Thursday 8 November 2012

PGSM : Halang Sebar Agama Lain Di Kalangan Umat Islam


Usaha mengembangkan agama lain kepada orang Melayu beragama Islam di negara ini tidak dibenarkan oleh perlembagaan dan undang-undang, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.
Katanya, walaupun Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan kelihatan membenarkan kebebasan beragama, tetapi Perkara 11 (4) memberi kuasa kepada kerajaan negeri dan persekutuan mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.
“Kawalan ini bersesuaian dengan Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi persekutuan kerana Perkara 3 (1) Perlembagaan menyatakan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan dan Perkara 160 pula mentakrifkan orang Melayu sebagai seseorang yang menganuti agama Islam.
“Maka berdasarkan peruntukan-peruntukan ini, kebebasan beragama bukan suatu yang mutlak di negara ini kerana ia tertakluk kepada peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan dan bukan dibaca satu ayat di dalam Perkara 11 sahaja,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berhubung isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu di negara ini seperti yang dilaporkan sebuah akhbar hari ini.
Justeru, Musa berkata, umat Islam perlu berhati-hati dengan pihak yang berusaha untuk caca-merba akidah orang Melayu Islam di negara ini dan menolak mana-mana pihak yang cuba mengubah atau meminda perlembagaan ini atau cuba memberi hak kebebasan mutlak beragama.
Ia kerana, dakwa beliau, tindakan itu akan menjadikan masyarakat Malaysia caca merba serta meruntuhkan institusi kekeluargaan dan agama seperti yang berlaku di Indonesia.
Justeru, katanya, adalah menjadi tugas kerajaan dan pihak berkuasa berkenaan agama menjaga akidah umat Melayu Islam daripada terpesong atau dipengaruhi oleh agama lain.
Tegas beliau, perkara ini perlu dipertahankan sampai bila-bila termasuk oleh pakatan pembangkang. – mynewshub

No comments:

Post a Comment