Thursday 8 November 2012

Fahaman Liberalisme, Pluralisme Ancam Islam


Antarapos – Penularan fahaman liberalisme dan pluralisme di kalangan masyarakat negara ini amat membimbangkan kerana mampu mengancam agama Islam, kata Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad.
Beliau menambah, fahaman tersebut menjadi satu ancaman kepada Islam kerana ia secara terang-terangan melanggar prinsip maqasid, iaitu matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia.
“Sebelum jadi plural, ia (bermula) dengan liberal dulu, sebab liberal ni free thinking (pemikiran bebas). Dia tak terikat dengan authoriti, Al Quran, Hadis atau Al Ijmak.
“Fahaman liberalisme dan pluralisme ini memang mengancam agama. Ia sebenarnya bukan sekadar mengancam agama Islam, tapi seluruh agama yang lain sebab premis mereka yang liberal, tidak terikat dengan mana-mana ajaran dan hukum-hakam agama masing-masing,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Maqasid terbitan Antarapos, di pejabatnya, baru-baru ini.
Sambil membidas pemimpin-pemimpin yang berfahaman liberal, Ismail turut mengkritik bekas rakan seangkatannya sebelum ini iaitu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dakwanya pendokong fahaman liberalisme.
“Jadi di Malaysia ini yang mendokong pemikiran “sapare aude” (pemikiran bebas) ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini berdasarkan blog beliau sendiri, bahawa dia sudah beramal dengan doktrin dan falsafah sapare aude sudah berdekad-dekad.
“Sapare aude ini maknanya ialah membebaskan diri, membebaskan akal daripada terikat dengan mana-mana autoriti,” katanya lagi.
Selain Anwar, anaknya Nurul Izzah yang juga adalah Naib Presiden PKR, pada Sabtu lalu membuat kenyataan bahawa orang Melayu harus diberi kebebasan penuh untuk memilih agama mereka, sekali gus membayangkan mereka harus diberi kelonggaran memilih agama selain Islam.
“Tidak harus ada paksaan di dalam agama. Bagaimanakah seseorang itu boleh berkata maaf.. ini (kebebasan agama) hanya untuk bukan Melayu. Ia (sebenarnya) harus dilaksanakan sama rata (untuk semua kaum),” kata Nurul sehingga mencetuskan kontroversi.
Kenyataan Izzah itu mengundang kritikan banyak pihak termasuk Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Nik Muhammad Zawawi Salleh, Ulama muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya dan Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Datuk Aidit Ghazali.
Mengulas lanjut, Ismail menjelaskan bagaimana fahaman liberal mengancam prinsip maqasid syariah, iaitu tidak mengambilkira elemen-elemen yang wajib dipelihara sebagaimana yang digariskan demi kemaslahatan seluruh ummah.
“Kenapa kita kata ia ancaman? Kita ambil prinsip maqasid yang lima itu. Pertama, memelihara agama, memelihara akal, memelihara nasab (keturunan), memelihara harta dan kemudian memelihara jiwa.
“Apa yang dimaksudkan dengan memelihara agama? Memelihara agama sudah tentulah memelihara tauhid. Tapi golongan liberal dan plural melihat tauhid itu sekadar percaya Tuhan yang satu…tidak,” katanya.
Merungkai ancaman fahaman ini kepada elemen maqasid syariah yang kedua, kata pendakwah ini lagi, seorang muslim harus memelihara diri dan jiwa, merangkumi makan minum, kediaman, pakaian dan sebagainya
Ini termasuklah pelaksanaan hukum hudud, yang bertujuan untuk memelihara kesejahteraan jiwa.
“Golongan liberal dan plural ini tak kisah makan minum, halal haram tak kira.
“Sebab itu, orang yang bunuh orang, hukum balasnya (jiwa dibalas jiwa). Jadi ini untuk memelihara jiwa,”kata beliau.
Jelas Ismail lagi, sekiranya prinsip maqasid tidak dipelihara, ancamannya kepada agama amat dahsyat, iaitu mewujudkan hubungan sejenis (tidak memelihara keturunan), melakukan sesuatu tanpa merujuk Al Quran, Hadis an Al Ijmak (tidak memelihara akal) serta sanggup menggadaikan negara (tidak memelihara harta).
“Jadi maknanya, dalam mempertahankan Al-Mal (harta) maka Al-Mal yang besar sekali negeri atau negara. Maka wajib (pelihara). Tapi bagi orang liberal dan plural, mereka tak kisah. Negeri pun dijual.
“Maqasid ini, kata ulama kita, tujuan maqasid ini adalah untuk membina satu sistem hidup untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.
“Orang liberal ni dia tak jaga maqasid syariah,”jelas beliau.


No comments:

Post a Comment