Thursday 1 November 2012

Moratorium hukuman mati kes dadah

MENGIKUT laporan media terkini, satu cadangan untuk menangguhkan hukuman mati bagi pesalah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 akan dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Tempoh penangguhan hukuman itu (moratorium) adalah sehingga Jabatan Peguam Negara selesai melakukan kajian semula ke atas pelaksanaan hukuman mati mandatori di bawah Akta itu.
Pada masa ini, kita tidak tahu sama ada Jabatan Peguam Negara telahpun menjalankan kajian itu atau pun belum lagi. Dan jika kajian tersebut akan dimulakan segera, tidak pasti bila kajian itu akan selesai.
Mengikut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, cadangan penangguhan hukuman mati itu melibatkan 75 warga Indonesia (termasuk 6 wanita) yang dijatuhkan hukuman mati di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketika ini lebih separuh daripada kira-kira 900 pesalah yang dijatuhkan hukuman mati adalah pesalah dadah.
Sebanyak 86 pesalah yang telah dijatuhkan hukuman mati itu ialah warga Indonesia. Daripada jumlah ini, 75 adalah pesalah dadah, selebihnya dikenakan hukuman mati atas kesalahan di bawah undang-undang lain.
Bercakap kepada wakil media baru-baru ini, Mohamed Nazri menyatakan bahawa pada masa ini ada kira-kira 250 warga Malaysia yang telah ditangkap di beberapa negara asing dan kerajaan Malaysia sedang berusaha "menyelamatkan mereka daripada dikenakan hukuman mati".
Mereka ini perlu diselamatkan kerana mereka hanya "keldai dadah" yang telah ditipu dan diperkudakan oleh penjenayah dadah, katanya lagi.
Mohamed Nazri menambah - "Kita mahu melakukan justifikasi terhadap rayuan kita ke atas warga Malaysia yang dihukum mati di luar negara kerana dadah. Kita tidak boleh melakukan justifikasi dengan berkesan jika kita sendiri menghukum mati mereka yang bersalah atas kesalahan dadah."
Apa yang boleh kita fahamkan daripada ucapan Mohamed Nazri kepada media ialah bahawa kerajaan Malaysia mahu menyelamatkan warga Malaysia yang terdiri dari "keldai dadah" daripada dikenakan hukuman mati di beberapa negara asing; untuk itu, kerajaan Malaysia perlu membuat rayuan kepada negara-negara berkenaan agar warga negara ini yang disabitkan kesalahan mengedar dadah tidak dikenakan hukuman mati; andainya perbicaraan mereka telah pun selesai dan mahkamah telah menjatuhkan hukuman mati, kerajaan merayu kepada kerajaan berkenaan untuk tidak melaksanakan hukuman mati itu; kerajaan melakukan moratorium ini kepada pesalah pengedar dadah warga asing yang telah dikenakan hukuman mati oleh mahkamah kita dengan harapan negara asing berkenaan akan reciprocate, iaitu akan melakukan tindakan yang serupa ke atas warga negara ini yang dikenakan hukuman mati di negara berkenaan.
Mengikut portal Wikipedia, antara negara yang mengenakan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah adalah Afghanistan, Bangladesh, Brunei, China, Cuba, Mesir, Indonesia, Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Laos, Malaysia, Korea Utara, Oman , Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Singapura, Somalia, Sri Lanka, Syria, Sudan, Taiwan, Thailand, UAE, Vietnam, Yemen, Zimbabwe.
Di Amerika Syarikat, undang-undang persekutuan dan undang-undang Florida dan Missouri mengandungi peruntukan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah, tetapi tidak pernah dilaksanakan (http://en.wikipedia.org/wiki/Capital_punishment_for_drug_trafficking).
Di negara kita, hukuman mati dikenakan bagi pelbagai kesalahan (selain pengedaran dadah) iaitu seperti berikut, antaranya melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong - s. 121 Kanun Keseksaan (seperti kes Al-Maunah); kesalahan dilakukan pada tubuh badan Raja atau Sultan - s. 121A Kanun Keseksaan; kesalahan membunuh - s. 302 Kanun Keseksaan (kes Mona Fandey); kesalahan menculik (kidnapping) s. 364 Kanun Keseksaan; mengambil tebusan (hostage taking) - s. 374A Kanun Keseksaan Rompakan berkumpulan serta membunuh - s. 396 Kanun Keseksaan Memiliki senjata api - s. 57 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.
Daripada aspek pelaksanaan hukuman, di Malaysia seorang pesalah yang telah dikenakan hukuman mati akan digantung. Di negara asing, selain hukuman gantung, terdapat beberapa cara lain - iaitu ada yang menggunakan hukuman tembak (firing squad), pancung (seperti di Arab Saudi) atau suntikan maut (lethal injection).
Niat Jabatan Perdana Menteri untuk menangguhkan hukuman mati (iaitu hukuman yang dijatuhkan di penghujung satu proses perbicaraan yang teratur dan rapi) nampaknya bukan timbul daripada kesedaran bahawa Akta Dadah Berbahaya 1952 kita terbukti tidak berkesan langsung, atau ketinggalan zaman atau zalim, atau mahkamah kita telah silap atau sebagainya.
Sebaliknya ia adalah strategi bagi maksud memujuk negara asing tertentu untuk tidak melaksanakan hukuman mati ke atas warga negara Malaysia yang telah ditangkap dan dikenakan hukuman mati di negara berkenaan.
Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bagaimana nanti hasil kajian, perakuan dan pandangan Jabatan Peguam Negara di akhir tempoh kajian yang disebutkan di atas tadi.
Juga masih terlalu awal untuk kita mengatakan apakah tindakan moratorium yang kita hendak laksanakan ini akan dapat memujuk kerajaan asing untuk segera bertindak serupa terhadap warga kita di negara itu?

No comments:

Post a Comment