Sunday, 9 December 2012

AES: Pembangkang mahu jadi wira tidak bertempat

PENULIS memahami pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas semakin ketandusan idea dan isu bagi meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ketika masih terlalu banyak janji yang mereka taburkan ketika pilihan raya umum lalu belum ditunaikan, kini pakatan pembangkang cuba menunjukkan kononnya mereka pembela rakyat apabila menentang pelaksanaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Kerajaan PKR di Selangor, contohnya telah memberi amaran akan menghalang pemasangan alat itu atas alasan berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT), bagaimana hasrat itu dibatalkan selepas mendapat pandangan penasihat undang-undang negeri.
Bagi penulis, isu PBT itu hanyalah alasan semata-mata kerana sebelum ini di Selangor contohnya, pemimpin-pemimpin pembangkang cuba menonjolkan diri mereka sebagai pembela rakyat apabila mengadakan kaunter khas bagi mengumpul saman-saman AES yang diterima oleh orang ramai.
Tujuan mereka bukannya hendak menyelesaikan saman tersebut tetapi sebagai tanda protes. Inilah sikap pembangkang, dalam keadaan terdesak untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya mereka sanggup melakukan apa sahaja.
Sebelum ini, pakatan pembangkang juga mengajar rakyat supaya jangan membayar semula hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Maknanya, apa sahaja yang mereka fikirkan boleh memberi keuntungan politik akan mereka lakukan.
Dalam soal ini, penulis ingin bertanya apakah sumbangan pakatan pembangkang dalam memberi idea kepada kerajaan dalam mengurangkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini?
Penulis tidak mahu menghuraikan kebaikan AES kerana semua orang sedia maklum bagaimana ia telah memberikan petunjuk yang positif dalam usaha mengurangkan kemalangan.
Tetapi apa yang ingin penulis pertikaikan keikhlasan pakatan pembangkang dalam isu AES ini. Kita tidak akan mencapai negara maju jika ada pembangkang seumpama ini yang mahu mempolitikkan apa sahaja.
Sebab itulah kerajaan tidak perlu tunduk kepada tekanan pembangkang dalam isu AES ini. Biarlah apa pun mereka hendak katakan, AES perlu diteruskan kerana ia adalah untuk kebaikan semua pihak.
Kalau pembangkang benar-benar prihatin dengan nasib rakyat, ayuh! laksanakan dulu pelbagai janji dalam manifesto pilihan raya lalu yang kebanyakannya sekadar menjadi hiasan semata-mata.
Janganlah hendak berlagak sebagai wira rakyat secara tidak bertempat. Kalau benar pakatan pembangkang prihatin sudah lama mereka memastikan apa yang terkandung dalam manifesto dilaksanakan.
Tetapi apa yang kita lihat adalah sebaliknya, di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, berlambak-lambak janji-janji yang tidak ditunaikan.
Semua itu membuktikan bahawa ‘perjuangan’ pembangkang dalam soal AES ini hanyalah gimik politik. Mereka lakukan semata-mata untuk memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Tanpa mahu mengkaji baik buruknya sistem itu pembangkang ingin memaparkan kepada rakyat kononnya AES adalah perancangan kerajaan untuk terus menindas rakyat.
Namun semua orang tahu, AES dipasang di kawasan tertentu bagi mengurangkan kemalangan dan sekali gus menyelamatkan nyawa rakyat.
Bagaimanapun pembangkang peduli apa, bagi mereka kalau menyokong apa juga tindakan baik oleh kerajaan maka habislah modal politik mereka.
Justeru mahu tidak mahu, mereka akan mencari helah dan alasan untuk memburuk-burukkan usaha kerajaan biar pun ia dilakukan demi kebaikan rakyat.
Bagi pembangkang, mereka sudah berada dalam keadaan terdesak kerana tembelang dan kelemahan sebagai sebuah pakatan yang mereka dakwa alternatif kepada BN semakin terdedah.
Pakatan pembangkang ternyata tidak mampu menyaingi keupayaan dan kewibawaan BN sebagai pemerintah, oleh itu untuk menutupi kelemahan mereka maka isu AES dianggap salah satu kesempatan terbaik untuk mereka meraih sokongan rakyat.
Namun penulis yakin tidak semua rakyat akan terpedaya dengan mainan politik pembangkang. Lama kelamaan rakyat akan memahami juga kenapa AES dilaksanakan.
Kalau kerajaan BN mahu mencari populariti seperti mana pembangkang sudah pasti AES tidak akan dilaksanakan ketika negara berada di ambang pilihan raya.
Tetapi BN adalah kerajaan bertanggungjawab dan bukannya memerintah negara ini atas dasar populariti apatah lagi mahu meraih undi semata-mata.
Sebaliknya, apa yang kerajaan BN pentingkan ialah nyawa rakyat. Kita tidak boleh selama-lamanya membiarkan jalan raya di negara ini menjadi lautan berdarah apabila ada sahaja kemalangan maut yang berlaku.
Oleh itu AES diperkenalkan atas dasar dan niat murni ini, kalau BN mahu populariti sudah pasti tindakan berkenaan tidak dilakukan.
Jelaslah antara BN dan pakatan pembangkang ada perbezaan yang cukup ketara. BN mahu menjadi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab manakala pakatan pembangkang pula lebih mengutamakan usaha meraih populariti untuk menang dalam pilihan raya.
Percaya atau tidak, jika kemalangan semakin meningkat dan jumlah kematian maka bertambah, sudah pasti pakatan pembangkang akan menyalahkan kerajaan BN. Maka tidak mustahil dalam majlis mendoakan kehancuran BN dan UMNO seperti mana mereka lakukan baru-baru ini di Kota Bharu, mereka akan memasukkan kadar kemalangan ini sebagai modal untuk menunjukkan kononnya negara ini sudah tidak selamat.
Tetapi apabila kerajaan BN mengambil langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan, mereka pula terpekik terlolong menentang kononnya pelaksanaan AES hanya menyusahkan rakyat.
Malang sekali bagi Malaysia kerana memiliki sekelompok pembangkang yang hadir ke persada politik tanah air semata-mata untuk memburu kuasa, bukannya bersama-sama membangunkan negara.


No comments:

Post a Comment