Sunday 9 December 2012

Elak pengguna rasa terbeban dengan pelaksanaan AES

Budiman Zohdi
rencanabh@bharian.com.my
2012/11/02


Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 23 September di 14 lokasi maut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna lebuh raya, ada yang menyokong dan ada juga membantah serta mempersoalkan kaedah pelaksanaannya.

AES berfungsi bagi mengesan pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat. Ia tindakan tegas kerajaan bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya.

Sistem itu mula dilaksanakan di 14 lokasi maut di Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur dan akan diperluaskan hingga 831 lokasi di seluruh negara. Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), lokasi maut berkenaan ditentukan mengikut tahap kemalangan dicatatkan dalam tempoh 2007 hingga 2010.

Dalam fasa pertama pelaksanaan sekitar dua minggu, AES mengenal pasti 63,558 pesalah trafik kerana memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah. Imej kesalahan pesalah akan disemak dan disahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum saman dikeluarkan kepada pesalah berkenaan.

Kurangkan kadar kemalangan

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, menyatakan pelaksanaan AES berjaya mengurangkan kadar kemalangan di antara 40 dan 60 peratus di 90 negara dan kerajaan sudah menjalankan kajian selama 10 tahun sebelum memutuskan untuk melaksanakan sistem berkenaan di negara ini.

AES dikendalikan syarikat konsesi selama lima tahun. Semua kos penyediaan dan penyelenggaraan sistem itu ditanggung syarikat konsesi berkenaan. Syarikat ini meraih pendapatan daripada komisyen yang dibayar kerajaan untuk setiap saman kesalahan.

Kita tidak menolak usaha untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Banyak kempen keselamatan jalan raya sudah dilaksanakan, tetapi kemalangan maut terus meningkat dan meragut banyak nyawa, terutama anak muda yang berumur 16 hingga 25 tahun.

Statistik MIROS menunjukkan sebanyak 414,421 kemalangan jalan raya dilaporkan pada 2010 berbanding 265,175 pada 2001. Angka kematian jalan raya juga meningkat daripada 5,849 kes pada 2001 kepada 6,872 kes pada 2010.

Selain kempen keselamatan, faktor lain terutama kualiti jalan dan lebuh raya perlu diambil kira kerana ia turut menyumbang kepada kemalangan. Keadaan jalan berlubang dan tidak rata adalah antara penyebab utama kemalangan.

Kadar had laju perlu dikaji semula

Kadar had laju juga perlu dikaji semula dengan mengambil kira keadaan semasa seperti keupayaan kenderaan masa kini. Penetapan had laju sekitar 60 hingga 70 kilometer sejam (km/j) di sebilangan jalan dan lebuh raya jelas tidak sesuai dan hanya ‘memerangkap’ pengguna.

Jika kompaun adalah alat untuk mendidik pengguna, jumlah yang dikenakan perlu berbeza mengikut kelajuan kesalahan kerana kelajuan berbeza mengundang risiko berbeza.

Walaupun AES mampu mengurangkan kemalangan, tetapi adalah wajar untuk kerajaan mendapatkan pandangan pelbagai pihak terlebih dulu supaya ia tidak menjadi beban kepada pengguna jalan raya yang menjadi ‘mangsa’ sistem itu. Sudah tentu kita tidak mahu mereka yang disaman kerana ‘terperangkap’ dengan AES bertindak membenci kerajaan pula.

Ternyata selepas rakyat bergembira menerima Bajet 2013, fikiran mereka cuba dikuasai pemimpin pembangkang menerusi isu AES. Saban minggu ceramah pembangkang melabelkan AES sebagai usaha kerajaan untuk mengambil duit rakyat secara mudah.

Momokan pembangkang

Bahkan mereka memomokkan dana Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) adalah hasil saman AES. Malah, kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang sudah menyatakan akan menangguh pelaksanaan AES.

Apakah pemimpin pembangkang yang kerap berkiblatkan pemikiran Singapura ini lupa bahawa pelaksanaan AES berjaya mengurangkan kemalangan di republik itu? Adakah keputusan mereka hanya satu mainan politik untuk meraih undi menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13)? Jika benar, kerajaan tentunya perlu menilai semula pelaksanaan AES.

PRU-13 akan menjadi medan pengundi, terutama pengundi muda menilai dasar kerajaan. Selepas bergembira dengan pemberian dalam Bajet 2013, biarkanlah kegembiraan itu berpanjangan.

No comments:

Post a Comment