Thursday, 1 November 2012

'Double standard' Salahuddin Ayub

KENYATAAN Salahuddin Ayub terhadap Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MCA dengan memberi tempoh seminggu untuk menarik balik kenyataannya terhadap hukum hudud dan akan mengambil tindakan undang-undang adalah pendirian yang sifatnya 'double-standard'.
Bila Karpal Singh menghina negara Islam dan hudud, Salahuddin dan Pas tidak pula bertempik memberi amaran dan mengambil tindakan undang-undang.
Apakah isu yang dibawa oleh Karpal itu berbeza sehingga Salahuddin dan Pas terkedu dan tidak menyatakan apa-apa sikap dan pendirian.
Bila Nasharudin Mat Isa mencabar Karpal mengambil tindakan undang-undang terhadap sikapnya mempertahankan negara Islam dan hudud, Salahuddin dan Pas diam membisu. Sedangkan Nasharudin adalah anggota Majlis Syura Pas dan masih menjadi ahli Parlimen dan ahli Pas yang sah. Dia belum dipecat lagi.
Paling tidak Salahuddin patut bangun bersuara dan menyatakan secara tegas sebarang tindakan undang-undang terhadap Nasharudin akan dibela oleh Pas. Mengapakah ini tidak berlaku?
Setengah pemimpin Pas mengulas bahawa sikap yang diambil Nasharudin itu tidak dibincangkan dalam Lujnah Politik atau Jawatankuasa Tertinggi mahupun majlis Syura. Ia hanya kenyataan peribadi Nasharudin.
Pada hemat penulis kenyataan Nasharudin itu adalah penegasan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Pas dan sering disebut oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ia bukan perkara asing dalam perjuangan Pas. Melainkan kalau Datuk Dr. Hasan Ali menyebutkan perkara tersebut, ia sudah tidak lagi menjadi ahli Pas.
Sekali lagi sikap 'double-standard' sangat nyata menjadi permainan politik Pas. Soal prinsip dan hala tuju perjuangan sedang dipertaruhkan dengan cita-cita politik untuk berkongsi kuasa.
Oleh kerana isu hudud ditentang oleh DAP sepatutnya orang pertama mengalu-alukan kenyataan Soi Lek itu ialah Karpal Singh. Isu hudud tidak saja menjadi isu Pas menarik minat pengundi Melayu tetapi tentangannya juga menjadi isu untuk menarik minat pengundi Cina.
Yang sedihnya mengapa isu hudud menjadi permainan politik sedangkan ia adalah sebahagian dari hukuman Islamiah. Lebih hairan lagi mengapa Pas reda peruntukan negara Islam dan hudud ditiadakan dari Buku Jingga dan tidak berlaku pula bantahan, amaran atau tindakan undang-undang terhadapnya.
Apakah Salahuddin ingin menunjukkan bahawa Pas masih bersungguh-sungguh dan serius untuk melaksanakan hudud sedangkan DAP dan PKR tidak ada cita-cita sedemikian. Kalau ada sudah tentu ia diperuntukan dengan jelas dalam Buku Jingga.
Kalau begitu apa yang dilakukan oleh Soi Lek sama seperti apa yang dilakukan oleh Karpal. Kalau Soi Lek didakwa di mahkamah apakah tidak mungkin Karpal akan membelanya kerana mereka mempunyai pendirian yang sama.
Inilah cara ahli politik yang menggunakan Islam untuk kepentingan kerusi dan kuasa. Atas nama prinsip sekiranya Soi Lek ditentang perkara yang sama harus dilakukan kepada Karpal Singh dan DAP.
Tetapi Salahuddin dan Pas tidak berani kerana ia bakal mendatangkan 'murka' Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pakatan Pembangkang akan pecah. Ini yang sangat ditakutkan oleh Salahuddin dan Pas walaupun DAP terus menghina Islam.
Salahuddin cukup pandai bersilat lidah memperlihatkan kewiraannya kepada Soi Lek tetapi membisu seribu bahasa bila Karpal melakukan hal yang sama. Khalayak sedang membaca sepak terajang Pas dalam isu-isu pokok yang menuntut perkara prinsip dipertahankan.
Malangnya, khalayak sedang dipamerkan gelagat politik Salahuddin dan Pas yang memperlihatkan kelemahan yang amat fundamental.Kalau begitu apa makna Nik Aziz ingin mempertahankan negara Islam dan hudud kalau keberanian hanya ditunjukkan kepada Soi Lek, Presiden MCA tetapi tidak kepada Karpal, Pengerusi DAP.
Pendirian Soi Lek untuk tidak bersetuju tidak sampai langkah mayatnya dulu. Tetapi Pendirian Karpal ialah "over my dead body". Sedangkan perjuangan hidup-mati Pas ialah negara Islam dan hudud. Mengapa Salahuddin dan Pas tidak sanggup menyatakan "langkah mayat aku dulu" menghadapi tentangan DAP dan juga Soi Lek. Kalau ini berlaku barulah khalayak menyatakan ini politik "anak jantan" demi prinsip dan kebenaran.


No comments:

Post a Comment