Sunday 9 December 2012

Jenayah ekonomi ‘anai-anai’ hancurkan negara

Akhbar Satar
2012/10/09


Tahukah anda bahawa antara profil jenayah ekonomi ialah semakin meningkat umur seseorang penjenayah semakin licik pembabitannya, manakala bagi jenayah kekerasan semakin meningkat usia penjenayah semakin berkurangan aktivitinya.

Jenayah ekonomi ialah perbuatan menyalahi undang-undang untuk mendapatkan keuntungan kewangan membabitkan jenayah perniagaan komersial serta boleh merosakkan reputasi sesebuah organisasi.

Oleh itu, jenayah ekonomi merangkumi penipuan, amalan rasuah, pecah amanah, pencurian identiti, penipuan kad kredit, penggubahan wang haram, jenayah siber, penipuan perakaunan dan kewangan.

Jenayah ekonomi ialah punca masalah kepada dunia moden hari ini yang menyebabkan kerugian kerana perkara ini sukar dibendung terutama dalam perkembangan teknologi terkini yang semakin canggih. Ada penjenayah ekonomi dalam kalangan profesional pula menyalahgunakan pendidikan, kedudukan dan pengaruh mereka untuk melakukan penipuan dan jenayah.

Statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan kegiatan jenayah ekonomi bernilai RM100 juta setiap bulan. Memburukkan lagi keadaan apabila seramai 1,436 wanita Malaysia menjadi korban penipuan sindiket internet ‘Awang Hitam’ dalam tempoh tiga tahun terakhir ini, membabitkan kerugian RM87.6 juta.

Bagi 2011, PricewaterhouseCoopers Malaysia, dalam kajiannya mendapati 34 peratus daripada organisasi di Malaysia mengalami jenayah ekonomi.

Rasuah ialah jenayah ekonomi paling serius dan merugikan negara jika tidak dibendung. Berdasarkan kajian Bank Dunia, rasuah di Malaysia menyebabkan kerugian RM10 bilion setahun, iaitu 1 atau 2 peratus daripada KDNK.

80 peratus tidak dilaporkan

Ada juga kalangan Akauntan Forensik berpendapat hanya 2.34678 peratus jenayah ekonomi berjaya dikesan. Kajian kriminologi mendapati 80 peratus daripada jenayah ekonomi tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Mereka mengambil pendirian berdiam diri untuk menjaga imej dan reputasi jabatan.

Keengganan untuk melaporkan jenayah ini kepada pihak berkuasa menyebabkan jenayah tidak dapat dibendung. Kita perlu mengambil tindakan tegas dan mendakwa mereka yang terbabit untuk menjadi pengajaran kepada orang lain. Dengan hanya mengambil tindakan buang kerja, penjenayah akan melakukan jenayah yang sama di tempat kerja baru. Kebanyakan majikan tempatan tidak menyiasat latar belakang pemohon dengan teliti untuk menjimatkan belanja.

Dalam jangka masa panjang sebenarnya ia lebih merugikan. Kajian Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah bagi 2011 mendapati setiap organisasi akan kehilangan 5 peratus daripada pendapatannya disebabkan oleh jenayah ekonomi.

Ada tiga faktor pendorong terjadinya jenayah ekonomi yang lebih dikenal dengan ‘fraud triangle’ ialah peluang, tekanan dan rasionalisasi. Peluang berlaku apabila wujud mekanisme kawalan dalaman yang longgar dan juga ada ‘lubuk emas’ yang tidak dipantau. Faktor tekanan pula membabitkan seseorang yang berhutang, kaki judi atau mempunyai keinginan untuk hidup mewah atau berusaha melakukan apa jua cara agar keinginan mereka dipenuhi termasuklah melakukan penyelewengan.

Kurang didikan agama dorong terjebak

Rasionalisasi pula berlaku apabila seseorang memberi alasan atau menghalalkan perbuatan jahatnya.
Penjenayah memberi alasan semua orang melakukan penyelewengan, jika dia tidak buat orang lain akan buat. Antara punca lain berlakunya jenayah ekonomi ialah sifat materialistik, tamak, kurang didikan agama dan moral mendorong seseorang itu terjebak dalam kancah jenayah. Biasanya jenayah ekonomi membabitkan nilai wang yang banyak.

Berdasarkan profil jenayah ekonomi, 87 peratus daripada penjenayah adalah lelaki yang sudah berumah tangga, mempunyai tahap pendidikan yang tinggi, bijak memanipulasikan orang ramai, petah bercakap, berbohong dan berlagak tahu semua perkara serta pandai memujuk wanita, serta sentiasa berpakaian kemas.

Masyarakat perlu ingat bahawa jika seseorang melakukan pecah amanah ia boleh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan boleh didenda, manakala Seksyen 409 kanun sama membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Hukuman bagi jenayah rasuah juga adalah berat iaitu boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. Malah, jika seseorang disabitkan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya dan segala kekayaan yang dikumpulkan melalui jenayah ekonomi boleh dirampas sepenuhnya oleh pihak berkuasa.

Semua pihak mesti komited dan mengambil tindakan tegas menangani jenayah ekonomi dan bukan hanya meletakkan beban sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa demi mencapai negara bersih, cekap, amanah dan bebas daripada jenayah ekonomi.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

No comments:

Post a Comment