Thursday 8 November 2012


Kenyataan Nurul Izzah tidak wajar - TPM

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berhubung kebebasan beragama di negara ini khususnya melibatkan orang Melayu.

Sambil berkongsi penegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta tokoh dan pakar agama terhadap kenyataan pemimpin PKR itu, tegas Timbalan Perdana Menteri, hal ini demikian kerana kenyataan itu dibimbangi bercanggah dengan amalan atau perkara-perkara yang berkaitan akidah.

''Sudah banyak orang buat kenyataan (ulasan berhubung kenyataan Nurul Izzah). Saya berkongsi (pandangan) dengan tokoh-tokoh agama yang pakar dan mahir dalam soal itu (agama) serta rasa kecewa Sultan Selangor atas kenyataan yang dibuat.

''Kita harap beliau (Nurul Izzah) sedar ini satu kenyataan yang tak patut dibuat. Yang paling kita bimbang kenyataan itu bercanggah dengan amalan dan perkara-perkara yang berkaitan akidah. Apa lagi dikeluarkan oleh seorang Islam,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu melibatkan Kementerian Pengajian Tinggi, Sime Darby Property Selatan Sdn. Bhd., Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Yang turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Sime Darby Bhd., Tun Musa Hitam dan Pengerusi Sime Darby Property Bhd., Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Ahad lalu, Nurul Izzah seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang Malaysiakini berkata: ''Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata.''

Nurul Izzah berkata demikian ketika menjawab soalan peserta forum Negara Islam : Versi Mana, Siapa Bertanggungjawab? iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu di Subang Jaya Sabtu lalu.

Bagaimanapun semalam, Nurul Izzah berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan media alternatif lain kerana mendakwa kenyataannya mengenai kebebasan beragama telah diputar belit.

Dalam pada itu, Muhyiddin ketika ditanya mengenai tindakan Nurul Izzah yang mahu menyaman Utusan Malaysia berkata:

''Dia (Nurul Izzah) biasa begitulah bila surat khabar dah keluar kenyataan. Lagipun Utusan (Utusan Malaysia) petik daripada portal. Yang itu (portal) dia tak nak saman, Utusan dia nak saman.

''Jadi biasa taktik itulah nak tunjuk konon dia tak salah, surat khabar yang putar belit. Tapi fakta itu (kenyataan Nurul Izzah) ada, boleh kita browse through (layari) tengok apa yang berlaku dalam kenyataan media sosial itu,'' tegasnya.

Ulama Pas digesa keluar pendirian isu Nurul Izzah


KUALA LUMPUR 7 Nov. - Pemimpin-pemimpin Pas terutama daripada golongan ulama digesa mengeluarkan pendirian berhubung kenyataan kontroversi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, Pas tidak seharusnya berdiam diri apabila rakan sekutunya itu membuat kenyataan sedemikian lebih-lebih lagi isu yang disentuh melibatkan maruah Islam.

“Sebagai sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam, maka mereka perlu mengeluarkan pendirian apabila tercetusnya kontroversi melibatkan Islam.

“Kita tidak mahu rakyat terutama orang Melayu terkeliru sehingga akidah mereka boleh terpesong," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nurul Izzah dalam forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? di Subang Jaya Sabtu lalu mengenai kebebasan beragama di negara ini yang sepatutnya diguna pakai secara sama rata termasuk orang Melayu.



TV3 siar klip video


KUALA LUMPUR 7 Nov. - Buletin Utama TV3 malam ini menyiarkan klip video kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang menyatakan orang Melayu bebas memilih agama mereka.

Dalam klip video berkenaan, Nurul Izzah dipetik antara lain berkata, ‘‘Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata.’’

Nurul Izzah berkata demikian ketika menjawab soalan peserta forum Negara Islam: Versi Mana, Siapa Bertanggungjawab? iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu di Subang Jaya Sabtu lalu.

Kenyataan Nurul Izzah itu dilaporkan oleh portal propembangkang Malaysiakini sebelum dipetik oleh media-media lain termasuk Utusan Malaysia.


