Thursday, 1 November 2012

Kecelaruan persepsi Haji Hadi terhadap DAP

SUDAH tentu para penyokongnya tidak akan setuju bila dikatakan bahawa persepsi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap DAP sangatlah bercelaru. Tetapi pada hakikatnya yang bercelaru bukan sahaja persepsi beliau terhadap DAP, malah keseluruhan hubungan Pas dan DAP sudah penuh dengan kecelaruan sehingga hala tuju perjuangan Pas sekarang sudah semakin tidak tentu arah.
Banyak prinsip perjuangan asal Pas sekarang telah dikompromi sama ada sebagai sebab atau akibat daripada kecelaruan itu. Cita-cita untuk mewujudkan negara Islam sekarang seakan-akan sudah dilupakan. Pelaksanaan aspek-aspek tertentu berkenaan syariat Islam di negeri-negeri yang Pas turut berkuasa, khususnya Selangor dan Pulau Pinang, dirintangi oleh DAP dengan pelbagai helah dan cara. Kepentingan Islam dan Melayu yang untuk sekian lama menjadi pedoman utama atau lambang obor perjuangan Pas sekarang sudah "di-PR-kan" atau dikaburi oleh "semangat Pakatan Rakyat".
Kecelaruan itu membimbangkan banyak pihak yang simpati dan prihatin dengan prinsip asal perjuangan Pas seperti digagaskan oleh Ahmad Fuad, Dr. Burhanuddin al-Helmi, Profesor Zulkifli Muhammad dan pemimpin lain di peringkat awal kemunculan Pas . Kebimbangan itu juga terbayang dalam reaksi seorang bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad (Utusan Malaysia, 15 Oktober 2012) yang mengingatkan supaya Abdul Hadi jangan terlalu ghairah bekerjasama dengan DAP semata-mata hendak mengejar undi Cina sehingga sanggup menggadaikan dasar perjuangan Islam parti itu selama ini.
Kebimbangan dan pandangan Nakhaie itu mengingatkan saya satu tamsil ibarat dalam loghat Minangkabau yang berbunyi: "Tukang panciang dilarikan ikan." Teringat juga ungkapan yang sering diulang oleh Dr. Burhanuddin dan tokoh pendidikan Melayu Allayarham Aminuddin Baki: "Menang sorak kampung tergadai." Satu lagi pepatah Melayu berkaitan: "Untung secupak rugi segantang."
Sesungguhnya keghairahan Abdul Hadi bekerjasama dengan DAP dengan tujuan "memancing undi Cina" tanpa perhitungan untung rugi matlamat perjuangan ummah dalam jangka panjang adalah satu strategi membahayakan yang akan memerangkap Pas dalam sindrom sebab-akibat "lingkaran setan" (vicious circle) yang semakin bercelaru.
Banyak contoh lain yang dapat diketengahkan untuk menunjukkan kecelaruan itu. Ini termasuklah perubahan matlamat perjuangan daripada mewujudkan negara Islam kepada negara berkebajikan, percanggahan pandangan mengenai pelaksanaan hukum hudud, peminggiran tokoh-tokoh yang pernah memegang peranan penting dalam barisan kepimpinan Pas dan "kedayusan" menangkis serangan sesetengah pemimpin DAP terhadap usaha Pas memperkasa kedudukan Melayu dan Islam.
Saya semakin yakin dengan hakikat ini lebih-lebih lagi bila membaca pandangan dan saranan dua orang tokoh ternama yang pernah memainkan peranan penting dalam barisan kepimpinan Pas. Tokoh yang dimaksudkan itu ialah: Sasterawan Negara, Datuk Dr. Shahnon Ahmad yang pernah menjadi wakil Pas dalam Dewan Rakyat dan Datuk Dr. Hasan Ali yang bukan sahaja pernah menjadi Naib Presiden Pas malah juga pernah mewakili Pas dalam barisan Exco kerajaan negeri Selangor .
Shahnon dengan tegas mengatakan "politik Pas kini tidak lagi menepati kehendak Islam... apa yang dilakukan oleh Pas sekarang hanyalah menuruti kehendak politik DAP dan ini bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam." (Utusan Malaysia, 9 Oktober) manakala Hasan pula bukan sekadar memberi komentar tentang kebatilan yang berlaku dalam persekongkolan Pas dan DAP, malah tanpa gentar turut bertindak melaksanakan tanggungjawab yang diharapkan daripadanya sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) walaupun tidak disukai DAP. Akibat sikapnya yang tak gentar melaksanakan tanggungjawabnya yang bersesuaian dengan syariat Islam dan adat istiadat Melayu itu, beliau kehilangan kedudukan sebagai Exco. Demikianlah kecelaruan dalam Pas sudah semakin bertambah kalut akibat persekongkolan dengan DAP.
Untuk menyelami lebih lanjut unsur-unsur kecelaruan tanggapan Pas (termasuk tanggapan Abdul Hadi) terhadap DAP, saya ingin membuat sedikit sorotan terhadap dua tulisan yang masing-masing dihasilkan oleh sahabat lama saya, Subky Latif dan Abdul Hadi yang saya baca di sebuah akhbar maya. Tulisan Subky itu bertajuk "Anti Islam: DAP tidak bodoh." Reaksi spontan saya terhadap judul tulisan sahabat lama saya ini ialah: "Memanglah DAP tidak bodoh, malah sangat licik dan sangat pandai memperbodoh-bodohkan orang lain."
