Sunday, 9 December 2012

Barat cipta teknologi, kita malas mengkaji

kunta kinte
rencanabh@bharian.com.my
2012/10/20


Kunta Kinte sudah tulis berkenaan macam mana orang Barat, oleh kerana mereka faham sains dan teknologi, dan mereka rajin belajar, mereka boleh buat benda yang bahaya jadi tak bahaya dan benda yang nampak mustahil jadi kenyataan.

Kali ini Kunta Kinte nak ambil contoh paling baru eksploit atau perbuatan handal seorang ahli sukan ekstrem Austria bernama Felix Baumgartner.

Pada 14 Oktober lalu, Baumgartner yang berusia 43 tahun, jadi orang pertama yang buat terjunan udara paling tinggi dan paling laju di Roswell, New Mexico, Amerika Syarikat.

Dia naik dengan belon udara panas setinggi 24 batu (39 kilometer) dari permukaan bumi dan terjun bebas, iaitu dengan tidak guna payung terjun, selama 4 minit 20 saat. Selebihnya dengan payung terjun. Kesemuanya, dia ambil masa 20 minit untuk turun semula ke bumi.

Masa terjun bebas, Baumgartner berjaya pecahkan batasan bunyi atau sound barrier, iaitu 690 batu atau 1,110 kilometer sejam. Kelajuan sebenar terjunan bebas beliau ialah 833 batu atau 1,342.8km sejam.

Ini bermakna lebih laju daripada kelajuan kapal terbang Boeing 747-400 yang terbang pada kelajuan 567 batu atau 913km sejam. Malah lebih laju daripada jet pelatih Hawk 200 yang tentera udara kita pakai yang kelajuan maksimumnya 638 batu atau 1,028km sejam.

Kunta Kinte taklah kata kita kena tiru apa yang Baumgartner buat. Memanglah kita tak mampu dari segi kewangan dan kepakaran nak selidik dan majukan teknologi secanggih macam itu.

Baumgartner ditaja oleh Red Bull, pengeluar minuman tonik yang terkenal di seluruh dunia dengan tajaan sukan ekstrem. Tapi kita boleh selidik dan majukan teknologi yang lebih sesuai dan berguna kepada kita.

Kunta Kinte tak kata kita langsung tak buat penyelidikan dan pembangunan. Kita buat. Malah, dalam beberapa bidang penyelidikan dan pembangunan kita sama hebat dengan Barat, contohnya dalam industri getah dan polimer, kelapa sawit, padi dan ternakan.

Hasil penyelidikan tak dimanfaat

Cuma, tak macam di Barat kita tak banyak manfaatkan hasil penyelidikan kita itu. Mula-mula sekali, kita tak berapa pandai pasarkan hasil penyelidikan. Kedua kita malas belajar. Kita cakap saja pembelajaran sepanjang hayat, tapi kita tak buat.

Bukan Kunta Kinte nak puji Barat, tapi mereka kotakan apa yang mereka kata. Mereka amalkan pembelajaran sepanjang usia.

Masa Kunta Kinte belajar kewartawanan di Politeknik Wellington, New Zealand pada tahun 1971, Kunta Kinte pada mulanya hairan tengok banyak orang dewasa yang pakai macam mekanik dan tukang datang ke kampus waktu petang bila pelajar penuh masa balik.

Ada yang bawa van dan ada yang bawa lori kecil. Rupa-rupanya mereka adalah mekanik, tukang kimpal, pengatur batu bata dan tukang kayu yang datang untuk tokok tambah dan kemas kini kemahiran dalam bidang masing-masing.

Apabila ada saja teknologi atau kaedah baru diperkenalkan, mereka datang ambil kursus. Habis latihan, mereka dibagi sijil. Dengan sijil itu, mereka boleh dapat kerja atau kontrak lebih baik dengan bayaran lebih tinggi. Pengguna pula tak akan pergi ke bengkel atau guna khidmat kontraktor yang tak ada sijil dan tauliah.

Di negara kita, habis belajar di sekolah teknik, institut perantisan dan Institut Kemahiran Mara, habislah proses pembelajaran teknikal. Ada tak ada pun bila ditaja atau dikerah oleh majikan.

Orang kita makin malas belajar

Sebab itulah di negara kita, jurang antara sains dan teknologi dengan apa yang kita perlukan untuk jadi negara pendapatan tinggi makin hari makin luas sebab makin hari orang kita makin malas belajar dan berlatih.

Bila Kunta Kinte balik kampung, hati Kunta Kinte hancur remuk. Orang kampung tak bercucuk tanam lagi. Kalau yang buat bendang, mereka tanam padi saja. Yang berkebun getah, mereka toreh getah saja. Yang berkebun kelapa sawit, mereka petik kelapa sawit saja. Semua benda mereka beli.

Alhamdulillah di keliling rumah Kunta Kinte ada ulam tradisional macam pegaga, kaduk, cekur, temu lawak, ulam raja, kantan, lengkuas, mengkudu dan belimbing buluh.

Di rumah emak Kunta Kinte, ada lagi pokok putat, gajus, samak, petai belalang dan mengkudu yang pucuknya boleh buat ulam. Kantan, lengkuas, kunyit, temu lawat, cekur, belimbing buluh dan asam keling pun ada.

Dulu, masa Kunta Kinte budak-budak, kita bela ayam dan itik. Kita tanam sayur dan pungut cendawan di padang ragut dan di batang pokok mati. Kita kumpul jerami dan longgokkan di pangkal pokok kelapa. Bila reput, kulat jerami yang sangat lazat tumbuh.

Masa itu, kita tak belajar sains dan teknologi secara formal. Tapi kita lihat dan perhati segala macam kejadian alam. Lama-lama kita pandai juga.

Sangat malang dan rugilah kalau dalam zaman yang kaya dengan sains dan teknologi ini orang kita tambah malas. Kerana malas, mereka jahil dan kerana jahil hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Apabila nak makan ulam, mereka pergi kedai Cina beli timun. Ini berlaku di kampung. Apa dah jadi dengan pucuk janggus, putat dan pegaga, umbut kantan dan lengkuas, bunga kunyit dan terung rapuh? Wallahualam.

No comments:

Post a Comment