Pemuda Pas tempelak Nurul Izzah


Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my


KOTA BHARU 6 Nov. - Dewan Pemuda Pas hari ini ‘menempelak’ Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataan kontroversinya mengenai isu kebebasan beragama di negara ini yang didakwa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sepatutnya diguna pakai secara sama rata termasuk kepada orang Melayu.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abdul Abduh Nik Abdul Aziz (gambar) berkata, ungkapan ‘tiada paksaan dalam agama’ daripada ayat 256 surah al-Baqarah adalah merujuk kepada hak bukan Islam untuk kekal dalam agama mereka sebebas-bebasnya dan ia sama sekali tidak melibatkan umat Islam.

Beliau berkata, sesuatu yang amat pelik dan tidak logik apabila mengatakan seorang yang lahir daripada ibu bapa yang beragama Islam, dianggap satu paksaan ke atasnya untuk memeluk Islam.

“Seseorang yang dilahirkan sebagai seorang muslim merupakan satu anugerah Allah untuk dirinya. Ia tidak akan begitu bersusah payah mengenal Tuhannya sebagaimana bukan muslim.

“Oleh kerana ia satu anugerah agung daripada Allah, adalah pelik dan tidak logik jika anugerah itu dianggap satu paksaan ke atasnya untuk memeluk Islam. Bukankah Islam itu agama fitrah yang lahir bersama kelahiran dirinya?

“Justeru seorang muslim semenjak lahir tidak berhak menukar agamanya atau murtad. Ia adalah satu penderhakaan dan penghinaan terhadap Tuhannya, agamanya, ibu bapanya dan juga masyarakat. Ia telah sengaja mendatangkan kesusahan dan fitnah terhadap agama Islam dan penganutnya," katanya yang dipetik daripada akaun Facebook miliknya di sini hari ini.

Ahad lalu, Nurul Izzah seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang Malaysiakini berkata: “Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu di Subang Jaya.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Melayu di bawah Perkara 160 (2) ditakrifkan sebagai seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Nik Abduh berkata, tiada pemerintah muslim yang berkuasa atau sesiapa pun boleh memaksa bukan Islam untuk memeluk agam suci itu.

“Ayat ‘tiada paksaan dalam beragama’ adalah merujuk kepada hak bukan Islam untuk kekal dalam agama mereka sebebas-bebasnya. Itu satu hak yang Allah berikan kepada manusia untuk memilih agama masing-masing.

“Tetapi jika Allah telah membuat pilihan (menjadikan manusia dilahirkan sebagai muslim), maka manusia itu tidak berhak untuk melanggar pilihan Allah ke atasnya.

“Bagaimana dibayangkan seorang muslim dipaksa untuk menjadi muslim? Bukankah dia itu telah muslim? Bagaimana dibayangkan haknya untuk menukar agama? Bukankah itu melanggar hak Allah dan hak maruah ibu bapanya juga? Bagaimana dianggap hak jika ia melanggar hak yang lain?," soal beliau.


Pemimpin Pas antara panel forum bersama Nurul


KUALA LUMPUR 6 Nov. - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mujahid Yusof Rawa merupakan antara panel forum bertajuk Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? yang diadakan di Subang Jaya, Selangor, Sabtu lalu.

Forum yang turut dihadiri Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar itu bermula pada pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan dianjurkan Oriental Hearts and Mind Study Institute (OHMSI).

Memetik kenyataan portal Agenda Daily, OHMSI memang diketahui umum sebagai pemikir (think tank) kepada penganut Kristian dan pernah menganjurkan forum bertajuk 'Penganut Kristian dan Pilihan Raya Umum Malaysia 2008' sebelum ini.

Turut dimuat naik dalam laman portal itu ialah poster penganjuran forum tersebut yang berlatarbelakangkan kubah masjid.

Nurul Izzah sebelum ini menimbulkan kontroversi ketika menjawab soalan seorang peserta dalam forum itu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti bukan Melayu.

Nurul Izzah menegaskan, rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.

Turut menjadi panel forum tersebut ialah Ketua PKR Sarawak, Baru Bian.

Beliau seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang, Malaysiakini berkata : ''Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."



Kenyataan Nurul Izzah bertujuan jadikan Malaysia negara pluralisme agama


KUALA LUMPUR 6 Nov. - Usaha pembangkang bersama pihak berkepentingan lain untuk menjadikan Malaysia sebagai negara dengan aliran pluralisme agama dan liberalisasi kini semakin jelas apabila pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) lantang menyokong isu kebebasan beragama.

Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), SD Johari Md. Yassin (gambar) berkata, kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama sepatutnya terpakai dalam kalangan orang Melayu bukan hanya merupakan strategi politik pembangkang tetapi lebih kepada gerakan pluralisme agama.