Keseluruhan tulisan Subky sepanjang lebih kurang 750 perkataan itu, adalah pembelaan terhadap DAP. Berulang kali dia mengatakan betapa rasionalnya parti yang anti DEB yang pengerusinya sedia mati ("langkah mayat saya") untuk menentang penubuhan negara Islam. Dengan ayat yang berlainan, berulang-ulang Subky mengatakan bahawa DAP itu "tidak anti Islam."
Tetapi walaupun seluruh tulisannya satu pujian yang melangit terhadap DAP, namun dalam ayat pertama perenggan ketiga, Subky dengan selamba mendakwa: "Saya tidak berhajat membela DAP." Pada hal keseluruhan tulisannya itu adalah "pembelaan" yang sangat kuat terhadap DAP. Inilah contoh yang sangat jelas tentang kecelaruan fikiran Subky terhadap DAP. Subky menafikan perkara yang terang-terang dia lakukan.
Dalam satu ayat lain di penghujung tulisannya itu, Subky menganggap DAP (bersama MCA, MIC, Gerakan) "tidak banyak bezanya dengan UMNO dalam aspek syariahnya". Adalah keterlaluan untuk menyamakan "aspek syariah" UMNO dengan DAP. Tetapi itulah satu contoh kecelaruan persepsi Subky (seperti juga tokoh-tokoh Pas tertentu) terhadap DAP.
Seterusnya saya ingin membuat sorotan ringkas terhadap satu tulisan Abdul Hadi untuk melihat kecelaruan persepsinya terhadap DAP dan kerana itu menghalalkan persekongkolan dengan parti yang tidak henti-hentinya menentang aspirasi bangsa Melayu dan umat Islam. Tulisan itu berjudul "Hubungan Pas dengan masyarakat majmuk" dan dimulakan dengan ayat tuduhan yang menuding kepada "anggota masyarakat yang terbelenggu dengan kongkongan kejahilan terhadap Islam khususnya Fiqh Siasah".
Berbeza dengan tulisan Subky yang lebih terfokus, lancar dibaca dan mudah difahami (walaupun tidak semestinya dapat dipersetujui), tulisan Abdul Hadi ternyata kurang terfokus, dipenuhi dengan ayat yang berbelit-belit serta contoh yang kurang relevan dan hujah yang melompat-lompat.
Jika diteliti dengan cermat, ternyata tulisan Abdul Hadi tidak menepati atau tidak selaras dengan judulnya. Ungkapan "thahaluf siasah" (kerjasama politik) diulang-ulang dalam tulisan itu beberapa kali. Tetapi tiada penjelasan yang tuntas bagaimana tatacara atau modus operandi kerjasama politik antara parti Islam dengan parti bukan Islam, khususnya bila DAP dan Pas berkongsi kuasa memerintah Malaysia nanti, takdirnya angan-angan mereka dikabulkan Tuhan.
Yang lebih tertonjol dalam penulisan Abdul Hadi ialah: peri kejahilan sesetengah orang terhadap Islam, contoh-contoh hubungan pemerintah Islam dengan masyarakat bukan Islam di zaman nabi, "kelemahan dan penyelewengan" UMNO dan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun."
Tajuk tulisan Abdul Hadi itu seakan-akan menjanjikan penjelasan yang tuntas bagaimana Pas akan menangani pelbagai masalah masyarakat majmuk Malaysia sekarang yang penuh dengan kontradiksi dan keragaman dalaman (sesama kaum) dan keragaman luaran (antara kaum). Tiada penjelasan yang tuntas bagaimana hendak menghadapi jurang ekonomi, jurang sosial, jurang akidah dan jurang psikologi serta jurang politik yang semakin melebar dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ini.
Ternyata Abdul Hadi lebih banyak "berkhutbah" dan membuat andaian-andaian negatif terhadap orang lain, khususnya UMNO dan Barisan Nasional dan kalangan anggota masyarakat yang beliau anggap 'terbelenggu dengan kongkongan kejahilan terhadap Islam'.
Jika tulisan Subky mengakui dan mengingatkan kita bahawa "DAP tidak bodoh", ternyata tulisan Abdul Hadi mengandaikan seakan-akan DAP itu begitu naif dan akan menerima dan akur terhadap cita-cita Islam yang diperjuangkan Pas. Hadi seakan-akan mengabaikan hakikat bahawa "DAP itu cerdik dan licik" dan mempunyai agenda politik jangka panjang tersendiri yang bercanggah dengan cita-cita asal perjuangan Pas.
Contoh-contoh peristiwa di zaman nabi dalam tulisan Abdul Hadi lebih banyak merujuk kepada hubungan pemerintahan yang adil dalam masyarakat majoriti Islam dengan individu-individu bukan Islam yang patuh kepada undang-undang dan peraturan pemerintah. Abdul Hadi seakan-akan lupa realiti sosio politik serta struktur demografi zaman nabi berbeza dengan realiti yang wujud di Malaysia sekarang.
Dan yang lebih merunsingkan ialah Abdul Hadi lupa DAP itu mempunyai agenda politik sendiri yang bercanggah dengan cita-cita perjuangan Islam. Jika beliau menganggap orang lain "terbelenggu dengan kongkongan kejahilan terhadap Islam", Abdul Hadi sendiri hendaklah memastikan beliau tidak "terbelenggu dengan kongkongan kejahilan" dalam memahami strategi semasa dan perancangan jangka panjang DAP.


No comments:

Post a Comment