Sunday, 9 December 2012

 

Tanjung - Pulau Pinang yang kian pudar

NAMA "Tanjung" mempunyai tarikan khusus dan sentiasa disebut dalam bicara Melayu Pulau Pinang. Baru-baru ini di Bukit Dato' Jenaton, Universiti Sains Malaysia, dibincangkan nasib Melayu Tanjung. Saya terlibat. Saya diminta berbicara sebagai anak kelahiran Tanjung.
Tajuk kertas kerja saya ialah "Ruang dan Tempat: Pandangan Alam Jawi Pekan melalui Aci Patmabi." Novel yang dikarang oleh Azmi Iskandar Merican itu mengisahkan kehidupan Melayu di Tanjung dari sekitar pertengahan pertama 1900 hingga ke dekad 1930an.
Saya melihat Aci Patmabi, yang baru diterbitkan tahun ini, sebagai novel sosio-sejarah. Pengarangnya secara retrospekif, memaparkan kehidupan sosial, budaya, ekonomi dan intelektual kaum Jawi Pekan pada masa itu. Aci Patmabi dapat ditafsirkan sebagai novel pertama yang mengisahkan kehidupan masyarakat Jawi Pekan di Tanjung dari kaca mata seorang ahli masyarakat Jawi Pekan juga.
Pandangan Ahmad Muhammad Rashid Talu melalui Iakah Salmah? yang berlatarbelakangkan Pulau Pinang pada tahun 1920an, walaupun protagonisnya wanita, mengisahkan permasalahan dan pandangan yang berbeza.
Aci Patmabi adalah sebuah kritikan sosial mengenai satu zaman yang telah berlalu, tetapi masih membayangi masa kini. Novel itu dibincangkan dalam sesi "Bedah Novel" sempena Sambutan Bulan Bahasa peringkat Kebangsaan 2012, anjuran Persatuan Karyawan Pulau Pinang dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Tiga lagi kertas kerja ialah oleh Prof. Sohaimi Abdul Aziz dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia yang juga Presiden Karyawan : "Dilema Melayu Tanjung: Satu Kritikan Sosial melalui Novel Aci Patmabi", Mohmad Noorhisham Baharom dan Rosnan Mahmod Zahidin "Bahasa Melayu Tanjong dalam Novel Aci Patmabi," dan Rosmah Derak "Perjuangan Wanita dalam Novel Aci Patmabi."
Bagi memahami lebih lanjut ceritanya dalam Aci Partmabi, kita perlu mengetahui konteks sejarah dan kewujudan kaum yang dikenalpasti dalam kehidupan seharian sebagai Jawi Pekan (agak berbeza dengan kategori sosiologikal Jawi Peranakan). Istilah 'Jawi' bermaksud 'Melayu' berasal dari istilah bahasa Jawa. Orang Arab yang belayar ke alam kepulauan Melayu lebih dari 1,300 tahun lalu mengenali pulau Jawa dan menamakan orang dari pulau Jawa dan sekitarnya sebagai orang Jawi.
Secara ringkas, 'Jawi Pekan' bermaksud 'Melayu Pekan.' Di semenanjung Tanah Melayu sebelum Perang Dunia ke-2, umumnya tidak ada konsep yang mengaitkan Melayu dengan 'pekan' kerana ketiadaan 'pekan' yang dihuni orang Melayu, kecuali kawasan Tanjung di Pulau Pinang - Tanjong Penaga dan Tanjong Penegri, serta di Singapura.
Jadi jika kita ingin bertemu dengan Melayu yang hidup di pekan, maka pergilah ke Tanjung dan ke Singapura. Jadi apabila disebut 'Jawi Pekan,' maka ia merujuk kepada orang Melayu yang hidup di pekan.
Siapakah orang Melayu yang hidup di pekan itu? Dan lebih khusus lagi, siapakah yang bermastautin di Tanjung, nama yang terpahat dalam kesedaran Melayu sehingga kini tanpa mempedulikan nama 'Georgetown'? Gambaran yang diwajahkan dalam Aci Patmabi amat jelas - mereka ialah orang yang bernama seperti Maidin, Pakwan, Pawanteh, Rawther, Mariambi, Naina dan Chombi, yang biasa menggunakan panggilan seperti "cek," "mamak," "mamu," "nana," "mami" dan "maini." Hanya kaum Jawi Pekan mempunyai nama sebegitu. Mereka adalah Orang Melayu Tanjung.
Aci Patmabi telah mengukir sempadan-sempadan identiti di Tanjung. Kadangkala sempadannya jelas dan ketara. Ada pula yang kabur dan berganjak-ganjak.
