Sunday, 9 December 2012

Pantai paling
bahaya di dunia

PANTAINYA cantik, tidak berombak kuat serta tiada ancaman serangan jerung yang boleh membahayakan nyawa manusia.
Namun, sebuah pantai yang terletak di pulau Saint Maarten di Belanda, dianggap antara pantai paling berbahaya di dunia.
Bukan disebabkan ancaman jerung, obor-obor mahupun ombak besar, sebaliknya pantai Maho dianggap berbahaya kerana terletak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Puteri Juliana, antara landasan yang paling sibuk di kepulauan Caribbean.
Namun, faktor itulah yang menjadikan pantai berkenaan terkenal di kalangan pengunjungnya kerana mereka boleh merasai pengalaman bergambar ketika pesawat mendarat, seolah-olah mereka berdiri di bawah pesawat terbabit.
Dengan jarak kurang 100 meter memisahkan pantai dari lapangan terbang, pengunjung pantai berkenaan terdedah kepada keadaan yang sangat bahaya setiap kali pendaratan pesawat di lapangan terbang terbabit.
Ini disebabkan laluan kapal terbang untuk melakukan pendaratan terletak sangat hampir dengan kawasan pengunjung dan ketinggian yang memisahkan tanah dan kapal terbang hanya kira-kira 20 meter!
Lapangan terbang itu sering digunakan oleh pesawat Amerika Syarikat (AS), KLM Royal Dutch dan Corsairfly.
Jarak landasan lapangan terbang tersebut kira-kira 2179.93 meter panjang dan dibina untuk kapal terbang yang lebih kecil dan ringan.
LandasanNamun, landasan terbabit turut digunakan oleh beberapa pesawat besar seperti Boeing 747 dan Airbus 340.
Disebabkan mempunyai landasan yang pendek, juruterbang perlu terbang dengan ketinggian paling minimum bagi memastikan cukup-cukup untuk mendarat.
Pengunjung pantai dinasihatkan agar tidak berdiri ketika pesawat melakukan pendaratan ekoran bimbang arus angin yang dicetuskan sewaktu pesawat tersebut melintas boleh membahayakan nyawa.
Malah ada ketikanya, pengunjung yang tinggi boleh menyentuh roda pesawat sekiranya mereka melompat.
Adakalanya, pengunjung pantai juga boleh terdedah kepada risiko kecederaan serius sehingga menyebabkan kematian, jika mereka terkena serpihan yang ditiup angin yang tercetus ketika pesawat mendarat atau berlepas.
Pihak lapangan terbang turut memasang papan tanda sebagai amaran kepada orang ramai agar tidak berada berhampiran kawasan landasan semasa pesawat melakukan pendaratan.
Namun, kebanyakan pengunjung tidak menghiraukan amaran tersebut dan situasi di pantai berkenaan seolah-olah berpesta setiap kali pesawat mendarat atau berlepas, kerana mereka mengambil peluang itu untuk bergambar.
Sehingga kini juga, tiada kematian dicatatkan dalam kalangan pengunjung yang sengaja mengambil risiko bergambar di pantai berbahaya itu.
Sebaliknya, hanya dua kemalangan besar yang berlaku membabitkan dua pesawat terhempas pada 1970 dan 1972, menyebabkan 33 penumpang terbunuh.


No comments:

Post a Comment