"Ini bukan gerakan biasa pembangkang, tetapi usaha bersungguh-sungguh mereka. Tindakan itu mesti ditentang habis-habisan kerana amat berbahaya.

"Kita bimbang gerakan ini semakin merapati rakyat Malaysia meskipun secara perlahan kerana mampu memberi kesan di luar jangkaan kelak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nurul Izzah pada Forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? di Subang Jaya, Selangor Sabtu lalu mengenai kebebasan beragama di negara ini yang sepatutnya diguna pakai secara sama rata termasuk orang Melayu.

Menurut SD Johari, kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemimpin yang menyokong gerakan itu di samping berhati-hati melayani setiap permintaan pembangkang.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim turut melahirkan kebimbangan terhadap aliran pluralisme di negara ini dan meminta rakyat membuat pertimbangan berasas terhadap setiap kenyataan atau tindakan pembangkang.

Katanya, aliran itu dibawa pemimpin pembangkang yang membawa imej ulama atau Islam walaupun mereka bukan seperti yang dipamerkan.

"Pembangkang sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa menghalalkan apa yang haram demi mencapai matlamat mendapatkan undi dan kuasa memerintah," katanya.

Ruslan turut mengambil contoh sikap dan tindakan Nurul Izzah yang dilihat tidak malu membuat kenyataan seumpama itu meskipun perkara tersebut telah dirancang.

"Saya nasihatkan Nurul Izzah kalau tidak tahu tentang hukum hakam agama, buat cara tidak tahu. Dia perlu belajar ilmu Islam supaya tidak sesat.

"Jadikan ulama yang diiktiraf sebagai rujukan. Beliau hanya boleh bercakap mengikut bidangnya tetapi bukan bidang agama," katanya.


Nurul Izzah terjerat keceluparan


Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Nov. - "Tidak bermaruah, terdesak serta meletakkan harga diri di tahap terendah setelah terjerat dengan keceluparan sendiri."

Demikian pandangan Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang mengarahkan peguamnya mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia serta beberapa akhbar dan blog yang didakwa memutar belit kenyataan beliau.

Menurutnya, tindakan itu jelas menunjukkan Nurul Izzah tidak matang kerana hanya mampu menuding jari kepada pihak lain atas keceluparan sendiri dengan harapan semua pihak berhenti bercakap tentangnya.

"Tetapi kita hendak pesan kepadanya, usahkan satu, seratus saman pun kita tidak gentar. Demi agama bangsa dan tanah air, usahkan wang ringgit, malah, mati pun kita sanggup demi perjuangan itu.

"Oleh itu, beliau tidak perlu bersikap seperti anak kecil hendak menggertak orang itu dan orang ini. Pada saya, tindakan ini tidak lebih daripada hanya untuk menutup kelemahannya kerana gagal memberi penjelasan terhadap isu yang timbul," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan portal propembangkang, Malaysiakini berhubung penegasan Nurul Izzah bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu di Subang Jaya, Selangor Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Muhammad Zahid berkata Nurul Izzah sepatutnya menggunakan akhbar terbitan pembangkang seperti Harakah dan Keadilan Daily untuk menjelaskan kedudukan sebenar sekiranya beliau benar-benar tidak bersalah.

"Tetapi lain pula jadinya yang mana beliau menyalahkan media. Lebih pelik tidak pula beliau kaitkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) seperti selalu," ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan sikap Nurul Izzah yang tidak mengarahkan peguamnya mengambil tindakan sama terhadap portal propembangakng Malaysiakini.

"Bukankah ini tidak adil? Utusan Malaysia hanya memetik laporan Malaysiakini. Adakah kerana Malaysiakini sering menyebelahi pembangkang, maka mereka tidak bersalah di matanya?

"Anda perhatikan sendiri agenda Malaysiakini. Mereka hanya menerbitkan laporan itu dalam edisi bahasa Inggeris. Tiada laporan versi bahasa Melayu. Ertinya apa? Apa agenda mereka di sebalik semua itu?" katanya.


Nurul Izzah dakwa kenyataan diputar belit, mahu ambil tindakan


KUALA LUMPUR 6 Nov. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan media alternatif lain kerana mendakwa kenyataannya mengenai kebebasan beragama telah diputar belit.

