Thursday 8 November 2012

ISMA : Awasi Penularan Islam Liberal Secara Halus Di Malaysia


AIDCNews – 03/11/12 – Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA, Ustaz Hazizi Abdul Rahman meminta umat Islam berhati-hati dengan gerakan Islam Liberal yang sedang menyusup secara halus di Malaysia.
Menurutnya, walaupun pendokong-pendokong Islam Liberal Malaysia tidak mengaku mereka adalah penganut fahaman tersebut, namun ianya dapat dikenal pasti melalui kenyataan-kenyataan mereka dalam pelbagai isu yang berkaitan dengan Islam.
“Berdasarkan kenyataan-kenyataan yang mereka buat atas isu-isu yang berlaku seperti isu murtad, isu hukuman sebat pada wanita dan sebagainya, juga berdasarkan kepada buku-buku yang mereka terbitkan, konsisten mereka membawa fahaman Islam Liberal, walaupun mereka tidak mengaku.
“Jadi umat Islam di Malaysia harus mengambil langkah lebih berhati-hati kerana serangan pemikiran itu berlaku secara amat halus,”katanya kepada Buletin ISMA, 2 November.
Menurutnya, pendokong-pendokong Islam Liberal petah menyalahgunakan dalil Al Quran dan Hadis yang ditafsirkan mengikut akal semata-mata demi untuk mengelirukan golongan muda supaya menyokong mereka.
“Amat membimbangkan kepada kita, generasi muda tak dapat membezakan di antara Islam yang benar berdasarkan Al Quran dan Hadis dengan Islam Liberal ini kerana Islam Liberal di Malaysia ini juga menggunakan hujah-hujah Al Quran tetapi menurut tafsiran akal mereka semata-mata,” katanya
Ustaz Hazizi turut ditanya tentang ‘Projek Rumah Ibadah Kita‘ yang telah dijalankan oleh sekumpulan anak muda bertujuan untuk memupuk persefahaman di antara masyarakat berbilang agama di Malaysia.
“Itu merupakan satu gejala, mereka nak bawa konsep tersebut dalam negara kita yang sebenarnya lahir daripada pluralisme agama.
“Pluralisme agama ini juga lahir daripada fahaman liberal. Bila kita mempunyai fahaman liberal, maka kita juga akan bawa fahaman pluralisme agama,” katanya lagi

No comments:

Post a Comment