Sunday, 9 December 2012

Rakyat perlu peka keselamatan negara

Mohd Ayob Abd Razid
ayob_99@yahoo.com
2012/11/02


Kemunculan pengganas siber jadi trend dorong individu terpengaruh seruan jahat

Terrorisme adalah satu bentuk ideologi atau fahaman keganasan yang menghantui masyarakat dunia abad ini. Kumpulan pengganas dan rangkaiannya bertebaran di seluruh dunia.

Harun Yahya, tokoh Muslim terkenal dari Turki menyatakan terdapat hampir 500 kelompok pengganas di dunia dan ada yang mempunyai jaringan antarabangsa yang luas. Kumpulan terbabit mempunyai pelbagai agenda yang dikaitkan dengan perjuangan agama, kaum dan politik yang mampu mengancam perdamaian dan keamanan dunia.

Terrorisme sudah lama wujud

Walaupun terrorisme adalah aktiviti yang sudah lama wujud dan istilah itu mula digunakan pada abad ke-18, perbahasan mengenainya mula menjadi fokus dalam arena politik antarabangsa selepas berlakunya serangan ke atas World Trade Centre (WTC) New York dan Pentagon pada 11 September 2001.

Ia adalah peristiwa dan hari yang dianggap sebagai the day of infamy sehingga mendorong Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, George W Bush mengisytiharkan ’perang terhadap keganasan’.

Agak sukar untuk mendefinisikan terrorisme secara tepat kerana ia berkaitan pelbagai aspek seperti sosiologi, psikologi, politik, kriminologi dan agama. Pada asasnya, terrorisme dikaitkan dengan tindakan keganasan, kekerasan dan ancaman yang dilakukan secara terancang oleh kumpulan pengganas dengan tujuan menimbulkan ketakutan dan ketidaktenteraman awam.

Jabatan Pertahanan AS mendefinisikan terrorisme sebagai suatu penggunaan kekerasan atau ancaman kekerasan yang tidak sah menurut undang-undang yang bertujuan untuk menanamkan ketakutan dengan cara memaksa atau mengugut pemerintah atau masyarakat untuk tujuan mencapai matlamat atau tujuan politik, agama atau ideologi tertentu.

Federal Bureau of Investigation (FBI) Amerika mendefinisikan terrorisme sebagai penggunaan kekuatan yang tidak sah demi mencapai tujuan politik dengan mereka yang tidak bersalah menjadi sasarannya.

Kesan kepada kemanusiaan

Keganasan menimbulkan kesan negatif terhadap kemanusiaan kerana tindakan kumpulan pengganas sering mengorbankan nyawa serta kemusnahan harta benda. Biasanya korban keganasan membabitkan orang awam dan ia meninggalkan kesan psikologi yang mendalam seperti trauma kepada mangsa.

Pengkaji Barat cenderung membahagi keganasan kepada dua bentuk, iaitu keganasan suci dan keganasan sekular. Keganasan suci dikaitkan dengan keagamaan yang berpunca daripada kefahaman salah terhadap nilai keagamaan sehingga menumbuhkan fanatisisme atau ketaksuban yang melampau dalam kalangan pengikut dan pendukungnya. Sering kali juga keganasan jenis ini berasaskan kepada pendewaan seorang pemimpin yang disucikan.

Keganasan sekular pula didorong tujuan politik, ideologi dan kekuasaan. Tindakan kumpulan tertentu dalam memperjuangkan autonomi wilayah adalah tergolong dalam kumpulan ini. Turut dikategorikan ialah ‘state terror’ iaitu keganasan yang dilakukan sesebuah negara ke atas negara lain.

Ada juga state terror yang ditegakkan di atas nama pembinaan negara bangsa seperti negara haram Zionis di bumi Palestin. Sejak 1948 hingga kini, rejim Zionis melakukan banyak siri keganasan yang sudah mengorbankan ratusan ribu nyawa rakyat Palestin.

Keganasan suci tak sama konsep jihad

Namun, perlu dinyatakan bahawa keganasan suci tiada kena-mengena dengan konsep jihad dalam Islam. Usaha Barat atau golongan orientalis untuk menyamakan terrorisme dengan konsep jihad dan Islam fundamental yang berjuang memerdekakan tanah air mereka daripada penjajahan kufar seperti yang berlaku di Palestin adalah satu usaha jahat untuk memburukkan Islam.

Jihad berasal daripada perkataan ‘jahada' yang bermakna menggunakan segala daya upaya (usaha) dengan penuh kesungguhan untuk memperjuang atau mendapatkan sesuatu. Usaha membangunkan ekonomi ummah secara bersungguh-sungguh adalah satu jihad.

Namun, jihad menurut definisi syariah membawa makna menentang musuh Islam di medan pertempuran dengan tujuan menegakkan kalimah Allah serta menghapuskan segala rintangan terhadap dakwah Islamiah. Matlamat dan sasaran jihad juga adalah jelas.

Sebaliknya, terrorisme atau perjuangan pengganas yang penuh kekeliruan, kecelaruan dan sering kali berasaskan tafsiran yang menyimpang daripada ajaran agama sebenar.

Kajian dan siasatan mendapati bahawa terrorisme melihat tindakan keganasan sebagai satu-satunya cara mencapai tujuan politik. Di mata pengganas, dilema politik dan konflik hanya dapat diselesaikan dengan cara keganasan.

Ancaman pengganas boleh menyebabkan keamanan dan keselamatan sesebuah negara terancam. Kehidupan masyarakat akan terganggu dan kebebasan hak asasi akan turut diragut. Keganasan juga menggugat ketenteraman awam serta mengancam keselamatan jiwa dan harta benda.

Kedahsyatan tindakan pengganas memang sukar dibayangkan. Dengan hanya dengan satu ledakan bom yang disembunyikan di celah bangunan atau di badan pengganas boleh meragut puluhan atau ratusan nyawa serta kecederaan parah ke atas orang awam selain memusnahkan harta benda dalam sekelip mata.

Internet jadi medan sebar pemikiran keganasan

Sayugia diingat pada era teknologi maklumat (ICT) ini, pemikiran keganasan boleh disebarkan melalui internet. Kemunculan ‘pengganas siber’ ini sudah menjadi satu trend yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Contohnya, semasa isu BERSIH 2.0 dulu, ada kalangan pengamal media sosial yang berfikiran ganas menyarankan semua polis dibunuh kerana kononnya polis melakukan kekejaman terhadap penunjuk perasaan. Ini satu saranan atau pandangan yang berupa hasutan yang sangat jahat.

Walaupun ia adalah pemikiran secara individu, hasutan seumpama itu berupaya mendorong tingkah laku ganas kepada mereka yang terpengaruh seruan jahat seperti itu. Malah tidak mustahil daripada pemikiran ganas individu yang disebarkan melalui internet itu akan mewujudkan kumpulan pengganas terancang yang membahayakan keselamatan negara.

No comments:

Post a Comment