Sunday 9 December 2012

Demi kuasa PAS korbankan perjuangan Islam

Manja Ismail
manja@nstp.com.my
2012/10/16


Parti sanggup ikut telunjuk DAP, PKR

Mungkin kerana semakin banyak kritikan terbuka daripada ahli parti terhadap kerjasama dengan DAP, termasuk Dewan Ulamanya sendiri, pucuk pimpinan PAS terpaksa tampil membuat penjelasan. Jumaat lalu, Musyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat menegaskan PAS memerlukan DAP bagi meraih sokongan bukan Melayu bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Kelmarin, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menjelaskan parti itu memperoleh pelbagai keuntungan hasil kerjasama dengan DAP dalam pakatan pembangkang. Kerjasama dengan DAP, katanya, memudahkan PAS menarik sokongan bukan Melayu, seterusnya membolehkan parti itu mentadbir dua negeri.

“Kita juga sebenarnya dapat tadbir Perak dengan kerjasama erat DAP... kita langsung tidak pernah rugi dalam mana-mana kerjasama kita. Malah kita juga dapat keuntungan kerjasama dengan BN (Barisan Nasional) sebelum PAS keluar pada 1978. Kita buat kerjasama yang dapatkan keuntungan kepada kita tetapi dalam masa sama kita tiada tolak ansur sekiranya kita kena korbankan perkara tunjang perjuangan kita,” kata Hadi.

Negara Islam slogan kosong

Penjelasan dua pemimpin kanan PAS itu, sama ada diterima ahli atau tidak, mengesahkan anggapan banyak pihak sebelum ini, perjuangan PAS sama seperti parti politik lain, hanyalah untuk mendapatkan kuasa. Matlamat menegakkan negara Islam sekadar slogan kosong untuk mengekalkan sokongan ahli akar umbi yang selama ini percaya itulah matlamat tunggal dan suci perjuangan PAS.

Kenyataan itu juga memberi gambaran sepanjang kerjasamanya dengan DAP, PAS tidak pernah rugi atau mengorbankan prinsip perjuangannya walaupun terpaksa menggugurkan matlamat penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud daripada senarai keutamaan parti.

Dalam kata lain, kenyataan terbaru Hadi itu secara tidak langsung menolak kebimbangan ramai penyokong tradisional parti itu PAS semakin tunduk kepada DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR). Malah Hadi menjelaskan, kerjasama PAS dengan DAP berlandaskan prinsip ‘tahaluf siyasi’ dan garis panduan yang disediakan Majlis Syura Ulama PAS.

Secara umumnya, ‘tahaluf siyasi’ membawa maksud kerjasama pergerakan Islam dengan pertubuhan bukan Islam dalam sebarang bidang yang dipersetujui bersama untuk menghadapi musuh sama. Dari sudut ini, tahaluf siyasi antara PAS dan DAP cukup difahami oleh semua pihak iaitu kerjasama mereka untuk menghadapi UMNO dan BN yang sememangnya musuh politik mereka.

Namun, ulama berselisih pendapat mengenai bagaimana, bila dan sejauh manakah prinsip ini boleh diamalkan pergerakan Islam. Malah, dua ulama terkenal – Muhammad Qutb dan Abu Nasr Muhammad Abdullah – dengan tegas menolak sebarang kerjasama dengan bukan Islam kerana menurut mereka, hukumnya haram berdasarkan beberapa firman Allah dalam al-Quran. Ulama yang menolak kerjasama seumpama itu berpendapat kumpulan yang tidak berhasrat menegakkan Islam hanya menggunakan pergerakan Islam sebagai jambatan untuk mereka mendapatkan kuasa.

Ulama yang mengharuskan tahaluf siyasi pula antaranya Dr Yusuf al-Qaradhawi, Dr Mustoffa al-Tohhan, Muhammad Ahmad al-Rasyid dan Dr Solah al-Showi, menjadikan beberapa peristiwa membabitkan perjanjian antara Nabi Muhammad SAW dengan kaum Yahudi pada zaman awal kerasulan Baginda sebagai dalil. Dengan menggunakan dalil yang sama, UMNO mendahului PAS dalam soal ‘tahaluf siyasi’ apabila ia bersama MCA dan MIC berunding dengan Britain bagi mendapatkan kemerdekaan negara. Jalinan kerjasama itu terus berkembang kepada BN sekarang.

Bagaimanapun, sepanjang kerjasamanya dengan pelbagai parti bukan Islam dalam BN, UMNO tidak pernah tunduk kepada desakan mana-mana pihak dalam perjuangan asasnya – membela kepentingan orang Melayu dan memartabatkan kedudukan Islam serta umatnya di negara ini. Pada masa yang sama, sekutu bukan Melayu dalam BN tidak pernah membuat tuntutan melampau dan terbuka sehingga memaksa UMNO meninggalkan perjuangan asas itu.

Tahaluf siyasi UMNO berbeza

Inilah perbezaan ketara antara tahaluf siyasi UMNO-komponen BN dengan ta-haluf siyasi PAS-DAP-PKR. Sementara UMNO mengutamakan keuntungan jangka panjang untuk negara dan rakyat tanpa mengira agama menerusi tahaluf siyasinya dengan komponen BN, PAS hanya bermatlamatkan kemenangan dalam pilihan raya seperti diakui Hadi kelmarin.

Bagi mencapai matlamat itu, PAS rela bersekongkol dengan siapa dan sanggup melakukan apa saja, hatta dengan pihak yang menentang perjuangan menegakkan negara Islam. Apa pun penjelasan pucuk pimpinan PAS, langkah parti itu menukar perjuangan membentuk negara Islam kepada negara kebajikan; memecat EXCO agama Selangor, Datuk Dr Hassan Ali dan tidak lagi membicarakan isu hudud, dilihat sebagai tindakan mengalah kepada sekutunya pembangkang.

Persoalannya, apakah tahaluf siyasi ala- PAS yang matlamatnya semata-mata mahukan kuasa dengan menjatuhkan sebuah lagi pertubuhan dianggotai orang Melayu/Islam, diharuskan oleh agama? Hanya ulama di luar PAS mampu memberikan jawapan yang jujur.

No comments:

Post a Comment