Sunday, 9 December 2012

Mengukur nilai nasionalisme

SEMANGAT dan roh Pancasila dalam jiwa rakyat Indonesia yang terlalu kental menyebabkan lebih 234 juta rakyat negara ini terlalu berbangga dengan negara mereka. Jati diri rakyat Indonesia untuk mempertahankan kedaulatan negara mereka tidak mengenal batas usia, darjat kedudukan atau warna kulit.
Selagi namanya bangsa Indonesia, selagi itulah rakyat negara ini akan berganding bahu memastikan kedaulatan Pancasila dijunjung. Biarpun hidup dalam era keterbukaan dan demokrasi tidak bersempadan, namun rasa kasih dan sayang terhadap negara mendahului segala-galanya.
Berada di negara ini sejak dua tahun lalu secara tidak langsung mempengaruhi jiwa penulis untuk mengambil contoh baik daripada teman-teman di sini. Sekalipun jarak Malaysia dan Indonesia hanya terpisah oleh Selat Melaka dengan penerbangan dua jam, namun, berada selagi berada di negara orang, selagi itu kita masih menganggap kita orang asing.
Seperti kata pepatah hujan emas di negeri orang, lebih baik lagi hujan batu di negeri sendiri. Rata-rata daripada teman senegara yang penulis temui (sekalipun ada yang sudah berbelas tahun bermastautin di Indonesia) masih belum hilang waima seinci kecintaan mereka terhadap Malaysia.
Semangat 1Malaysia yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibawa dalam kehidupan seharian di tanah bekas jajahan Belanda ini.
Dalam komuniti yang kecil, tidak kira siapa sekalipun mereka yang berjawatan tinggi, berpengaruh dan kaya raya masih punya nilai peradaban yang luar biasa kala diajak bercerita mengenai tanah kelahiran sendiri.
Baik Melayu, Cina dan India, semuanya sentiasa berpegang pada satu prinsip - kewarganegaraan Malaysia ialah satu anugerah terbaik yang tidak wajar diremehkan.
Ketepikan perbezaan ideologi politik kerana pucuk pangkalnya hampir kesemua rakyat Malaysia di sini termasuk yang bekerja dan sedang menuntut ilmu di sini sangat berbangga dilahirkan di bumi bertuah lagi makmur yang mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu.
Keakraban
Daripada pergaulan dengan teman-teman, penulis dapat merumuskan nasionalisme terhadap negara di kalangan rakyat Malaysia masih lagi kukuh. Barangkali andai di tanah air, setiap daripada kita hanya lebih sibuk dengan urusan masing-masing sehingga lupa untuk memupuk semangat kebangsaan.
Yang kita pentingkan apakah makan minum kita cukup, rumah besar mana yang mahu kita miliki atau kereta jenama antarabangsa apa yang mahu kita pandu. Sebaliknya, di sini, rakyat Malaysia sangat menyedari bahawa keakraban sesama teman senegara amatlah penting.
Berdasarkan pengalaman rakan-rakan yang sempat dikongsi kisah mereka, rata-rata mengakui, hidup di negara asing meningkatkan jati diri dalam diri masing-masing. Tiada perbezaan agama atau warna kulit kerana yang penting masing-masing memiliki kad pengenalan yang sama.
Bertitik tolak daripada situlah melahirkan komuniti Malaysia yang sangat mesra, peramah dan berbudi bahasa iaitu imej yang sangat sinonim dengan negara kita.
Lantaran itu, apabila Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berangkat ke Jakarta baru-baru ini, awal-awal lagi rakyat Malaysia di sini berasa amat teruja.
Kesemua lebih 200 rakyat Malaysia yang memenuhi undangan majlis santapan malam itu terasa terlalu dekat dengan Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah biarpun sebilangan besar daripada yang hadir malam itu mungkin kali pertama bertemu dan bersalaman dengan pasangan diraja itu.
Rasa hormat dan bangga kerana memiliki institusi diraja jelas terpancar pada setiap rakyat Malaysia yang hadiri pada malam itu yang terdiri daripada semua kaum.
Tambah menggembirakan, senyuman yang diukir oleh pasangan itu sepanjang beramah mesra dengan rakyat Malaysia membangkitkan lagi kecintaan pada negara. Inilah keistimewaan yang ada pada kita. Raja Melayu merupakan simbol perpaduan untuk seluruh bangsa Malaysia.
Sistem Raja Berperlembagaan yang sudah lama kita warisi ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara unik di Asia khususnya.
Kestabilan yang ada seharusnya dikekalkan mengikut acuan kita sendiri, bukannya dengan meniru langkah-langkah sumbang negara asing. Lebih unik lagi, aspirasi perpaduan sesama rakyat Malaysia di negara ini turut diterjemahkan dalam platform Kelab Malaysia Jakarta (MCJ).
MCJ mungkin tidak boleh memikul tanggungjawab seperti mana yang dikendalikan oleh Kedutaan Besar Malaysia di ibu negara Indonesia ini.
Ini kerana tugas dan peranan Kedutaan Besar Malaysia jauh lebih besar dan penting sebagai perantara di antara kerajaan kedua-dua negara. Namun, setidak-tidaknya, kehadiran MCJ membantu kerajaan Malaysia memastikan semangat perpaduan di kalangan Malaysia yang bermastautin di sini berada di kedudukan yang paling stabil.
Kelab yang dipimpin oleh Halim Ashari pada masa ini benar-benar komited untuk membantu Kedutaan Besar Malaysia di sini memperkasakan lagi jati diri rakyat Malaysia di sini. Sekalipun usaha ini bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam sehari dua, setidak-tidaknya, Halim mendapat sokongan padu daripada rakyat Malaysia pelbagai kaum yang sama-sama mendokong aspirasi yang sama.
Halim bersama kepimpinan MCJ yang baru seperti Ragunath Joe, Lim Kean Joe, Mohanachandran, David Ho, Derrick Koo, Fakhrol Azmi Harun, Alan Alaidin, Riaz Razak, Hanim Hamzah dan beberapa orang lagi sudah menggariskan pelbagai usaha untuk menjadikan semangat 1Malaysia sama-sama dirasakan di bumi asing ini.
Sokongan luar biasa ini memperlihatkan keyakinan bahawa MCJ akan terus relevan biarpun selepas berbelas tahun diasaskan.
Tentu sekali harapan yang tinggi juga diletakkan pada MCJ untuk mencari mekanisme yang paling bijaksana untuk terus memperkasakan lagi perpaduan dan semangat nasionalisme yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia yang ada di sini.
Benarlah menjadi rakyat Malaysia merupakan satu kebanggaan yang tidak boleh diukur dengan wang ringgit. Jadi, janganlah kita terlalu suka dan mengalu-alu orang-orang asing yang hanya menunggu masa untuk melihat kestabilan yang kita bina daripada kerja keras generasi sebelum ini musnah. Bersyukurlah menjadi rakyat Malaysia.


No comments:

Post a Comment