Sunday, 9 December 2012

Meraikan hak asasi ikut acuan ASEAN

Shamrahayu A Aziz
2012/11/21


Keputusan negara ASEAN untuk menerima dan memaktubkan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD) merupakan satu penambahbaikan dalam urusan hak asasi. Deklarasi ini boleh dianggap dokumen pertama seumpama itu di rantau ini walaupun beberapa dokumen hak asasi di peringkat rantau telah didapati sejak lama dulu. Negara Afrika contohnya telah mempunyai deklarasi tersendiri. Deklarasi sebegini amat penting untuk memberi peluang kepada negara serantau menggalak dan melindungi hak asasi manusia mengikut wadah dan acuan yang diinginkan oleh rantau ini sendiri.

Aktivis hak asasi mempersoal dan mengkritik Deklarasi ASEAN ini. Kritikan berkenaan adalah mengenai hujah atau alasan keselamatan, ketenteraman awam dan moral di negara ASEAN dan rantau ini. Mereka bimbangkan alasan itu membuka ruang kepada pencabulan hak asasi di rantau ini.
Deklarasi ini juga mendapat kritikan kerana tidak memenuhi tuntutan pihak tertentu, terutama mereka yang menyokong sifat sejagat hak asasi.

Namun begitu jaminan untuk menghormati hak asasi seperti fahaman sejagat telah dibuat oleh beberapa pemimpin negara ASEAN dalam kenyataan mereka selepas menandatangani deklarasi berkenaan. Mereka menegaskan bahawa deklarasi ini masih menghormati hak politik, ekonomi dan kehidupan sosio-budaya, termasuk kemoralan masyarakat ASEAN.


Pencapaian hebat rantau ASEAN

Walaupun hanya melihat draf deklarasi itu di atas talian, penulis percaya, kemunculan deklarasi itu adalah pencapaian hebat rantau ASEAN dalam era perjuangan hak asasi di seluruh dunia. Apa yang menjadi kebanggaan ialah kekuatan dan kesepakatan negara ASEAN dalam usaha mempertahankan nilai-nilai timur dan tidak mudah menyerah kepada teori ‘kesejagatan’ hak asasi yang sentiasa dijaja aktivis hak asasi seperti mereka yang memperjuangkan LGBT.

Negara ASEAN juga telah terbukti memberi perhatian dan mengambil pendirian mengenai kedudukan serantau dalam aspek keselamatan negara dan juga rantau ini. Negara ASEAN tidak termakan sogokan fahaman hak asasi yang tidak berasal dari rantau Asia Tenggara ini.

Berbalik kepada soal kesejagatan hak asasi, secara akademik dan realitinya, hanya perkara asas hak asasi yang mempunyai elemen universal atau sejagat itu. Hanya sifat minimum hak asasi yang mempunyai nilai sejagat. Perincian mengenai penerimaan dan pemakaian hak asasi belum tentu boleh dipastikan nilai sejagat. Dengan kata lain, perkara yang tertitip atau terpantul daripada perkara asas atau minimum hak asasi itu tidak mudah untuk mempunyai sejagat.

Sebagai contoh, kebebasan bersuara diiktiraf di rantau ini, tetapi ini tidak bermakna negara di rantau ini boleh menerima kebebasan bersuara sehingga menghina agama. Kebebasan seksual tidak boleh diterima di rantau ini walaupun mendapat sokongan hebat di negara Barat. Kebebasan ini mungkin dapat diterima di luar rantau ASEAN, tetapi tidak dapat diterima di rantau ASEAN.


Manusia dinilai ikut sosiobudaya

Tamadun yang berkembang di Barat, seperti teknologi maklumat mungkin memberi manfaat sejagat, tetapi teknologi maklumat berbeza daripada hak asasi. Apabila kita menyatakan mengenai hak asasi yang bertujuan menjaga penghormatan manusia, sudah tentu ia hendaklah bersifat sejagat. Ini adalah prinsip umum tetapi, ‘penghormatan’ manusia itu juga masih bersifat relatif, bergantung kepada keadaan, suasana dan sosio-budaya yang sudah tentu tidak bersifat sejagat. Manusia itu dinilai menurut perspektif masyarakatnya atau mengikut sosiobudayanya, bukan semata-mata perspektif sejagat.

Keadaan ini berdasarkan kepada realiti hak asasi itu sendiri. Hak asasi amat bergantung kepada keperluan dan tempat, sosiobudaya dan amalan, agama dan adat. Pihak yang menganggap hak asasi mempunyai nilai sejagat tidak sepenuhnya tepat. Hak asasi Barat mungkin baik untuk Barat, ia tidak semestinya baik dan boleh diterima di Timur. Sebagai contoh, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 yang disandarkan kepada prinsip menolak kepercayaan agama dan meletakkan fahaman sekular, humanisme dan liberalisme tidak sesuai untuk negara ASEAN yang rata-ratanya meletakkan agama dan budaya pada tempat yang begitu tinggi.

Kita tidak mahu rantau ini menerima konsep atau amalan hak asasi barat yang dianggap sejagat sebagai wadah utama dalam menentukan budaya ASEAN. Kita tidak boleh mengorbankan nilai dan komitmen serantau yang telah terbukti memberi kebaikan dan manfaat kepada kita.

Penulis Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

No comments:

Post a Comment