Draf perlembagaan jadi pertikaian
Setelah kebangkitan rakyat Mesir menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak, maka umat Islam mengharapkan Mesir akan bukan saja stabil tetapi maju dan menduduki di tempat yang selayaknya bagi negara penuh bersejarah itu.
Bukan itu saja, Mesir yang boleh dianggap sebagai pusat ilmu bagi dunia Islam terutamanya mazhab Sunnah Wal Jamaah dengan kewujudan Universiti Al-Azhar di situ diharapkan juga dapat memainkan peranan berkesan dalam membela rakyat Palestin.
Sebelum pergolakan terbaharu ini, perjalanan politik Mesir daripada sebuah negara bersifat autoritarian kepada demokratik boleh dianggap lancar. Pilihan raya umum telah berjaya dilaksanakan dengan Parlimennya yang dikenali sebagai Majlis Rakyat berfungsi. Begitu juga dengan Pilihan Raya Presiden yang menyaksikan kemenangan Mursi.
Maka langkah seterusnya bagi memantapkan proses demokrasi Mesir ialah penggubalan perlembagaan baharu.
Perlembagaan baharu ini akan dibawa ke pungutan suara, dan apabila diterima oleh rakyat Mesir, maka ia berkuat kuasa dan negara itu bolehlah meneruskan kehidupan politik demokratik dengan mantap.
Tetapi di sinilah Mursi menghadapi cabaran besar. Beliau disokong apa yang pihak Barat panggil Islamis, terdiri daripada parti pimpinan Morsi, Parti Keadilan dan Kebebasan (JFP) yang merupakan sayap politik Ikhwanul Muslimin, dan juga parti kumpulan Salafi, Al-Nour yang dianggap oleh pihak Barat sebagai radikal.
Sementara penentang-penentang Mursi dipimpin secara umumnya oleh pemenang Hadiah Nobel, Mohamed ElBaradei. Mereka ini terdiri daripada apa yang disebut Barat sebagai liberal, kiri dan golongan minoriti.
Liberal di sini antara lain termasuk Parti Mesir Bebas, Parti Karama, Parti Kifayah, Parti Perlembagaan, Parti Demokratik Mesir dan Parti Wafd Baharu. Sementara parti-parti kiri termasuklah Parti Nasser, Perikatan Rakyat Sosialis, Pakatan Demokratik Revolusioner dan Parti Demokratik Sosial.
Sementara golongan minoriti terdiri daripada Gereja Orthodoks Kibti, Gereja Katholik dan Gereja Anglikan.
Maka kedua-dua pihak ini sudah pun bertempur hingga mengorbankan nyawa. Apa yang menjadi pertikaian mereka ialah draf perlembagaan yang dikemukakan sebagai usaha Mursi dan Ikhwanul Muslimin untuk menjadikan Mesir sebagai sebuah Negara Islam yang dianggap tidak demokratik.
Paling berkontroversi dalam draf perlembagaan itu ialah pernyataan mengenai Syariah.
Artikel 2 dalam perlembagaan lama yang menyebut: "Islam adalah agama negara dan Arab adalah bahasa rasmi. Prinsip-prinsip Syariah adalah sumber utama perundangan" dikekalkan.
Namun, draf perlembagaan baharu menambah Artikel 219 yang menyebut: "Prinsip-prinsip Syariah termasuk pembuktian dan asas-asas umum, peraturan dan jurisprudens dan juga sumber-sumber yang diterima oleh mazhab Sunnah Wal Jamaah dan para ulama."
Terdapat banyak lagi artikel-artikel dalam draf perlembagaan baharu yang membimbangkan golongan liberal, kiri dan minoriti bahawa Mursi sedang membawa Mesir untuk menjadi sebuah Negara Islam yang memaksa rakyat untuk menurut fahaman Ikhwanul Muslimin.
Walaupun calon-calon Ikhwanul Muslimin menang kebanyakan kerusi Parlimen dan Mursi berjaya meraih undi terbanyak dalam Pilihan Raya Presiden, tetapi sokongan rakyat terhadap mereka bukanlah majoriti besar.
Ikhwanul Muslimin berjaya kerana mereka merupakan pertubuhan paling tersusun dan cekap berbanding yang lain. Sementara Mursi pula berlawan dengan calon pihak tentera yang sudah ditolak rakyat.
Maka sebenarnya kemenangan Mursi adalah atas undi rakyat yang menolak rejim tentera tetapi tidak bermakna mereka menerima fahaman Ikhwanul Muslimin.
Mengukuh
Apa yang membimbangkan golongan liberal, kiri dan minoriti ialah cara Mursi bertindak cepat untuk mengukuhkan kuasanya. Beliau dengan cepat berusaha menyingkirkan pihak tentera, menguasai Parlimen, melemahkan pihak kehakiman dan mengukuhkan kuasa mutlak kepresidenan.
