Monday 12 November 2012

BISIK-BISIK : Apa lagi dalih?

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak perlu dolak-dalih lagi. Kenyataan beliau dalam Forum Negara Islam: Versi Mana: Siapa Bertanggungjawab, sudah sangat jelas.
Memang beliau yang menyatakan bahawa hak kebebasan beragama perlu diguna dipakai sama rata termasuk oleh orang Melayu.
Bukti daripada banyak sumber tidak boleh disangkal lagi. Daripada rakaman video petikan kata-kata beliau pada forum itu sehinggalah reaksi peserta yang kecewa apabila Nurul Izzah enggan mempertahankan kenyataan asalnya.
Itu belum menyentuh laporan media pro pembangkang antaranya Malaysiakini yang lebih awal menyiarkan kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Persoalannya mengapa akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian dituduh kononnya menyiarkan laporan fitnah.
Mengapa tidak menyalahkan laporan portal pembangkang? Begitu juga sebahagian blog pembangkang termasuk Pas yang menyiarkan komen akar umbi mempersoalkan Nurul Izzah. Apakah itu juga fitnah?
Isunya mudah. Nurul Izzah sudah terlanjur kata. Apabila kenyataannya itu mencetuskan kemarahan dan keresahan umat Islam, beliau mahu mengambil cara yang tidak bertanggungjawab dengan menyalahkan media.
Mengapa tidak salahkan diri sendiri atas kenyataan beliau itu yang menjadi punca kepada segala-galanya.
Ini adalah soal prinsip dan kebenaran. Maka Awang tertarik dengan reaksi peguam, Siti Zabedah Kassim iaitu salah seorang peserta dalam forum berkenaan yang mempersoalkan tindakan Nurul Izzah seolah-olah menarik balik kenyataannya.
Menurut beliau, Naib Presiden PKR itu sepatutnya mempertahankan kenyataan berhubung kebebasan beragama dan bukannya ‘memusing 180 darjah’.
Setakat ini, Nurul Izzah tidak berani menyanggah komen Siti Zabedah. Jadi siapa yang bercakap benar dan siapa yang nampak berpusing-pusing tak keruan?


Anak beranak

Nampaknya sampai hari ini, Nurul Izzah enggan memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas kenyataannya yang dilihat menghina Islam.
Seolah-olah umat Islam tidak layak mendapat kemaafan daripada beliau.
Hairannya mengapa PKR berdiam. Ia hanya akan memberikan mesej yang salah kepada rakyat terutama ahli-ahli parti yang sebahagiannya beragama Islam.
PKR tidak boleh ditebalkan lagi dengan imej parti songsang. Mendiamkan sahaja kenyataan Nurul Izzah bermakna PKR dilihat mendokong pluralisme dan liberalisme, yang kini merupakan ancaman berbahaya kepada umat Islam seluruh dunia.
Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail sepatutnya memanggil mesyuarat khas untuk menangani perkara tersebut. Jika anaknya itu bersalah, setidak-tidaknya perlulah ditegur.
Kepimpinan parti itu juga perlu mendapatkan penjelasan daripada Nurul Izzah terhadap satu lagi kenyataannya yang dilihat menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada forum yang sama.
Tanpa merujuk kepada parti, Wan Azizah dan suaminya, Anwar Ibrahim mengambil pendirian mempertahankan anak mereka 100 peratus.
Itulah untungnya membina dinasti dalam parti. Anwar Ibrahim adalah de facto dan pengasas PKR, isteri pula presiden sementara anak, naib presiden parti. Kepentingan anak beranak lebih diutamakan.
Maka terselamatlah Nurul Izzah. Kalau terkena batang hidung pemimpin lain, lebih-lebih lagi ahli biasa dalam PKR maka pasti berbeza keadaannya.

Saman je...

Naib Presiden PKR berulang kali melaungkan beliau akan menyaman media termasuk Utusan Malaysia berhubung isu kenyataannya berkaitan kebebasan beragama untuk orang Melayu.
Tabiat mengancam media selepas sesuatu kenyataan mencetuskan kontroversi dan membawa mudarat, bukan baru. Pada Awang, ia memang penyakit di kalangan sebahagian pemimpin pembangkang yang menggunakan kaedah itu sebagai mekanisme ‘menyelamatkan imej parti’ terutama menjelang pilihan raya umum.
Kepada pemimpin seperti Nurul Izzah, saman sahajalah kalau mahu. Jangan fikir cara itu akan menyebabkan media menangis dan merintih. Utusan bukan akhbar setahun jagung yang boleh digertak dan ditakutkan.
Hak media dan kebebasan bersuara tidak boleh dihalang oleh parti mahupun politikus yang oportunis. Apatah lagi dalam soal yang melibatkan kepentingan awam dan agama Islam. Elok juga jika Nurul Izzah saman. Ia membolehkan semua pihak diheret ke mahkamah termasuk penganjur, peserta dan portal serta blog pro pembangkang.
Dalam pada itu, pelbagai pihak menyatakan sokongan kepada media. Ada seorang pensyarah mencadangkan kepada Awang supaya dilancarkan tabung khas di kalangan orang ramai bagi membantu media menghadapi kes saman Nurul Izzah.
Menurut pensyarah itu, RM1 seorang sudah memadai. Katanya, ia bukan soal wang tetapi soal simbol sokongan rakyat kepada media dalam berdepan dengan tekanan politikus yang tidak bertanggungjawab.
Ada beberapa pengurusan masjid atas nama kepentingan Islam turut menawarkan solat hajat bagi mencari kebenaran.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bersama beberapa NGO pula mengambil inisiatif untuk menyediakan barisan peguam kanan membantu Utusan.
Ingatannya kepada Nurul Izzah. ‘‘ Apabila kamu berperang dengan Utusan, kamu berperang dengan kami.’’

