bahkan ada di antara mereka boleh menjalankan perniagaan seperti biasa. Tidak ada langsung rasa bersalah terhadap pembeli-pembeli projek perumahan mereka.
Itu bab ditipu oleh pemaju hartanah. Ditipu oleh skim cepat kaya usah cakaplah. Sejak skim cepat kaya Pak Man Telo diketahui ramai, tidak ada tanda-tanda rakyat Malaysia mengambil iktibar ke atasnya. Masih ramai yang ditipu menggunakan modus operandi skim cepat kaya.
Amat menghairankan kerana rakyat Malaysia sekarang ini ramai yang berpendidikan tinggi sehingga memperoleh ijazah kedoktoran. Tetapi semakin tinggi pelajaran, semakin mudah pula ditipu. Terbaru, skim cepat kaya yang menggunakan modus operandi emas sebagai umpan.
Ramai yang terjebak dengan skim cepat kaya ini. Kasihan juga kepada mereka yang terlibat kerana tindakan segera telah dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Namun, bak kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur. Menyesal sudah tiada gunanya.
Sememangnya, emas semakin digilai oleh rakyat Malaysia. Malangnya, ramai yang tidak mengetahui selok belok dalam pelaburan emas, yang akhirnya kesempatan ini diambil oleh segelintir golongan untuk menipu pelabur. Emas akhirnya melemaskan rakyat Malaysia. Hak pengguna tidak dilindungi. Pembeli rumah mahupun pelabur emas mengalami kerugian besar. Di manakah penguat kuasa undang-undang?
Kita masih tidak belajar sebagaimana negara jiran kita yang amat serius menguatkuasakan undang-undang. Inilah kelemahan utama negara kita. Dasar dan polisi sungguh hebat di atas kertas, tetapi apabila dilaksanakan atau dikuatkuasakan, ia hanya indah khabar daripada rupa.
Dek kerana mudah ditipu dan kurang penguatkuasaan, ada juga rakyat Malaysia terutamanya yang terlalu tamak mengejar gaji lumayan tertipu dengan umpan gaji lumayan oleh orang yang tidak diketahui latar belakangnya.
Sampaikan ramai yang sanggup menghadiri temuduga di bilik hotel. Bukannya gaji lumayan yang diperoleh, sebaliknya dirogol dan dirompak pula. Ada pula yang ditipu menjadi keldai dadah. Bagaimana mudahnya wanita Malaysia terpedaya dengan cara penipuan sebegini.
Itu belum lagi melibatkan penipuan di jalan raya. Di jalan raya terdapat pelbagai cara penjenayah menipu. Tujuan tidak lebih daripada untuk merompak. Dilanggar kereta mangsa dan mangsa pula dalam keadaan marah memberhentikan kereta untuk menuntut ganti rugi. Kesempatan ini digunakan penjenayah untuk merompak mangsa. Ada juga penjenayah berlagak seolah-olah berlaku kemalangan di jalan raya. Memberhentikan kereta dan motosikal dan sanggup "tidur" di tengah jalan raya supaya mangsa memberhentikan kenderaan.
Taktik menipu ini memperdayakan sesiapa sahaja yang jujur untuk membantu "mangsa" kemalangan yang tertiarap di jalan raya. Malangnya, mereka tidak menyedari kejujuran mereka inilah menyebabkan mereka bakal dirompak.
Tidak kurang juga ramai rakyat Malaysia yang ditipu oleh warga asing. Dianggarkan berbilion ringgit kerugian yang telah dialami oleh rakyat Malaysia yang kebanyakannya ditipu melalui jenayah siber. Sungguh menghairankanlah, rakyat Malaysia senang percaya dengan warga asing. Penjenayah siber ini menggunakan segala kepakaran teknologi maklumat untuk menggodam maklumat rakyat Malaysia sama ada melalui e-mail palsu mahupun melalui laman sosial seperti Facebook.
Rakyat Malaysia terutamanya wanita mudah pula "cair" dengan ayat-ayat indah mempersonakan hati dan perasaan yang sememangnya itulah kehebatan warga asing seperti Awang Hitam. Sanggup memberi wang mereka sampaikan ada mangsa mengeluarkan wang untuk dana persaraan mereka yang berjumlah berjuta-juta ringgit semata-mata untuk "membantu" si penipu ini yang tidak pernah langsung mereka bersemuka antara satu sama lain. Apabila menyedari ditipu, barulah segala kisah cinta dan kasih sayang hilang begitu sahaja. Menangis sudah tiada gunanya.
Agaknya, si penipu warga asing ini sudah memahami kelemahan rakyat Malaysia. Sebelum mereka datang ke Malaysia, mereka sudah membuat kajian di antara negara-negara di Asia Tenggara ini, negara kita yang paling mudah untuk "berurusan". Rakyatnya mudah ditipu, manakala undang-undang pula amat lemah dek kerana penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin.
Cuba kita lihat si penipu pendatang asing ini tidak berani menipu di negara-negara jiran kita. Kalau tidak sudah lama kita dengar pelbagai kisah penipuan melibatkan pendatang asing yang tinggal di negara jiran. Mereka ini tidak gemar duduk di negara-negara jiran kita, tetapi amat gembira tinggal di Malaysia.
Faktornya adalah Malaysia syurga "pelaburan" mereka. Yang kaya sudah semestinya mereka, manakala yang "kayap" rakyat Malaysia itu sendiri. Sampai bilakah ia akan berakhir?
No comments:
Post a Comment