Sunday 9 December 2012

Teknologi canggih berkesan jejak pengkhianat parti

Akhbar Satar
2012/11/06


Hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menubuhkan jawatankuasa khas bertanggungjawab memantau dan mengambil tindakan segera terhadap ahli yang mengkhianati dan mensabotaj parti dan calon Barisan Nasional (BN) adalah satu tindakan yang baik.

Najib, ketika mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, jawatankuasa khas itu perlu supaya siasatan dan tindakan segera dapat diambil terhadap pengkhianat parti. Sebelum ini ahli yang didapati mengkhianati parti dikenakan tindakan tetapi masa yang diambil adalah agak lambat.

Jawatankuasa khas itu diketuai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail. Ia diberi kuasa mengikut Perkara 10.15 dan 20.3 perlembagaan parti. Di peringkat bahagian, seorang pemantau akan membuat laporan bertulis terus kepada jawatankuasa itu atau secara online.

Kesalahan termasuk menyokong parti lawan, menghasut untuk menentang parti, menyalahgunakan wang dan tidak membelanjakan wang pilihan raya untuk kepentingan parti. Dengan adanya teknologi canggih pelbagai maklumat akan dihantar bertalu-talu melalui Facebook dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Ini bermakna anggota jawatankuasa, selain tidak mempunyai kepentingan peribadi, memiliki tahap integriti tinggi, bijak dan berkaliber, juga perlu memiliki kepakaran dalam bidang teknologi maklumat.

Teliti maklumat


Beliau juga perlu tahu cara untuk mengesan punca sesuatu dakwaan terutama merosakkan perpaduan parti atau boleh menyebabkan kredibiliti seseorang itu tercemar apabila siasatan dijalankan. Pada pandangan penulis yang mempunyai pengalaman 30 tahun dalam penyiasatan, setiap tohmahan memerlukan jangka masa panjang dan ketelitian yang tinggi.

Jawatankuasa juga boleh menggunakan teknologi terkini bagi membantu siasatan dengan cepat dan berkesan. Jika perlu, alat poligraf boleh digunakan untuk mengesahkan sama ada seseorang itu terbabit dalam mensabotaj parti. Poligraf digunakan di lebih 80 negara di dunia dan dapat menyelesaikan kes dalam tempoh lebih singkat. Poligraf juga boleh diguna untuk memulihkan nama baik dan kredibiliti seorang yang ditohmah kerana ketepatannya adalah 98 peratus.

Seseorang yang gagal ujian poligraf berbaloi diteruskan siasatan atau diambil tindakan dalaman parti atau tidak dipilih sebagai calon. Tambahan pula hak mutlak untuk memilih calon berada di tangan Perdana Menteri dan beliau berhak untuk tidak memberitahu sebab seperti yang dibuat dalam pilihan raya sebelum ini.

Maklumat kelas pertama


Pada umumnya, jawatankuasa khas ini memerlukan maklumat sebelum dapat menjalankan sesuatu siasatan. Maklumat diperoleh daripada ahli terutama calon, seteru politik atau parti lawan.
Setiap maklumat mempunyai nilai yang tertentu dan memerlukan pakar untuk meneliti bagi mengelak berlakunya lambakan aduan palsu dan tidak berasas yang ada kalanya dibayangi dendam, cemburu dan berkepentingan peribadi atau politik.

Kriteria maklumat kelas pertama biasanya perlu ada tarikh, masa dan tempat kejadian yang juga elemen terpenting yang perlu diketahui oleh pemberi maklumat ketika membuat aduan.

Saksi yang mengetahui atau melihat sesuatu kejadian itu adalah antara elemen penting yang perlu dikemukakan pemberi maklumat. Ini adalah di antara cara yang boleh menunjukkan bahawa aduan yang dibuat bukanlah aduan palsu atau untuk menganiaya seseorang. Dokumen berkaitan juga perlu sebagai bukti sokongan yang boleh digunakan bagi memperkukuhkan aduan yang dibuat, selain membantu mempercepatkan proses tindakan selanjutnya jawatankuasa berkenaan.

Maklum lebih awal


Butiran yang perlu ada di dalam maklumat atau aduan mengenai wujudnya sabotaj atau mengkhianati parti, hendaklah dimaklumkan lebih awal kepada ahli supaya maklumat yang diberi adalah berkualiti. Sekiranya kriteria ini dipenuhi, jawatankuasa khas akan memperoleh maklumat yang tepat dan mampu menghasilkan tindakan siasatan yang sempurna dan segera sehingga pihak yang bersalah boleh diheret ke jawatankuasa khas. Maklumat awal tidak boleh dihebahkan di media untuk mengelakkan bahan bukti dimusnahkan ahli yang berkenaan.

Setiap ahli perlu mempunyai rasa tanggungjawab terhadap parti apabila melaporkan perbuatan sabotaj kepada jawatankuasa. Tanggungjawab ini perlu bagi menjaga kepentingan parti.

Pun begitu jawatankuasa khas ini hendaklah siasat secara adil, mencari strategi terbaik bagi mengatasi masalah sabotaj parti dan mengenakan tindakan terhadap ahli yang didapati bersalah secara adil kerana jika tersilap langkah implikasinya adalah sangat besar dan boleh memberi kesan buruk kepada parti untuk satu jangka masa yang panjang.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

No comments:

Post a Comment