Ini adalah kekuatan penceritaan oleh pengarang dalam menimbulkan wajah dan identiti Jawi Pekan. Umumnya, istilah Jawi Pekan digunakan kepada kaum yang terbentuk hasil perkahwinan campur antara Tamil Muslim (dari Pesisir Pantai Koromandel), atau Malabari (dari pesisir Pantari Malabar) dengan wanita Melayu tempatan. Ada juga kadangkala perkahwinan wanita Melayu tempatan dengan Tamil Muslim/Malabari yang mempunyai campuran juga dengan kaum Arab atau Peranakan Arab. Dan ini dapat diluaskan kepada Jawi Pekan yang berketurunan lain dari benua India seperti Gujarati, Punjabi dan Afghani.
Dalam Aci Patmabi kita lihat kesedaran identiti diri dari penggunaan "Orang Jawi Pekan" pada halaman 48. Kita dengar percakapan antara Mariambi dengan Combi - "Air muka dia masin." Combi membalas, "Apa nak hairan. orang Jawi Pekan."
Juga, bahasa dan pelat orang Jawi Pekan Tanjung berbeza dengan lain-lain tempat di Pulau Pinang. Istilah-istilah Bahasa Tanjung yang terdapat dalam Aci Patmabi termasuk "hang", "depa", "awat", "tok nenek", "ghaplah" dan "maini." Juga nama lain yang mencerminkan sifat dan makanan seperti "serabai", "roti perata", "ponen" dan "ponu." Pada masa sama, watak-watak yang menyedari mereka itu kaum Jawi Pekan, juga mengaku "kita orang Melayu" (h.163) Apa yang ketara dan berkali-kali timbul dalam Aci Patmabi ialah majalah al-Imam. Kemunculan al-Imam seolah-olah membayangkan pengarang menyeru kepada gelombang islah yang terkini bagi masyarakat Melayu dan orang Melayu Pulau Pinang khususnya. Al-Imam sebagai majalah kritikan sosial antara 1906 dan 1908 memang berpengaruh di seluruh alam kepulauan Melayu. Kaum Jawi Pekan melihat al-Imam sebagai sumber komentar dan polemik dan penyalur nilai-nilai progresif dengan mengajak umat bangun dari tidur, buangkan kemalasan serta kepercayaan khurafat dan bid'ah. Dalam masa itu - awal 1900, khususnya dari 1906 ke awal 1930an, kaum Jawi Pekan di Tanjung, juga Melayu di semenanjung, menghadapi satu krisis nilai.
Pengarang Azmi Iskandar Merican juga meletakkan Jawi Pekan setaraf dengan orang putih. Mungkin juga ini pengaruh al-Imam serta pendedahan Orang Tanjung kepada majalah itu. Dari awal lagi, pengarang menunjukan bahawa status kaum Jawi Pekan sama dengan orang Barat. Ini mencerminkan unsur-unsur oksidentalisme di mana pengarang menolak keadaan penjajahan ke atas Orang Melayu Tanjung. Disebutnya"… Gudang Pritchard, sebuah kompleks membeli belah kepunyaan orang Inggeris di Pulau Pinang."Hanya orang kulit putih yang mampu membeli-belah di situ. Namun, Aci Patmabi mewajahkan ruang dan tempat yang kian pudar. Nama-nama tempat dan jalan yang disebut, dan yang diulangi sebenarnya mengukir pandang alam kaum Jawi Pekan.
Dalam Bab 1 dan 2 terutamanya, pengarang Azmi Iskandar Merican mengajak kita "melancung" mengelilingi Tanjung dalam mengenali geografi budaya kaum Jawi Pekan. Kita dibawa melalui Penang Road, Simpang enam, Irving Road, Lorong Yahudi, Burmah Road, Kedah Road, Transfer Road, Jalan Hatin, Irving Road, Pitt Street, Acheen Street, Argyll Road, Northam Road, Carnavon Street, Prangin Road, Seang Teik Road, Dato' Keramat dan Air Itam.
Setiap nama jalan itu mempunyai lapisan sejarah yang jarang kita dengar. Ia mengajak kita mengisahkan satu naratif Melayu Tanjung yang masih dinanti-nantikan. Persekitaran yang disebutkan membentuk dan mencorak sikap dan nilai kaum Jawi Pekan. Aci Patmabi berjaya mencengkam zaman itu; pada masa yang sama mencungkil satu lapisan sejarah Melayu Tanjung yang perlu diceritakan. Ia sejarah kecil yang mencabar pandangan Eurosentrik dalam sejarah dan persejarahan Pulau Pinang dan Malaysia.
Aci Patmabi perlu dibaca untuk memahami dan mendalami jiwa dan pandangan alam kaum Jawi Pekan. Masyarakat Melayu semenanjung sendiri masih tidak mengenali identiti Orang Melayu Tanjung.


No comments:

Post a Comment