Menurutnya, dua akhbar itu dan beberapa media termasuk blog-blog telah menyiarkan laporan berunsur fitnah akidah yang telah memutar belitkan sebahagian daripada kenyataan penuhnya dalam forum yang dihadiri di Subang Jaya, Sabtu lalu.

''Saya telah mengarahkan peguam-peguam saya, Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia, Berita Harian serta kemungkinan beberapa media termasuk blog-blog.

''Saya tidak merelakan fitnah akidah sebegini diteruskan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, demi menegakkan kebenaran dan demi keadilan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan portal propembangkang, Malaysiakini berhubung penegasan Nurul Izzah bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu.

Nurul Izzah dilaporkan berkata: "Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."



Anwar diminta jelas isu beri kebebasan beragama kepada Melayu


SEPANG 6 Nov. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa supaya menjelaskan kepada rakyat adakah benar pakatan pembangkang berhasrat meminda undang-undang berkaitan orang Melayu dan agama Islam jika berjaya memerintah negara.

Pengerusi Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) mendakwa, maklumat yang diperolehnya menerusi sumber dalaman parti pembangkang menunjukkan terdapat usaha untuk memberi kebebasan kepada orang Melayu beragama Islam memilih agama yang mahu dianuti.

Selain itu, katanya, sumber itu turut memberitahu bahawa setiap rakyat Malaysia yang baru dilahirkan tidak perlu lagi mengisi bahagian anutan agama di dalam surat beranak sehingga berumur 18 tahun dan kemudian bebas memilih agama masing-masing.

"Kami sudah mendapat maklumat bahawa ini salah satu perancangan pembangkang di bawah Anwar, jadi saya hendak tanya ketua pembangkang itu adakah dakwaan ini benar jika pakatan pembangkang menang dan seterusnya jadi kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dalam satu berita disiarkan portal pembangkang Malaysiakini kelmarin yang menegaskan rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.

Menurut Shahrizat, pihaknya tidak terkejut dengan kenyataan Nurul Izzah itu dan jika terbukti benar, perkara itu merupakan sesuatu yang malang kepada orang Melayu beragama Islam.


Naib Presiden PKR letak akidah lebih rendah daripada politik


KUALA LUMPUR 5 Nov. - Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu termasuklah dalam kalangan orang Melayu jelas membuktikan beliau menjadikan agama sebagai modal politik untuk menarik sokongan bukan Islam.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Datuk Ibrahim Ali berkata, kenyataan Nurul Izzah itu juga membuktikan beliau meletakkan kepercayaan terhadap agama Islam daripada sudut akidah lebih rendah berbanding kepentingan politiknya.

Ibrahim yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, perkara tersebut sangat serius kerana boleh merosakkan agama Islam dan menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyiasat perkara itu memandangkan kenyataan tersebut dilakukan di Selangor.

"Budak ini (Nurul Izzah) masih mentah, mungkin beliau terpengaruh dengan bapanya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mendokong fahaman pluralisme. Jadi, saya mintalah ahli-ahli Pas yang mendakwa mereka sebagai parti yang memperjuangkan Islam, tarbiyah budak ini.

"Islam memang tidak memaksa seseorang itu memeluk agama tersebut, tetapi tidak bermakna Islam memberi kebebasan kepada mana-mana penganutnya keluar masuk agama sesuka hati. Hari ini Islam, esok keluar dan masuk agama Buddha, lusa masuk Islam balik, tidak boleh.

"Isu ini sama dengan isu murtad, kalau tidak faham bab hukum agama, jangan cakap, nanti tersilap seperti yang telah berlaku. Manusia yang belum memeluk Islam, bebas untuk memilih agama, tetapi bagi yang telah memeluk Islam, hukumnya bunuh jika memilih keluar Islam kerana mempersendakan Allah SWT," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nurul Izzah dalam forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.

Beliau seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang, Malaysiakini berkata : "Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...Mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin pula mempersoalkan pendirian pakatan pembangkang, khususnya Pas berhubung kenyataan Nurul Izzah itu.

Ini kerana, katanya, kenyataan Nurul Izzah itu sama dengan salah satu tuntutan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang sangat ditentang oleh Pas sebelum ini.

"Nurul Izzah bukan sebarangan, beliau adalah anak kepada Penasihat dan Presiden PKR, beliau merupakan naib presiden parti dan diangkat sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia. Oleh itu, kenyataan yang dibuat oleh Nurul Izzah boleh dianggap mewakili pendirian parti serta pakatan pembangkang.

