Sunday, 9 December 2012

Barat manipulasi undang-undang jajah negara Islam

Dr Anwar Ridhwan
rencana@bharian.com.my
2012/11/14


Dasar demokrasi liberal senjata baru penaklukan

Konfrontasi Barat terhadap Islam, dalam kes yang paling hampir dengan kita dan masih segar dalam ingatan kita ialah Peristiwa Natrah. Ia hampir dengan kita kerana peristiwa itu berlaku di Singapura dan membabitkan suaminya, Mansor Adabi.

Peristiwa itu masih segar dalam ingatan kerana interteks dengan peristiwa puncak pada 12 Disember 1950 itu dijelmakan dalam bentuk lakon layar, lakon pentas, buku dan novel seperti Namaku Bukan Maria oleh Ibnu Ahmad Al-Kurauwi.

Apabila sentimen agama dibaurkan dengan warna kulit, ia menjadi adunan bahan kimia yang mudah terbakar. Peristiwa Natrah (Maria Huberdina Hertogh) dipaksa oleh keputusan undang-undang Barat untuk dipisahkan daripada suaminya (Mansor Adabi) - yang bererti Natrah dikhuatiri akan murtad, mencetuskan kemarahan massa terutama orang Melayu-Islam di Singapura.

Kekhuatiran orang Melayu-Islam Singapura khususnya, menjadi kenyataan dengan begitu cepat. Pada 12 Disember 1950 hakim menjatuhi hukuman berikut: Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Susulan keputusan itu, Natrah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan seorang penganut Katolik.

Makna tersirat

Peristiwa Natrah mengandungi pelbagai lapisan makna yang tersirat. Barat memanipulasi peruntukan undang-undang untuk memberi kemenangan kepada Hertogh. Ia juga cocok dengan kebiadapan superioriti Barat, seperti yang dikatakan Edward Said dalam bukunya Orientalism: “Oleh kerana dunia Timur adalah sebahagian daripada bangsa subjek yang perlu dijajah, maka ia perlu dijajah.”

Penjajahan Barat bukan sekadar kolonialisasi politik. Ia mempunyai pelbagai topeng lain bernama penjajahan ekonomi, pendidikan, bahasa, tadbir urus, budaya, hiburan, hedonisme dan sebagainya.

Banyak negara belahan oriental dijajah Barat. Sungguhpun negara berkenaan mencapai kemerdekaan politik pada 1940-an dan 1950-an, mereka tidak sepenuhnya bebas daripada bentuk penjajahan Barat lain. Malah, di negara Arab yang sudah atau sedang jatuh ke tangan revolusioner rakyat, mereka terpesona dengan dasar demokrasi liberal Barat, bukan menegakkan daulah Islamiah mencontohi zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW, zaman khalifah dan zaman Khalifah Umar Abdul Aziz umpamanya.

Tetapi Barat tidak saja memandang dunia belahan oriental. Barat memandang ke mana saja untuk menindas umat Islam. Mereka bermaharajalela di Afrika dan di Russia. Sejak Februari 2003 umpamanya, pemerintah Russia menzalimi penduduk Islam di Republik Bashkortostan. Motif ideologi menjadi alasan menghalalkan penindasan, penangkapan dan pembunuhan umat Islam Bashkortostan, yang kemudian meluas ke Davlekanovo, Tuimazy, Meleuz, Mrakovo dan sebagainya.

Orang Russia sewajarnya membaca kembali novel Haji Murat karya pengarang agungnya Leo Tolstoy. Dalam novel yang diterjemahkan ke bahasa Melayu ini (diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka), Tolstoy melukiskan gambaran operasi ketenteraan ke atas pejuang Chechen yang disertainya pada 1840-an, sebaik saja beliau lulus universiti. Melalui novel yang indah dan mendebarkan ini, Tolstoy cuba memahami psikologi dan kepercayaan orang Islam minoriti di sebuah negara yang homogen, besar dan kuat seperti Russia. Ia simpatik, bukan pembenci Islam secara melulu.

Konfrontasi terhadap Islam menafikan umat Islam di negara tertentu untuk mendapat hak bernegara, hak bersuara, mempunyai rumah, mempunyai ladang, pendidikan, menjalani Islam sebagai cara hidup, malah hak untuk menjaga auratnya.

Umat Islam ditindas

Malangnya ada kuasa Timur yang cuba berlagak Barat, dengan menindas umat Islam tanpa diberi hak yang dinyatakan di atas. Apa yang sudah dan sedang berlaku di Myanmar ke atas etnik Islam Rohingya adalah contoh nyata yang terpampang di mata dunia. Mereka menjadi mangsa pembunuhan. Rumah dibakar. Mereka diusir atau terpaksa melarikan diri demi keselamatan nyawa.

Tidak menghairankan jika ada suara mendesak agar pemenang Hadiah Nobel (Keamanan) dari Myanmar sendiri, Aung San Suu Kyi, bersuara membela etnik Rohingya atas dasar peri kemanusiaan. Beliau bukan saja menerima Hadiah Nobel pada 1991, malah penerima Anugerah Rafto dan Anugerah Sakharov Bagi Kebebasan Bersuara pada 1990, penerima Anugerah Nehru Bagi Persefahaman Antarabangsa oleh pemerintah India dan Anugerah Antarabangsa Simon Bolivar daripada pemerintah Venezuela.

Kenapa Aung San Suu Kyi membisu? Mungkin kerana sikap asabiahnya yang tebal, sehingga takut bersuara kerana tindakan berkenaan mungkin menjejaskan peluang politiknya. Pemimpin besar diingati dan dihormati kerana keputusan kemanusiaan yang supranasional tanpa menjejaskan kepentingan kaumnya sendiri. Apabila tokoh seperti Suu Kyi tidak berkata-kata, kejahatan akan terus bermaharajalela.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

No comments:

Post a Comment