Friday 2 November 2012

Dr. Badrulamin Bahron Ditahan Dalam Program Cubaan Hidupkan Al-Arqam


Anggota penguat kuasa JAIS merampas kain rentang sambutan ulang tahun kelahiran Ashaari Muhammad dalam serbuan di Rawang, Selangor malam tadi. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
 
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron antara beberapa individu telah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika menyerbu sebuah konsert khas yang dipercayai cuba menghidupkan kembali ajaran sesat Al-Arqam di Bandar Country Home, Rawang

Utusan Malaysia melaporkan Badrulamin ditahan kira-kira pukul 10 malam malam tadi.
Menurut sumber, Badrulamin merupakan tetamu kehormat konsert yang diadakan sempena sambutan ulang tahun kelahiran pengasas dan pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad.
Jurucakap JAIS berkata, konsert yang bertemakan “‘Abuya Terus Memimpin Walaupun Ghaib”’ itu dihadiri kira-kira 3,500 orang.
“Konsert ini didapati melanggar arahan mufti dibawah Seksyen 12C Enakmen Jenayah Syariah Selangor iaitu membantu menghidupkan fahaman Al-Aqram,” katanya.
Al-Arqam diharamkan di negara ini pada 1994.
Badrulamin seperti dilaporkan The Malaysian Insider mengakui hadir ke program itu kerana dijemput oleh Global Ikhwan Sdn Bhd.
Global Ikhwan Sdn Bhd adalah syarikat yang menaungi Al-Arqam yang diterajui oleh Hatijah Aam, balu Ashaari Mohamad.
Dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider, Badrulamin menjelaskan, keluarganya merupakan pelanggan Global Ikhwan dan pihaknya menerima jemputan untuk menghadiri majlis tersebut secara umum, dan bukannya atas jemputan khas.
“Jemputan hanya bersifat umum dan tiada jemputan khusus untuk saya … saya datang bersama isteri dan anak-anak untuk makan sambil menikmati persembahan kesenian Islam dan bersantai.
“Saya diletakkan di meja tamu sebab rasa hormat mereka, dan memang khemah lain tiada meja pun … ahli jemaah (Global) Ikhwan mengenali saya dan isteri kerana (kami) sering membeli keperluan dapur di pasaraya Ikhwan … ia menyediakan produk makanan buatan orang Islam,” katanya.

No comments:

Post a Comment