UMNO tegar memperjuangkan Islam
UCAPAN Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak atas tema 'Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional' merangkumi banyak isu asas dalam perjuangan parti umat Melayu ini memperkasakan bangsa dan agama.Memperjuangkan cita-cita Islami disebut dengan jelas dan ia selari dengan dasar UMNO memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Bangsa di sini tidak dilihat dalam faham yang sempit. Apabila bangsa diperkukuh dengan ajaran agama ia menjadikan negara Malaysia terbangun di bawah prinsip maqasid syariah.
Kata Presiden UMNO: "Ingin ditegaskan sini. Tanpa ragu-ragu lagi, bahawa UMNO komited terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, akal, maruah dan keturunan. Kita tidak rela memecahkan belahkan perpaduan umat Islam. UMNO tidak sekali-kali akan mencaci dan menista saudara seagama seperti parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurnian akidah".
Penegasan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri itu membayangkan jiwa besar ke arah perubahan sikap dan cara berfikir yang perlu ada dalam realiti Malaysia. Meski Malaysia sebuah negara majmuk tetapi maqasid syariah tetap diperkukuhkan. Walaupun UMNO tidak menyebut penubuhan Negara Islam, tetapi sifat maqasid syariah adalah terpelihara dan semakin kukuh.
Kurikulum agama semakin diperkukuhkan dalam sistem pendidikan di Malaysia, kemajuan ekonomi berasaskan patuh-syariah semakin berkembang, peningkatan pemilikan harta umat Islam semakin meningkat, maruah kita sebagai umat Islam yang mampu mentadbir negara dengan aman dan sejahtera semakin terlihat dan kebebasan menggunakan akal yang rasional bukannya emosi sentiasa menjadi agenda utama.
UMNO menginsafi orang Melayu tanpa Islam tidak memiliki pedoman nilai dalam memberi makna pembangunan dan kesejahteraan yang sebenar. Tetapi Islam yang diperjuangkan adalah Islam yang berketamadunan.
Islam yang membangunkan sistem bukannya Islam yang dibangunkan dengan retorik tinggi atau biadasan tajam, kecaman melulu sehingga menghasilkan rasa taksub yang mendalam, kebencian yang meluap-luap dan dendam kesumat yang tidak berkesudahan.
Kata Presiden UMNO lagi: "Alangkah peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik saudara-saudara kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka disini pula sibuk mahukan kejatuhan orang lain ".
Kenyataan Najib itu membayangkan pentingnya ukhuwah atau persaudaraan Islam diperkukuhkan. Apa yang berlaku di Palestin adalah gambaran suatu ketika dulu, umat Islam berpecah dan menyebabkan pihak ketiga melakukan dominasi.
Hakikat ini perlu diinsafi kalangan umat Melayu supaya senario politik yang ada menjadikan kita lebih matang dan dewasa.
Sesuatu yang baik yang dilakukan oleh orang lain harus diakui baik, dan sesuatu yang kurang terjadi harus disantuni dengan adab dan etika yang baik dan jiwa kebersamaan yang tinggi.
Meneliti fahaman yang dibawa oleh pembangkang, yang satunya memperjuangkan faham sosialis demokratik, yang lainnya memperjuangkan faham liberal dan pluralis dan yang satu lagi sedang mengembangkan faham negara kebajikan bukan Negara Islam, penulis tidak nampak titik-temunya yang bakal memperjuangkan maqasid syariah bagi negara Malaysia.
Rekod memartabatkan Islam oleh UMNO dan kerajaan harus dipertingkat dengan azam Presiden supaya kefahaman mengenai transformasi Islami tidak dilihat dalam kerangka yang sempit.
Pembangunan yang memenuhi maqasid syariah harus mampu membangunkan model insan integratif yang tidak saja memiliki ilmu yang berkualiti tetap nilai keinsanan yang tinggi.
Pembangunan ekonomi patuh-syariah harus diperluaskan lagi supaya Malaysia menjadi model unggul dalam pembangunan ekonomi Islam.
Pembangunan ekonomi berpendapatan tinggi harus selari dengan kepentingan syariah dan mutu berfikir umat Melayu membayangkan ia berdaya maju dan menyumbang ke arah jalur berfikir yang sihat.
Asas ini hanya boleh terjadi sekiranya warga umat Melayu merapatkan saf ukhuwahnya supaya kekuatan yang ada lebih menjadikan umat Melayu sebagai pengurus yang adil dan bertimbang rasa.
Kelemahan yang ada harus diperbaiki secara bersama supaya keadilan terus tegak, kesejahteraan terus berlaku, maslahah yang bijaksana terus terjadi.
Inilah kunci kekuatan kita supaya imej umat Melayu sentiasa dinaungi oleh maqasid syariah yang tinggi dan mampu terus memimpin Malaysia yang maju dan aman.
No comments:
Post a Comment