Mereka melihat bahawa apa yang disebut sebagai kebangkitan Musim Bunga Arab hingga membawa kepada kejatuhan rejim tentera di Mesir adalah atas usaha rakyat yang mahukan pemerintahan demokrasi.
Maka mereka amat bimbang kebangkitan rakyat untuk demokrasi ini akan dirampas (hijack) oleh Ikhwanul Muslimin dan Islamis lainnya untuk menubuhkan Negara Islam yang berbentuk mengongkong dan menghalang kemajuan moden negara.
Dalam perbincangan yang dikesan melalui Internet, ada gambaran bahawa mereka bimbang Mesir akan menjadi seperti Iran. Revolusi pimpinan Ayatullah Khomeini yang menggulingkan Shah Iran telah digerakkan oleh rakyat negara itu dari kalangan pelbagai fahaman termasuk golongan liberal, kiri dan minoriti. Mereka mengharapkan selepas kejatuhan Shah Iran yang bersifat mengongkong, akan lahirlah sebuah negara demokratik yang memberi kebebasan dan tempat kepada semua rakyatnya tanpa mengira agama dan fahaman.
Tetapi apa yang terjadi ialah revolusi rakyat itu dirampas oleh golongan Islamis tertentu dan negara yang ditubuhkan adalah sebuah republik bersifat mengongkong walaupun pemerintahannya dibuat atas nama Islam dan kepimpinan ulama. Sementara golongan Islamis yang bersifat demokratik diketepikan. Nama-nama seperti Ali Shariati dan Ayatullah Montazeri yang pemikirannya menyumbang kepada revolusi telah diketepikan selepas penubuhan Republik Islam Iran.
Maka perkara inilah apa yang golongan liberal, kiri dan minoriti di Mesir hendak elakkan. Mereka boleh menerima Mursi dan Ikhwanul Muslimin selagi kedua-duanya itu berpolitik dalam kerangka demokrasi dan tidak memaksa fahaman mereka ke atas negara dan rakyat keseluruhannya. Umumnya, dalam hal ini, mereka mungkin boleh menerima cara golongan aktivis politik agama di Turki dan Tunisia yang terus mengekalkan suasana politik demokratik di negara masing-masing walaupun mereka berusaha juga memperkenalkan dasar-dasar berasaskan Islam.
Pihak Barat dengan jelas menolak sebarang usaha yang mengubah corak sesebuah negara menjadi Islam berbentuk mengongkong dan tidak demokratik. Mereka sentiasa memantau perkembangan negara-negara umat Islam kalau-kalau ia menuju ke arah berbentuk agama.
Dalam hal Mesir, sokongan Barat kepada golongan liberal, kiri dan minoriti dengan menentang Ikhwanul Muslimin adalah jelas.
Tetapi debat bagaimana sebuah Negara Islam yang juga demokratik dan moden dapat diwujudkan sedang berlaku di Mesir dengan kesan langsung terhadap rakyat dapat disaksikan.
Pengorbanan dan sumbangan Ikhwanul Muslimin kepada Mesir tidak ada toloknya dalam sejarah negara itu. Mereka ditekan dengan kejam oleh kerajaan-kerajaan pimpinan Gamal Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak yang terdahulu.
Sememangnya kebangkitan rakyat di Mesir adalah peristiwa yang tidak dijangka-jangka memberi kemenangan kepada Ikhwanul Muslimin.
Mursi berada dalam keadaan kritikal dan beliau mesti berhati-hati. Sebarang tindakan yang silap akan memusnahkan harapan rakyat Mesir untuk menikmati kehidupan bernegara yang lebih baik. Kekuasaan yang diperolehnya pula bukanlah untuk beliau memaksa rakyat Mesir untuk menerima fahaman Ikhwanul Muslimin. Maknanya beliau mesti tampil sebagai Presiden untuk seluruh rakyat Mesir dan bukannya wakil Ikhwanul Muslimin semata-mata.
Sehingga kini, beliau pun sudah mengalah dengan menyatakan kesediaannya untuk berunding dengan penentang-penentangnya walaupun mereka menolak.
Para penentangnya yang kini berhimpun dalam Barisan Penyelamat Nasional (NSF) telah menuntut supaya pungutan suara terhadap draf perlembagaan itu ditangguhkan. Mereka juga mahu Mursi membatalkan kuasa presiden melalui dekri yang diperolehinya.
Apa yang berlaku di Mesir sekarang dari segi perkembangan fahaman politik Islam mempunyai makna yang besar.
Bagaimana Ikhwanul Muslimin bertindak serta respons ulama akan menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia. Masa depan pemikiran umat di tangan Mursi.
No comments:
Post a Comment