Sunday, 9 December 2012

Kerja keras pastikan kemenangan

Veena Rusli
2012/12/03


Jenama BN berkesan laksana agenda rakyat

Kibaran bersemangat bendera biru berlambang dacing kemegahan Barisan Nasional (BN) pada Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) di PWTC semalam, jelas menterjemah pesanan Datuk Seri Najib Razak: “Terus berikan mandat kepada BN untuk kecemerlangan.”

Mesej sama akan terus diulangi tanpa mengira keadaan, baik pada pertemuan tertutup parti komponen BN, mahu pun di pentas terbuka bersama rakyat kerana mandat dimahukan, besar harganya.

Mimpi ngeri BN susulan hanya mendapat 140 daripada 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) empat tahun lalu, masih berbekam di benak Pengerusi BN itu, terutama dalam keadaan gabungan parti terbabit pernah menang bergaya pada 2004 dengan memperoleh 198 kerusi.

Banyak perlu dilakukan untuk memastikan skrip 2008 tidak berulang dan semalam, Najib mengingatkan komponen BN supaya membersihkan parti daripada masalah dalaman, selain memantapkan kedudukan sebagai keluarga besar yang memikul masa depan negara.

Perwakilan UMNO Sepanggar, Sabah, Datuk Jainab Ahmad, berpandangan jenama BN lebih berkesan digunakan dalam melaksanakan agenda memenangi hati rakyat secara menyeluruh.

Kerja berpasukan

“Apa juga parti diwakili, kita membawa bendera BN dan rakyat memahami keadaan ini walaupun Sabah turut mempunyai empat parti tempatan selain parti nasional termasuk UMNO. Bagi memenuhi matlamat mengekalkan kuasa, BN mesti bergerak sebagai satu pasukan.

“Masa semakin suntuk, maka fokusnya ialah bekerja dan terus bekerja untuk rakyat. Untungnya, kita sudah lama berbuat demikian dan akan meneruskannya tanpa mengira musim pilihan raya atau tidak,” katanya.

Kelebihan utama BN adalah pengalaman mentadbir negara didiami rakyat berbilang kaum dan agama tanpa dibayangi kecurigaan. Ramuan perkongsian kuasa 13 parti komponen nyata diterima meluas, berbanding gabungan tiga parti lawan yang masih terkial-kial mencari titik persamaan.

Kejelekan pembangkang tidak perlu terus dicanang kerana ia rahsia terbuka. Sebaliknya, jentera BN mesti menggunakan sepenuhnya keadaan itu untuk terus meluncur bersama produk BN yang jauh lebih tersusun dan mantap dalam meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan perjuangan.

Banyak pengajaran dikutip daripada prestasi buruk pada PRU-12. Bertitik tolak daripada hilangnya majoriti dua pertiga, pendekatannya turut berubah ke arah penampilan lebih sederhana bagi memenuhi cita rasa pengundi kerana menyedari setiap langkah, tindakan dan gerak-geri rapat diperhatikan.

Bagaimanapun, ia bukan bermakna BN perlu berpeluk tubuh jika diserang bertubi-tubi. Sebagai contoh, bidasan ulama muda UMNO, Fathul Bari Mat Jahaya terhadap PAS, susulan polemik doa kehancuran lawan adalah antara nada ofensif yang perlu dilaungkan dengan lebih kerap.

“Kita (UMNO) mungkin ada kelemahan yang perlu diperbetulkan. Apakah mereka (PAS) tidak pernah melakukan kesilapan dan kesalahan? Apakah mereka yang mendoakan kita ini malaikat, nabi atau rasul?”

Anak muda mula bersuara

Suara anak muda semakin lantang berkumandang dalam keluarga besar BN dan perkembangan ini relevan dengan usaha pucuk pimpinan diketuai Najib untuk menarik sokongan generasi muda. Pewaris kepemimpinan negara memerlukan asas kukuh untuk membina keyakinan sebelum mengambil alih mandat memacu pentadbiran apabila tiba masanya.

Untuk menjadikannya kenyataan, kuasa BN perlu dikekalkan. Untuk mengekalkan kuasa, mandat perlu dicari. Untuk mencari mandat, jentera BN tiada pilihan selain bersatu.

No comments:

Post a Comment