Sunday, 9 December 2012

Faktor Yahudi dalam pemilihan Presiden AS

Razak Rashid Ghows
2012/10/13


Pada 6 November ini sekali lagi dunia akan memberi tumpuan kepada pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang menyaksikan perebutan jawatan di antara calon penyandang, Barack Obama daripada parti Demokrat dan Mitt Romney daripada Republikan.

Minggu lalu Romney berjaya mencuri hati penonton dengan hujah bernasnya dalam debat presiden dengan Obama. Selepas debat pusingan pertama pada 3 Oktober lalu di Denver, kedua-dua calon akan bertemu lagi dalam pusingan kedua pada 16 Oktober dan 22 Oktober ini.

Kedua-duanya berkisar pada tajuk dasar domestik dan luar negara. Cuma perbezaannya pada 16 Oktober ini, sekumpulan pengundi atas pagar yang dipilih khas oleh Gallup Organisation akan bertanyakan soalan kepada Obama dan Romney berhubung tajuk yang dibahaskan.

Walaupun Obama dan Romney mempunyai beberapa perbezaan berhubung pendekatan mereka memimpin sebuah kuasa besar seperti Amerika, terdapat satu persamaan antara mereka, iaitu kedua-duanya memerlukan sokongan pengundi Yahudi di Amerika dan menyokong rejim pemerintahan di Tel Aviv.

Justeru, mereka turut menunjukkan kecenderungan kepada kumpulan berpengaruh tertentu, termasuk kelompok masyarakat Yahudi di negara berkenaan. Untuk tujuan itu, Romney mengunjungi Israel di mana beliau berikrar bahawa negara Yahudi itu akan terus menjadi rakan karibnya sekiranya dipilih sebagai presiden. Tidak cukup dengan itu, Romney juga sering merujuk kepada Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Beri lampu hijau

Bercakap mengenai program nuklear Iran, Romney menegaskan keutamaan tertinggi adalah keselamatan nasional Amerika. Malah seorang pembantunya seolah-olah memberi lampu hijau kepada Israel untuk menyerang Iran apabila beliau bercakap dengan sekumpulan wartawan baru-baru ini.

Dengan menyatakan sedemikian, Romney cuba meyakinkan penyokong Israel di Amerika supaya memilihnya dan bukan Obama. Namun berdasarkan pengalaman lalu, kebanyakan pengundi Yahudi di Amerika nampak lebih cenderung untuk memberi sokongan mereka kepada Demokrat seperti pada pemilihan 2008 yang mana sebahagian besar menyokong Obama.

Berdepan dengan situasi inilah, Romney berhasrat untuk mengurangkan sokongan itu terutama di beberapa tempat yang dianggap sebagai kawasan ‘kritikal’ seperti Florida.

Selain itu, Romney juga ingin meyakinkan penyokong Israel terutama golongan hartawan supaya menyumbang kepada dana kempennya.

Terus bantu Yahudi

Selain beliau, pentadbiran Obama juga sering menghantar penasihat tertingginya ke Israel sejak akhir-akhir ini, termasuk Setiausaha Pertahanan, Leon Panetta, yang menandatangani perjanjian bantuan ketenteraan bernilai AS$70 juta (RM210 juta) kepada negara Yahudi itu baru-baru ini.

Mesej yang ingin disampaikan oleh Obama ialah Romney hanya boleh berjalan ke sana sini dan bercakap tetapi beliau lebih mampu memberi bantuan dan sokongan sebenar.

Pakar strategi Republikan berasa mereka mempunyai harapan untuk merampas undi Yahudi daripada Demokrat kali ini selepas melihat hubungan dingin antara Obama dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Laporan agensi menyatakan pengundi Yahudi yang bermastautin di Amerika boleh menyumbang kira-kira 10 hingga 15 peratus undi dalam pilihan raya presiden tahun ini. Pada 2008, kira-kira 74 peratus menyokong Obama pada pilihan raya presiden itu.

Justeru, dalam pemilihan segenting kali ini, setiap undi adalah penting terutama di negeri seperti Florida dan Ohio. Itulah sebabnya kenapa kedua-dua parti memberi begitu banyak perhatian kepada pengundi Yahudi.

Jejas usaha damai

Keadaan itu pastinya menjejaskan usaha perdamaian yang sedang diusahakan oleh masyarakat antarabangsa di Palestin. Selain itu, ia juga memberi kesan terhadap pendirian presiden yang ada sekarang terhadap Iran.

Israel sebenarnya inginkan Amerika memusnahkan kemudahan nuklear di Iran tetapi Obama dan penasihatnya melihat perkara itu dari perspektif berbeza.

Netanyahu pula pernah dilaporkan tidak bersetuju dengan Perjanjian Oslo pada 1993 yang bertujuan untuk menyelesaikan konflik di Palestin sehingga membolehkan negara berkenaan mewujudkan pemerintahan sendiri.

Apapun, dorongan calon presiden negara berkenaan untuk mengambil hati Israel, dengan harapan dapat memujuk pengundi Yahudi di Amerika, jelas menunjukkan bahawa ikatan negara terbabit tetap utuh, tidak kira siapa di antara Obama mahupun Romney dipilih sebagai presiden baru.

Penerusan Obama sebagai presiden untuk penggal kedua atau pemilihan Romney tidak ada bezanya dari segi dasar Amerika dalam isu yang membabitkan kepentingan negara Islam.

No comments:

Post a Comment