Sunday 9 December 2012

Hapus pengkhianat parti syarat menang pilihan raya

Manja Ismail
2012/10/22


Semua pihak mengakui satu daripada faktor utama kemenangan besar pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ialah kelemahan serta masalah dalaman parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama UMNO sendiri.

BN tewas di kubu sendiri, malah kehilangan kuasa memerintah di beberapa negeri bukan disebabkan pembangkang terlalu kuat, tetapi kerana penyokong tradisinya termasuk ahli parti sendiri, sama ada menyokong calon parti lawan atau tidak keluar mengundi.

Antara sebab penyokong setia BN beralih arah ketika itu ialah kerana segelintir pemimpin pada peringkat bahagian bukan saja tidak bersungguh untuk melihat calon mereka menang tetapi secara diam-diam ‘bekerja’ untuk parti lawan. Lebih membuatkan pengundi menyampah ialah di sesetengah kawasan, tindakan itu dilakukan oleh pemimpin peringkat bahagian termasuk wakil rakyat yang digugurkan dan mereka yang berasa layak tetapi tidak dicalonkan.

Sabotaj bukan perkara baru

Selain itu, disebabkan pemilihan parti biasanya ditangguhkan selepas pilihan raya, banyak kes di mana peruntukan pilihan raya yang diagihkan oleh ibu pejabat tidak sampai kepada petugas parti. Pemimpin yang diamanahkan dengan dana itu menyimpan sebahagian besar peruntukan, sama ada untuk diri sendiri atau sebagai modal pemilihan parti kemudiannya.

Perbuatan mensabotaj parti atau ‘peteh/cah keting’ seperti ini bukan perkara baru dalam UMNO, malah berlaku sejak kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad lagi. Ia juga bukan terhad kepada UMNO tetapi turut berlaku kepada parti lain termasuk pembangkang sendiri.

Namun, disebabkan UMNO adalah parti terbesar dan masih menjadi tonggak pemerintahan, maka ramailah berebut untuk menjadi calon. Lumrah kebanyakan orang politik sukar memberikan kerusi atau melepaskan jawatan walaupun umum melihatnya sebagai beban kepada parti.

Jika terpaksa undur, tidak ramai yang berlapang dada serta ikhlas membantu bagi memastikan kemenangan pengganti. Yang sering berlaku, di depan umum dan pemimpin Pusat, mereka menunjukkan semangat berkobar-kobar dengan ‘yes boss, bereh boh’ tetapi selepas itu, berusaha untuk menyekat kemenangan calon parti sendiri.

Kekalahan BN kepada PAS di Terengganu pada 1999 dan kemenangan tipis Datuk Seri Najib Razak di Pekan pada tahun sama disebabkan perbuatan jelik ini. Kehilangan Kedah, yang dianggap kubu kuat UMNO pada 2008, juga dikatakan angkara sabotaj dalaman.

Tentulah agak aneh apabila BN memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri tetapi tewas di kerusi Parlimen seperti berlaku di beberapa negeri pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, tindakan diambil selepas pilihan raya dianggap terlambat kerana kesan perbuatan itu sudah berlaku. Lebih malang lagi, ramai ‘pensabotaj’ pada peringkat cawangan atau bahagian bukan saja terlepas tindakan tetapi ada yang diberikan jawatan atau projek kerana kedudukannya dalam parti.

Ambil tindakan segera

Justeru, langkah Majlis Tertinggi UMNO menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau dan mengambil tindakan segera ke atas mana-mana ahli yang mengkhianati atau mensabotaj parti ketika pilihan raya, boleh mengurangkan budaya buruk itu, kalaupun tidak menghapuskannya langsung.

Jawatankuasa khas dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail itu akan melantik seorang pemantau di setiap cawangan, yang akan membuat laporan terus kepadanya mengenai sebarang perbuatan sabotaj dalaman.

Panduan yang merangkumi definisi dan tindakan mensabotaj parti akan diedarkan kepada semua bahagian UMNO di seluruh negara. Definisi sabotaj seperti diumumkan oleh Najib kelmarin, antara lain ialah menyokong parti lawan, menghasut untuk menentang parti dan menyalahgunakan wang.

Kita percaya ahli akar umbi UMNO yang mahu melihat parti mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum nanti, akan menyokong dan memberi kerjasama penuh kepada jawatankuasa ini.

No comments:

Post a Comment