Sunday, 9 December 2012

Bangsamoro kembali berdaulat

Meor Hisham Zulkifli
bhrencana@bharian.com.my
2012/10/18


Berjuang ratusan tahun agar diiktiraf di tanah air sendiri

Cahaya keamanan mula muncul dari ufuk timur buat Bangsamoro yang terlalu lama menderita ditindas sejak kurun ke-17 apabila penjajah Sepanyol tiba sehingga menjadi mangsa keadaan di negara sendiri.

Kerangka perjanjian damai yang dimeterai kelmarin di antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Kerajaan Filipina dengan Malaysia sebagai perantara, bakal mengubah nasib 15 juta penduduk Islam.

“Ini detik bersejarah buat kami kerana selepas dianaktirikan di bumi sendiri akibat penjajahan, sengketa agama, perebutan kuasa pemimpin tradisi dan sebagainya sejak wilayah Kesultanan Sulu dan Maguindanao dijajah, akhirnya pelan damai ini dapat ditandatangani.

“Perjanjian kali ini diyakini mampu merintis jalan penyelesaian damai berkekalan dengan Bangsamoro akan diiktiraf sebagai rakyat berdaulat di dalam sebuah negara Filipina.

“Ia mampu dijayakan kerana kali ini Malaysia menjadi perantara dan sokongan kuat kumpulan negara hubungan antarabangsa (ICG) yang menjadi pemerhati,” kata bekas ketua masyarakat Bagandatin Datu Salibu, Akbar Abu.

Sudah lama impikan keamanan

Bagi pelarian serangan tentera Filipina ke atas Kem Abu Bakar di wilayah Sultan Kudarat, Kahar Yusuf, perjanjian ini bagai mimpi yang menjadi kenyataan selepas menyaksikan puluhan saudara-mara maut di depan mata akibat pertempuran ketika konflik itu.

Beliau yang kini bernaung di kem pelarian kendalian sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Barangay Narra, kira-kira 80 kilometer dari kem Abu Bakar, berkata penduduk sudah lama mengimpikan keamanan.

“Saya sekeluarga kini terpaksa hidup dalam rumah air di Narra dan membanting tulang di tanah milik pewaris Sultan Kudrat bagi menanam padi serta menangkap ikan.

“Hasil yang diperoleh terpaksa dibahagi dua antara saya dan pemilik tanah. Walaupun perjalanan masih jauh untuk melihat perjanjian ini benar-benar terlaksana, tetapi langkah pertama sudah dibuat,” katanya.

Bagi Saria Kadir, 67, perjanjian ini memberi harapan baru buat anak cucunya merintis kehidupan lebih baik daripadanya.

“Saya kehilangan suami dan dua anak. Saya pernah dirogol dan hidup dalam neraka dunia. Tetapi kini ada harapan baru untuk kami,” katanya yang meraikan perkembangan terbaru itu bersama ratusan ribu Bangsamoro.

Suasana di Bandar Cotabato atau Kota Gua yang sekian lama menjadi kubu kuat MILF selain markas pentadbiran Kerajaan Autonomi Wilayah Islam Mindanao (ARMM), kini ceria.

Selain ribuan yang menghadiri rapat umum sambil menonton di layar besar siaran secara langsung majlis memeterai perjanjian itu di Istana Malacanang di Manila, pelbagai poster, sepanduk dan hiasan mewarnai sepanjang jalan kota ini.

Pilihan raya pilih pemimpin

Tidak kira tua muda, penduduk meraikan kejayaan kerangka perjanjian yang menggariskan 10 prinsip utama dengan inti pati terpenting adalah mengiktiraf Bangsamoro.

Perjanjian hasil rundingan yang dibantu Malaysia sejak 2001 itu bermatlamat mewujudkan entiti autonomi politik di Mindanao digelar Bangsamoro bagi menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM).

Bangsamoro akan ditadbir barisan menteri yang dipilih rakyat menerusi pilihan raya. Ia juga akan mengguna pakai Undang-Undang Asas Bangsamoro yang dirangka kerajaan Bangsamoro, seiring undang-undang negeri.

Buat pertama kali juga, Kerajaan Filipina menyewa sebuah pesawat khas menerbangkan 150 pegawai MILF untuk menyertai majlis berkenaan di Manila selain menempah tiga hotel untuk mereka.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III. Malah, Najib yang berucap pada majlis itu turut mewawarkan bantuan Malaysia untuk memakmurkan wilayah selatan Filipina itu.

Kini air mata sekali lagi tumpah di bumi Filipina. Air mata gembira menggantikan air mata derita yang mengalir sejak sekian lama selepas perjanjian kerangka damai dimeterai. Bangsamoro akan kembali menjadi bangsa yang berdaulat di tanah air sendiri.

No comments:

Post a Comment