Sunday, 9 December 2012

Adab dan pembinaan peribadi ummah

Johan Jaafar
zulu.jj@hotmail.com
2012/11/01


Adab menurut Kamus Dewan bermakna tingkah laku serta tutur kata, budi bahasa atau budi pekerti yang halus. Adab datangnya daripada perkataan Arab dan dalam Islam, adab membawa makna yang lebih besar, termasuk tatacara atau perilaku dalam menunaikan amalan agama seperti solat. Maka itu adab mempunyai makna istimewa dalam masyarakat Melayu dan Islam.

Dalam masyarakat yang mementingkan kepatuhan bersama sebagai kunci hidup bermasyarakat maka adab dan akhlak diberikan perhatian yang serius. Ada kalangan orang Melayu menganggap bahawa nilai leluhur seperti budi bahasa dan adab sopan tidak relevan lagi. Ada pemimpin Melayu yang mengajak bangsanya menjadi kurang ajar. Ada kalangan yang menyalahkan budi bahasa orang Melayu sebagai bukti kelemahan diri dan jati diri mereka.

Semuanya ini memberikan isyarat yang mengelirukan pada anak-anak muda kita. Dalam sistem kekeluargaan orang Melayu budi bahasa diletakkan di tempat yang tinggi. Cara menghormati orang tua, perlakuan dalam majlis rasmi dan tindak tanduk seharian melambangkan peribadi dan akal budi seseorang. Dalam proses sosialisasi, semua ini dianggap penting.

Maka itu ada kalanya kita terkejut dengan tindak tanduk anak-anak Melayu sendiri yang menghina peradaban, budaya, nilai, malah raja-raja dan ketua mereka. Dalam konteks berpolitik ada kalanya kaedah menghalalkan cara. Penolakan terhadap sesuatu fahaman tidak seharusnya menjadikan kita biadab dan kurang ajar. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tetapi biarlah dengan cara yang waras, sihat dan bertamadun.

Dalam soal beragama, kurangnya toleransi terhadap penganut agama lain malah sesama agama semakin membimbangkan. Semuanya ini menampakkan perubahan sikap dan nilai masyarakat moden hari ini.

Ada juga yang menyalahkan media sosial yang mencambahkan budaya biadab di kalangan generasi muda. Medium baru itu menjadi pekan koboi yang tidak punya undang-undang dan peraturan. Lesen kebebasan di alam siber disalahgunakan. Dunia itu menjadi dunia penuh kebencian, dendam dan marah, diapikan pula oleh perbezaan politik dan pendirian.

Memang benar ada kalangan yang menggunakan ruang siber untuk menghina, memfitnah dan memburuk-burukkan orang lain. Tetapi bilangan mereka kecil berbanding dengan banyak lagi yang menggunakannya untuk kebaikan. Kita tidak perlu membakar kelambu kerana nyamuk yang sedikit. Alam siber bermuat pelbagai ilmu, maklumat dan pengetahuan yang boleh memperbaiki hidup manusia.

Demikian juga kita tidak boleh menggunakan kayu ukur sebilangan pemandu yang tidak beradab di jalan raya sebagai bukti kehancuran nilai dalam masyarakat. Kita tidak boleh menyalahkan sistem sekolah semata-mata kerana sebahagian anak-anak muda kita tidak menghormati orang lain. Individu dicorakkan oleh pelbagai faktor persekitaran, bukan sekolah sahaja. Ada yang kecewa bahawa terdapat anak-anak muda kita yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada buku dan disiplin apabila keluar sekolah.

Adab lebih penting lagi dalam amalan beragama. Maka itu, dalam sistem pendidikan Islam, adab menjadi salah satu mata pelajaran utama. Adab dianggap penting dalam konteks pembinaan keperibadian Muslim. Adab dikaitkan dengan akhlak dan kelakuan. Oleh yang demikian, seorang Islam yang baik harus juga menunjukkan adab yang baik selain mengamalkan cara hidup yang diredhai.

Hari Raya Aidiladha punya makna yang besar bagi bagi umat Islam. Semangat pengorbanan perlu dihayati oleh setiap orang. Maka itu Hari Raya Korban menuntut perlakuan yang terpuji di kalangan umat Islam. Sekali lagi alam siber bermuat dengan pelbagai cerita tentang keangkuhan atau riak serta perilaku yang buruk pada hari yang sepatutnya mencerminkan nilai terpuji.

Cerita mereka yang menjadikan korban sebagai simbol status yang baru tentulah menyedihkan. Ada orang kaya Islam bangga mengisytiharkan berapa banyak lembu dan kambing yang mereka sumbangkan di masjid atau surau. Ada yang melakukannya atas tujuan publisiti bagi menunjukkan keupayaan dan kemewahan. Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah membuat kenyataan yang penting baru-baru ini, menyeru umat Islam agar mengelak amalan korban untuk tujuan bermegah-megah.

Kita juga mendengar pelbagai cerita bagaimana petugas upacara korban bersikap tidak adil, mengumpulkan bahagian terbaik daripada haiwan yang disembelih untuk diri sendiri atau mengenepikan orang lain. Ada kalanya sesebuah masjid menjadi tempat korban puluhan ekor lembu tetapi oleh sebab sistem pengagihan yang tidak betul menyebabkan tidak semua penduduk setempat menikmatinya.

Di tengah semangat korban, elok rasanya umat Islam mula menanyakan soal adab dan akhlak ini. Kita mahukan umat yang bukan sahaja kuat, berilmu, kukuh ekonominya tetapi juga mengamalkan perilaku dan akhlak yang dituntut oleh Islam. Kita sepatutnya menunjukkan contoh yang baik.

No comments:

Post a Comment