"Saya nak tanya pendirian Pas kerana kenyataan Nurul Izzah bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan terpakai kepada orang Melayu sama dengan salah satu tuntutan IFC. Saya tidak tahu kalau hari ini Pas menyokong IFC serta kenyataan Nurul Izzah itu, mereka perlu jelaskan kepada akar umbi," jelasnya.



Nurul Izzah cuba gadai Islam, Melayu


Oleh AZRIN ROSLY
pengraang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bahawa rakyat termasuk orang Melayu tidak harus dipaksa mengamalkan agama tertentu adalah bukti Islam digadai secara terang-terangan.

Malah Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip yakin, kenyataan itu juga sebahagian daripada hasrat pakatan pembangkang sekiranya mereka berjaya memerintah negara kelak.

"Kita tidak perlu terkejut jika pakatan pembangkang memerintah, kebebasan beragama ini berlaku dan kedudukan Islam dan Melayu sudah tidak dipelihara.

"Saya mencabar Nurul Izzah, bagi menterjemahkan hasratnya yang mahu Melayu bebas memilih agama agar mengisytiharkan anaknya tidak akan diajar dan dididik secara Islam sehingga berusia 21 tahun, biar anaknya menentukan agama mana yang hendak dianuti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nurul Izzah yang disiarkan portal berita propembangkang, Malaysiakini ketika menjawab soalan peserta forum bertajuk Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? di Subang Jaya kelmarin iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti bukan Melayu.

Tambah Muhammad Zahid, pandangan Nurul Izzah yang disifatkan sebagai 'jahil' itu dilihat senada dengan Pengerusi Himpunan Bersih, Datuk S. Ambiga yang juga antara penggerak Suruhanjaya Antara Agama (IFC) sebelum ini.

"Saya yakin kenyataan Nurul Izzah tidak akan berani ditempelak oleh pemimpin Pas. Menempelak beliau umpama menempelak bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adalah 'berdosa besar' bila menempelak Anwar.

"Kenyataan Nurul Izzah saya lihat juga bahaya yang mana membuka ruang ke arah murtad. Selama ini murtad tidak dibenarkan sama sekali namun kini telah mula cuba dibangkitkan oleh Nurul Izzah dan sebelumnya Ambiga dengan IFC," ujarnya.


Kebebasan beragama bukan mutlak


KUALA LUMPUR 5 Nov. - Kebebasan beragama sebagaimana dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan bukan suatu yang mutlak kerana tertakluk kepada peruntukan-peruntukan lain.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, Perkara 160 Perlembagaan mentakrifkan orang Melayu sebagai seseorang yang menganuti agama Islam.

Katanya, Perkara 11 (4) Perlembagaan pula memberi kuasa kepada kerajaan-kerajaan negeri dan Persekutuan untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

“Sebagai sebuah negara bukan sekular dan Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, adalah menjadi tugas kerajaan dan pihak berkuasa berkenaan agama menjaga akidah umat Melayu Islam daripada terpesong atau dipengaruhi oleh agama lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan kontroversi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bahawa kebebasan beragama di negara ini sepatutnya diguna pakai secara sama rata termasuk orang Melayu.

Menurut Musa, umat Islam seharusnya menolak mana-mana pihak yang cuba mengubah atau meminda Perlembagaan untuk memberi hak kebebasan mutlak beragama kerana kesannya akan meruntuhkan institusi Islam dan institusi keluarga di negara ini.

“Sekiranya ditakdirkan pakatan pembangkang memerintah negara ini pun, perkara ini perlu dipertahankan sampai bila-bila kerana sejarah Malaysia berasal-usul dan berpaksi daripada kerajaan Kesultanan Melayu Melaka yang menjadikan Islam sebagai agama turun-temurun.

“Setelah penjajah masuk ke negara ini pun, Islam sebagai teras agama ini terus dikekalkan sehingga kemerdekaan negara pada 1957," katanya,

Jelasnya, umat Islam sewajarnya berhati-hati dengan segelintir pihak yang cuba merosakkan akidah orang Melayu Islam.

Menurut beliau, mengadakan undang-undang untuk membenarkan Melayu Islam murtad juga adalah bertentangan dengan hukum hudud.