Sains penipuan

DI Barat, bagi menangani gejala penipuan, usaha memajukan sains penipuan (the science of deception) secara saintifik makin diperhebatkan. Bahan ujian penipuan tidak lagi terbatas kepada penggunaan poligraf, ia meliputi mengkaji bahasa tubuh.
Penemuan kaedah saintifik itu telah dirintis oleh pakar psikologi Dr. Paul Ekman yang semakin dimanfaatkan dalam menyelesaikan kes jenayah di Amerika Syarikat. Bagi mereka yang menipu, sains penipuan boleh mencari petunjuk pada wajah bahawa seseorang itu berbohong biarpun dia cuba sedaya upaya menyembunyikannya.
Awang terpanggil menyentuh hal ini kerana di Malaysia, kecenderungan pemimpin tertentu yang suka berbohong, makin ketara.
Tahap pembohongan pula cukup luar biasa. Sudah ada rakaman video yang jelas nampak tubuh dan aksi sehingga disahkan oleh pakar, begitu juga suara ketika bercakap dalam majlis, tetapi masih tebal muka mahu menafikannya.
Awang berpendapat tidak perlu untuk sesiapa belajar sains penipuan untuk mengetahui sama ada pemimpin berkenaan dalam kes-kes terbabit, bercakap benar atau berbohong. Guna akal yang waras, sudah memadai kecuali memang kita sengaja mahu menutup pintu kebenaran.
Kalaulah Dr. Ekman mengkaji kes seumpama itu, beliau pastinya tidak larat untuk geleng kepala.
Kepada pemimpin yang mahu menjadikan pembohongan sebagai pakaian hidup - tolonglah jangan menghina diri. Berikut pepatah yang sedikit Awang ubah suai khas untuk pemimpin seperti itu. Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama menzalimi.

Bencana dan LGBT


KEMUSNAHAN... beberapa pemimpin gereja di AS mengaitkan bencana taufan Sandy sebagai balasan tuhan terhadap gejala LGBT.
Kisah taufan Sandy yang mengejutkan rakyat Amerika Syarikat (AS), belum reda walaupun bencana itu sudah lama berlalu.
Paling menarik ialah kenyataan semakin ramai pemimpin gereja yang mengaitkan bencana itu sebagai balasan tuhan terhadap gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di AS.
Antara tokoh Kristian yang bersuara ialah Paderi Luke Robinson dan Paderi John Mc Ternan selain pendeta Yahudi, Noson Leiter. Mereka merujuk kepada undang-undang membenarkan perkahwinan sejenis sebagai antara punca taufan Sandy.
Taufan tersebut meragut 102 nyawa dan menyaksikan kemusnahan harta benda yang dahsyat. Jumlah kerugian dianggarkan RM150 bilion. Sebagaimana Islam, agama Kristian secara hakikinya menentang dan tidak merestui amalan homoseksual dalam kalangan penganutnya.
Di Malaysia, gereja juga bersatu menolak perkahwinan sejenis melibatkan seorang paderi, Ngeo Boon Lin, rakyat Malaysia di AS, yang pernah mencetuskan kegemparan tahun lalu.
Kaitan bencana dengan gejala seks luar tabii sudah mewarnai zaman berzaman. Kemusnahan bandar Pompei ketika era kegemilangan Rome sudah tercatat dalam sejarah akibat gejala seks bebas dan luar tabii.
Dalam Islam, bala yang menimpa kaum Nabi Luth menjadi pengajaran bernilai bagaimana gejala tersebut mengundang kemurkaan Allah. Pun begitu, Awang sedih kerana ada dalam kalangan orang Islam termasuk berstatus pemimpin menyokong gerakan LGBT.
Bukan itu sahaja, ada asas untuk mempercayai penglibatan tokoh tertentu dalam gejala tersebut, yang secara tidak langsung memberi motivasi kepada gerakan LGBT di negara ini.
Awang tertanya-tanya apakah akan terjadi jika kita sudah tidak berdaya mengekang peningkatan gejala tersebut? Sebagaimana taufan Sandy di AS, apa pula bencana bakal menimpa kita.
-Awang Selamat


No comments:

Post a Comment