Pengajaran daripada Psy dan ‘Gangnam Style’
Bersama Johan Jaaffar2012/12/06
Tiada siapa yang pasti akan mengambil serius orang seperti Psy. Usianya
sudah 34 tahun, bertubuh besar dan seorang ahli muzik yang dikatakan gagal.
Perawakan beliau lebih sesuai menjadi penyangak dalam filem Korea. Tetapi Psy
atau nama sebenarnya Park Jae-Sang telah membuktikan bahawa kreativiti boleh
mengubah segala-galanya.
Video Gangnam Style yang dihasilkannya mencecah angka 805 juta ‘views’ di YouTube pada hari Sabtu minggu lalu. Ia telah mengalahkan lagu Baby oleh penyanyi remaja Justin Bieber yang mencatatkan tontonan 803 juta. Ini fenomena luar biasa dalam dunia hiburan. Gangnam Style menjadi ikutan di seluruh dunia. Semua orang mahu mencuba gaya tarian kuda ciptaan Psy – dari penyanyi terkenal Britney Spears hinggalah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon. Malah Ki-Moon mengakui di tengah ketidakstabilan dan kekacauan dunia hari ini, nampaknya hanya Psy yang mampu menyatukan penghuni planet ini dengan tariannya.
Apakah pengajaran daripada Psy dan Gangnam Style? Kreativiti. Hari ini kreativiti menjadi enjin penggerak pada perubahan atau transformasi dunia. Teknologi dicorakkan oleh kreativiti. Demikian juga industri kandungan yang amat dinamik pada masa ini. Kreativiti serta inovasi telah mencorakkan tatacara manusia berkomunikasi, berhibur dan bermasyarakat.
Psy contoh terbaik bagaimana kreativiti mengubah hukum hakam dunia hiburan. Cara dan kaedah lama telah dicabar malah ditinggalkan. Pendekatan lama mungkin tidak lagi relevan. Bayangkan, kini seorang daripada setiap lapan orang penduduk dunia telah menonton video Psy. Ini bermakna seluruh dunia terpaku pada bakat dan kreativiti seorang manusia yang dianggap ‘tidak mungkin boleh berjaya selama ini’. Berapa banyak lagi Psy di dunia hari ini – mereka yang sudah dilabel gagal tetapi mencipta nama disebabkan usaha, ketekunan dan kreativiti.
Kreativiti seniman
Perubahan besar sedang berlaku pada industri kandungan dunia hari ini. Industri itu bernilai berbilion ringgit. Setiap hari kita akan berdepan dengan hasil kreativiti seniman dan karyawan industri berkenaan, dari seluruh pelosok dunia. Hari ini bukan sahaja filem dan siri TV Hollywood yang menghiburkan kita tetapi juga karya dari Jepun, China, Korea dan Iran. Dalam kes Psy, beliau merupakan sebahagian daripada Gelombang Korea atau K-Pop yang melanda dunia. Cuma bezanya, gelombang itu selalunya menampilkan anak-anak muda tetapi Psy menentang arus.
Di Malaysia sendiri industri produktif dan kandungan memungut pulangan RM9.4 bilion setahun atau 1.27 peratus Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK). Industri ini juga menggaji lebih 45,000 pekerja kreatif secara langsung dan ratusan ribu lagi secara tidak langsung. Ia merupakan industri yang sentiasa menggelegak dengan idea dan pembaharuan. Potensi eksport kandungan kreatif juga cukup luar biasa. Dan lebih menarik lagi, karya kreatif melangkaui sempadan, bahasa dan budaya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkali-kali menegaskan tentang perlunya bakat kreativiti di kalangan anak-anak muda ini dipupuk dan dibajai. Dan lebih penting lagi dikenal pasti. Bakat kreativiti di kalangan anak muda harus dikembangkan dan dimanfaatkan. Beliau mengingatkan bagaimana beberapa buah syarikat raksasa hari ini dilahirkan dari kreativiti anak-anak muda satu waktu dahulu – Apple, Microsoft, Dell dan Facebook. Bayangkan pengasasnya anak-anak muda yang tidak habis pengajian tinggi pun dan memulakan usaha mereka dari garaj kereta dan pejabat kecil. Hari ini syarikat yang mereka usahakan menyentuh kehidupan berbilion manusia dan mereka menjadi kaya-raya.
Anak muda kreatif, inovatif
Kita memerlukan anak-anak muda yang kreatif dan inovatif. Merekalah yang akan mencorakkan transformasi negara masa kini dan masa depan. Mereka jugalah yang akan menjadi pesaing pada usahawan muda dalam bidang-bidang baru di seluruh dunia. Hari ini dunia menjadi kampung global yang dicorakkan oleh talian dan alam siber. Maklumat tersebar pantas dan dunia hiburan mendapat nafas baru.
Mujurlah Malaysia telah memulakan langkah awal bagi menghadapi gelombang globalisasi dalam teknologi maklumat. Pada tahun-tahun 90-an lagi kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk menghadapi arus teknologi. Tiada siapa yang meramalkan pada waktu bermulanya Koridor Raya Multimedia (MSC) bahawa dunia komunikasi dan maklumat akan berubah sehebat ini. Tetapi kita telah menyediakan prasarana yang sesuai untuk menghadapi semua kemungkinan.
Dalam industri kreatif, usahawan dan karyawan seni tidak boleh lagi berkokok di halaman sendiri. Cabarannya ialah untuk membawakan ‘Brand Malaysia’ ke seantero dunia. Kalau Korea, memperagakan K-Pop, kita mahukan M-Pop. M-Pop akan menjadi sebahagian daripada fenomena hiburan dunia. Tidak semua 80 buah filem tempatan yang ditayangkan di pawagam pada tahun ini akan membuat keuntungan atau meninggalkan kesan. Pasaran tempatan terlalu kecil untuk menampung industri sedia ada. Filem kita perlu diperdagangkan ke luar negara.
Kita perlukan gelanggang yang lebih besar. Maka itu kita memerlukan strategi jangka panjang bagi melonjakkan industri kreatif pada tahap yang lain. Kita perlukan ekosistem yang betul dan sikap dan minda yang tepat. Kita harus bekerja sebagai satu pasukan.
Maka itu kita patut belajar daripada Korea Selatan dan orang seperti Psy.

No comments:
Post a Comment