Sunday 9 December 2012

Undang-undang pastikan pelaksanaan lancar

2012/12/05


Pengetahuan mengenai hak pihak yang terbabit dalam poligami dari aspek perundangan penting bagi mengelak masalah dalam hubungan mereka kemudian hari. Justeru, walaupun peruntukan dilihat sukar tetapi ia bukan untuk melarang suami berpoligami.

Peguam Syarie dan perunding keluarga Islam, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, berkata walaupun poligami adalah soal hukum yang tidak boleh dihalang melalui perundangan, tetapi tanpa undang-undang poligami boleh menyebabkan huru hara.

Katanya, undang-undang mengatur supaya proses poligami berjalan secara baik dan tidak menimbulkan kemudaratan dalam masyarakat.

“Ada suami marah kerana undang-undang poligami di Malaysia ketat sangat dan kononnya kerajaan suka ikut telunjuk perempuan. Syarat poligami dulu patut dan perlu, itu lagi susah tetapi sekarang dilonggarkan patut atau perlu. Jika tidak patut tetapi perlu, boleh lepas juga,” katanya.

Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Hak Suami, Isteri dan Bakal Isteri pada Wacana Isu-isu Munakahat Pengurusan Poligami di Malaysia: Isu dan Permasalahan anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mohd Zaidi berkata, dari aspek perundangan suami mempunyai hak untuk bernikah dengan perempuan lain selepas mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah mengikut seksyen 23 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (EUKIS).

Namun katanya, undang-undang tidak dapat menyekat suami daripada poligami walaupun tidak layak dari segi undang-undang. Malah, mereka boleh mendaftar pernikahan yang dijalankan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis daripada mahkamah.

Pada masa sama, isteri mempunyai hak menentang atau tidak bersetuju permohonan suami untuk berpoligami kerana ada kes suami yang layak dari segi kewangan serta aspek lain gagal mendapat kebenaran apabila keputusan itu membawa kemudaratan kepada isterinya.

Isteri juga berhak mendapat peruntukan nafkah zahir dan batin yang sekurang-kurangnya setara dengan apa dinikmati sebelum suami berpoligami, mendapat perintah pembayaran nafkah anak serta mendapat layanan adil dan menuntut pembahagian harta sepencarian dalam tempoh perkahwinan.

Begitu juga bakal isteri, turut mempunyai hak seperti menentukan pasangan pilihannya tanpa paksaan, mendapat mas kahwin selain boleh meminta ganti rugi jika ikatan pertunangan putus berpunca daripada pihak lelaki.

“Perkara mengenai hak ini apabila tidak diberi perhatian itu yang menyebabkan poligami nampak tidak adil. Sebenarnya semua hak suami, isteri dan bakal isteri boleh dipelihara dengan syarat kita tahu apa hak itu dan pastikan kita mendapatkannya,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, isu dan permasalahan dalam urusan poligami berlaku apabila undang-undang tidak dipatuhi dan lelaki hanya ingin memenuhi hukum saja atau hanya tahu untuk berkahwin lagi tetapi tidak menunaikan tanggungjawab selepas berpoligami.

Katanya, disebabkan wujudnya kisah tidak enak itu menyebabkan golongan yang tidak boleh menerima poligami menentang termasuk melalui penulisan seperti dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, kelebihan poligami bagi memenuhi fitrah manusia serta memelihara putaran sosial juga perlu dinyatakan supaya poligami yang diharuskan Islam benar-benar mencapai tujuan untuk kemaslahatan ummah.

No comments:

Post a Comment