Pengaruh pengundi Islam di AS
MEMANG benar rakyat Amerika Syarikat (AS) berketurunan Yahudi mempunyai pengaruh besar terhadap perjalanan politik negara kuasa besar itu walaupun kumpulan ini hanya merangkumi tidak lebih daripada tujuh juta dari keseluruhan penduduk AS yang menjangkau lebih dari 300 juta orang.Perhatikan sahaja kempen Presiden di antara calon Demokrat Barack Obama dan Mitt Romney dari Republikan, masing-masing berlumba menonjolkan mereka adalah pemimpin yang lebih baik untuk menjaga kepentingan Israel terutama dalam isu bersangkutan dengan Palestin atau pun Iran.
Yahudi AS mampu mewarnai politik negara itu kerana mereka mempunyai kumpulan pelobi yang berpengaruh dan menguasai beberapa sektor strategik seperti ekonomi dan pembuat dasar. Walaupun bilangan penduduk Yahudi tidak ramai tetapi mereka mempunyai sokongan yang padu dari majoriti rakyat AS.
Tetapi berbeza pula dengan kumpulan penduduk AS yang beragama Islam, kedua-dua calon Presiden ini tidak begitu berminat untuk memikat pengundi daripada kelompok ini. Mungkin juga penduduk Islam ini dianggap sebagai kumpulan minoriti yang tidak kritikal kerana hanya mewakili tidak sampai 0.5 peratus penduduk AS berbanding dengan kumpulan minoriti lain seperti Hispanik (17 peratus) dan bekas tentera (7 peratus).
Mungkin juga Obama dan Romney tidak mahu dilihat bersekongkol dengan pengundi Islam kerana khuatir akan kehilangan undi daripada kumpulan yang bersimpati dengan perjuangan Yahudi.
Oleh kerana sistem pengiraan undi Presiden AS adalah begitu unik sekali yang tidak menggunakan konsep satu pengundi mewakili satu undi tetapi berdasarkan jumlah kumpulan undi bagi setiap negeri yang dipanggil Electoral College, pengundi Islam mempunyai kewibawaan untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya yang akan diadakan beberapa hari lagi.
Tujuan utama sistem pengundian Electoral College digunakan adalah untuk mengelak negeri yang mempunyai penduduk ramai seperti California (38 juta) mempengaruhi keputusan pilihan raya secara berat sebelah berbanding dengan negeri yang tidak ramai penduduk seperti Vermont (600,000).
Calon yang memperolehi undi terbanyak di California akan menerima 55 undi Electoral College sementara Vermont pula mewakili 3 undi. Secara keseluruhannya terdapat 538 undi Electoral College.
Satu perkara yang menarik mengenai pola pengundi Islam AS adalah kumpulan ini mengundi mengikut isu semasa kecuali pengundi Islam Afrika-Amerika yang secara lazimnya akan mengundi calon Demokrat.
Penduduk Islam Afrika-Amerika ini hanya mewakili 20 peratus penduduk Islam AS dan selebihnya adalah terdiri daripada kumpulan yang berasal dari negara Arab, Asia Selatan, Iran dan juga Eropah.
Jika diambil iktibar daripada pengajaran pilihan raya tahun 2000 di mana George W. Bush berjaya menewaskan pencabarnya Al Gore kerana berjaya memperolehi 25 undi Electoral College Florida dengan hanya kelebihan undi sebanyak 537 sahaja, maka undi pengundi Islam adalah penting.
Kepentingan undi minoriti amat terserlah kerana walaupun secara keseluruhannya Al Gore memperolehi 48.4 peratus jumlah keseluruhan undi berbanding Bush (47.9 peratus), tetapi jumlah perolehan Electoral College memihak kepada Bush.
Tidak keterlaluan jika diandaikan bahawa kemenangan Bush ada kena mengena dengan pola pengundian penduduk Islam di Florida pada ketika itu kerana beliau telah memperolehi lebih dari 70 peratus undi penduduk Islam dari keseluruhan 100,000 pengundi.
Kempen Bush pada ketika itu banyak memberi tumpuan untuk memikat pengundi Islam dan buat pertama kali pada Konvensyen Republikan 2000, bacaan doa Islam turut disertakan.
Satu lagi bukti kukuh yang menjerumus kepada pengundi Islam mengundi berdasarkan isu semasa adalah pada pilihan raya 2004. Jika sebelum ini 70 peratus pengundi Islam memilih Bush, tetapi selepas pengalaman peristiwa serangan 11 September 2001, hanya 10 peratus pengundi ini yang masih bersama dengan Bush.
Walaupun penduduk Islam AS hanya mewakili tidak sampai 0.5 peratus jumlah penduduk AS, tetapi jumlah pengundi kumpulan ini di beberapa negeri mewakili 1 peratus dari jumlah keseluruhan. Walaupun angka ini kecil tetapi di beberapa negeri seperti Florida, Ohio, Pennsylvania dan Michigan yang mempunyai bilangan pengundi Islam yang ketara, pengaruh golongan ini adalah kritikal.
Telah terbukti bahawa pengundi Islam AS adalah golongan yang agak sofistikated kerana mereka mengundi mengikut isu semasa dan kebiasaannya mengundi secara blok. Telah terbukti juga jumlah pengundi Islam yang keluar mengundi jauh melebihi peratusan keseluruhan AS yang jarang melebihi 50 peratus.
Sebagai contohnya ketika pilihan raya Presiden 2008, sebanyak 80 peratus pengundi Islam yang layak keluar mengundi di Florida dan 90 peratus dari jumlah ini mengundi Obama. Mungkin juga kerana sokongan padu pengundi Islam Florida, Obama mengatasi pencabarnya John McCain dengan kelebihan 230,000 undi.
Walaupun dianggap penduduk minoriti yang tidak mempunyai pengaruh sehebat Yahudi, pengundi Islam AS sebenarnya boleh menjadi penentu keputusan pilihan raya Presiden kali ini kerana Obama atau Romney masih tidak mempunyai lebihan sokongan undi yang ketara.
Pengundi Islam AS perlu pintar menggunakan kuasa yang ada kerana jika betul gayanya, suara minoriti mereka akan diambil berat oleh Presiden AS kerana isyarat telah diberi bahawa kumpulan ini mampu mewarnai politik AS.
PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.
No comments:
Post a Comment