Pluralisme agama merebak


Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 5 Nov. - Kenyataan bahawa orang Melayu bebas memilih agama mereka menjadi petanda fahaman pluralisme agama dan fahaman Islam liberal kini sudah merebak luas hasil gerakan aktif kumpulan tertentu.

Malah Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali (gambar) turut menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu laluan serta tiket percuma kepada gerakan-gerakan yang sentiasa mahu memesongkan akidah umat Islam antaranya gerakan kristianisasi.

Sememangnya kata beliau, kenyataan tersebut mempunyai implikasi yang sangat besar kepada generasi sekarang dan generasi akan datang apatah lagi sifatnya yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

''Saya tersentak membaca laporan dalaman yang Nurul Izzah membuat kenyataan bahawa rakyat Malaysia termasuk orang Melayu tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu. Mungkin kenyataan yang keluar dari mulut Nurul Izzah secara amnya kepada sesetengah pihak tidak dianggap serius.

''Tetapi jika ditinjau dari sudut akidah, syariah dan akhlak yang menjadi asas kehebatan Islam, sudah tentu kenyataan sedemikian bertentangan sama sekali dengan apa yang diajar kepada kita selama ini,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dalam satu berita yang disiarkan portal propembangkang, Malaysiakini semalam menegaskan, rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.

Kenyataan itu disuarakan Nurul Izzah ketika menjadi salah seorang ahli panel Forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? bagi menjawab pertanyaan peserta iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti bukan Melayu anjuran Gereja Full Gospel Tabernacle di Subang Jaya, kelmarin.

Hasan kesal kerana dalam usaha pihaknya, Yayasan Murni Aqidah serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain mempertahankan akidah umat Islam, kenyataan seumpama itu datang daripada seorang pemimpin Melayu beragama Islam sendiri.

''Sekiranya pandangan Nurul Izzah menjadi kenyataan, ruang yang cuba ditutup bukan sahaja terbuka luas malah menjadikan gerakan memesongkan akidah bertambah kuat. Mereka mempunyai seluruh jentera dan keupayaan.

''Seperti diketahui, keupayaan kita membendung gejala memesongkan akidah mempunyai kelemahan dan batas-batas tersendiri. Bukan sahaja kita tidak mempunyai kuantiti dan kualiti tenaga pendakwah tetapi juga berdepan dengan orang yang mempunyai pemikiran dan pengaruh seperti Nurul Izzah dan konco-konconya.

''Kehadiran orang seperti ini dalam masyarakat kita pastinya menyulitkan lagi gerak kerja memurnikan akidah yang penuh berliku,'' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasan berkata, di dalam forum tersebut, Nurul Izzah dikatakan turut menerima konsep seks bebas iaitu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

''Nurul Izzah juga mengulas persoalan LGBT. Beliau dikatakan menerima LGBT. Beliau juga menyarankan supaya kita menghormati mereka yang terlibat dengan LGBT dan menyatakan tidak menjadi satu kesalahan bagi mereka yang melakukannya dalam keadaan tersembunyi.

''Adalah jelas kenyataan yang dibuat oleh Nurul Izzah kelihatan saling tak tumpah seperti apa yang pernah disebut oleh ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam banyak hal aliran pemikiran dan fahaman beliau mengenai LGBT selari seperti arca di cermin dengan hujah yang dikemukakan oleh Anwar,'' katanya.

Kata Hasan, gerakan itu menjadi bertambah mudah apabila Pas yang sepatutnya menjuarai isu akidah, syariah dan moral, kelihatan begitu terpesona dan terpaku dengan kelicikan Anwar.

''Ini menyebabkan rakyat Malaysia khasnya Melayu-Islam akan terjerumus dalam kancah akidah, syariah dan akhlak yang begitu mengerikan,'' katanya.

Dalam pada itu, Hasan mengingatkan kepada kepemimpinan gereja supaya tidak mengambil kesempatan dengan tibanya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) untuk menganjurkan program yang menyentuh perkara-perkara dasar melibatkan masyarakat Islam.

''Dikhuatiri gerakan terancang ini akan menyebabkan masyarakat Islam semakin berpecah belah. Perpecahan sedemikian sudah tentu menguntungkan mereka yang gemar menangguk di air keruh.,'' katanya.

Beliau juga mahu kepemimpinan tertinggi Pas terutamanya golongan parasit tampil menyatakan pendirian berhubung dengan pandangan Nurul Izzah itu.

''Apakah mereka akan terus membisu dan rela membiarkan gejala kekusutan akidah terus menular? Apakah mereka memilih untuk terus menikus melihat fahaman pluralisme agama dan Islam liberal terus melonjak tanpa sekatan?,'' katanya.


Nurul Izzah perlu dipanggil


Oleh KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pihak berkuasa agama Islam digesa memanggil Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bagi menjawab kontroversi kenyataan beliau mengenai kebebasan beragama di negara ini yang sepatutnya diguna pakai secara sama rata termasuk orang Melayu.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, Nurul Izzah perlu memberi penjelasan kepada pihak berkuasa kerana kenyataan tersebut telah menjadi isu kepada negara dan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

"Saya juga mencadangkan pihak Peguam Negara meneliti isu tersebut dan mengkaji adakah ia termasuk di bawah Akta Hasutan, kalau benar disabit kesalahan serta kes itu memerlukan pendakwaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Nurul Izzah seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang Malaysiakini berkata: "Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama.. mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta Forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? di Subang Jaya, Kelmarin iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Melayu di bawah Perkara 160 (2) ditakrifkan sebagai seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan istiadat Melayu.

Nurul Izzah dalam kenyataan di blognya http://www.nurulizzah.com, bagaimanapun, menjelaskan beliau berpegang kepada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kepada soalan yang dikemukakan dalam forum itu, Nurul Izzah berkata "Jawapan saya menegaskan ungkapan- 'Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)..' daripada ayat suci al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia."

Ismail memberitahu, pemikiran- pemikiran Islam yang liberal perlu dicegah sebelum menjadi parah kerana adanya puak-puak tertentu bercita-cita untuk menguasai Putrajaya dan membawa elemen-elemen yang menghancurkan ajaran sebenar Islam.

Tegas beliau, memang tiada paksaan untuk orang bukan Islam memeluk agama Islam namun perlu diperingatkan, golongan yang memeluk agama Islam adalah tertakluk kepada peraturan Islam yang juga tidak membenarkan umatnya keluar dari agama Islam.

"Saya sendiri tidak setuju cara ayat dari surah al-Baqarah itu ditafsirkan bagi menjawab soalan forum tersebut, sepatutnya yang dijawab adalah orang Islam tiada kebebasan untuk keluar dari agama kerana dia sudah terikat perjanjian dengan Allah selama-lamanya sebagaimana diucapkan dalam dua kalimah syahadah," katanya.

Jangan terlalu kebaratan - Dr. M

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
pengarang@utusan.com.my


Alias Abdullah (kanan) memakaikan kalung Anugerah Penaung Pertubuhan Perancangan Malaysia kepada Dr. Mahathir Mohamad sambil diperhatikan Chor Chee Heung di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin umat Islam di negara ini mengetahui bahawa mereka tidak boleh menukar agama sesuka hati.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang Melayu supaya tidak terlalu kebaratan terutama membabitkan soal agama Islam.

"Kita sebagai orang Islam tidak tukar agama bukan seperti agama lain yang bebas pegangan agamanya," katanya dalam sidang akbar selepas menerima Anugerah Penaung Pertubuhan Perancangan Malaysia sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia, di sini hari ini.

Dr. Mahathir diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.

Penganugerahan itu diterima atas sumbangan beliau dalam perancangan dan pembangunan di peringkat antarabangsa termasuk pemikiran serta kredibiliti dalam memacu Malaysia ke arah negara maju menjelang tahun 2020, Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran dan pembangunan Cyberjaya sebagai Koridor Raya Multimedia.

Yang turut hadir ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dan Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia, Prof. Datuk Dr. Alias Abdullah.

Mengulas lanjut kata Dr. Mahathir, umat Islam di negara ini tidak boleh terbawa-bawa pemikiran barat, bebas melakukan apa sahaja, termasuk mengeluarkan filem menghina agama Islam dan berkahwin dengan sesama jenis.

"Saya tertarik apabila tiga pemimpin agama di Amerika Syarikat menyatakan taufan Sandy yang melanda pantai timur negara itu disebabkan balasan Tuhan terhadap kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Jelas mereka juga tidak setuju dengan amalan berkenaan dan kalau kita biarkan perkara ini berlaku, institusi keluarga akan hancur," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment