Sunday 9 December 2012

Kelangsungan negara bangsa

Ibrahim Yahaya
rencanabh@bharian.com.my
2012/11/10


Pilihan raya bukan medan perang untuk menang semua

Mengapa negara bangsa perlu dipertahankan oleh rakyat negara ini? Mengapa ia perlu dibajai dan disuburkan sepanjang masa? Inilah yang harus dihayati oleh rakyat negara ini terutama pemimpin politik dalam keghairahan berpolitik untuk memenangi pilihan raya.

Bertitah pada majlis Syarahan Perdana Budaya anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kelmarin, Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah menekankan pilihan raya bukan medan perang yang bermatlamatkan menang semua, ia juga bukan satu peperangan sivil.

Titah baginda, tanggungjawab besar memastikan pilihan raya tidak akan menggugat kestabilan negara dan menjejaskan keharmonian warga, terletak di bahu barisan pimpinan kafilah politik di kedua-dua belah pihak, untuk memastikan suhu politik tidak membahang terlalu panas.

“Mengekalkan kuasa atau usaha untuk mendapatkan kuasa bukan segala-galanya. Negara bangsa lebih besar harganya dan tidak harus dileburkan dengan pendekatan politik yang memilih untuk berkerat rotan, berpatah arang, hingga pada akhirnya yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu.”

Pengamatan penulis, ada pemimpin politik di negara ini yang dalam keghairahan untuk menang pilihan raya sanggup melakukan apa saja termasuk demonstrasi jalanan yang merosakkan harta benda awam. Malah, mereka juga gemar memburuk-burukkan Malaysia di luar negara. Ini adalah perbuatan tidak sihat dan memalukan.

Hormati Perlembagaan

Raja Dr Nazrin turut menggariskan enam perkara bagi memastikan kelangsungan hidup negara bangsa. Pertama ialah semua pihak perlu kekal menghormati piagam awal yang dipersetujui bersama yang menjadi asas utama penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dengan tidak menyentuh perkara sensitif yang telah dipersetujui, paling utamanya agama.

Agama adalah perkara paling sensitif, berpotensi besar mencetuskan konflik yang memungkinkan persengketaan. Kebelakangan ini, titah baginda, garis sempadan menyentuh agama Islam kelihatan semakin berani dilanggar. Malah, ada kalangan bukan Islam semakin lantang mencabar perkara berkaitan Islam melalui ucap kata bernada mempersendakan syariat.

Kedua ialah memberi erti dan makna kepada prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Raja adalah simbol penyatuan setiap warga. Pada masa lalu, selepas ditabalkan, dianjurkan lawatan rasmi Yang di-Pertuan Agong ke semua negeri untuk memberi peluang kepada warga di semua peringkat, berasakan Yang di-Pertuan Agong adalah Raja kita.

Ketiga ialah ketelusan dan integriti pentadbiran kerajaan yang didukung tiga cabang utama iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Kepincangan di mana-mana peringkat Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman turut menjejaskan kedaulatan takhta. Justeru, kewibawaan cabang kerajaan demikian juga integriti institusi pelaksana wajib dipertahankan setiap masa.

Keempat ialah keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang adalah kunci yang akan menjamin ketenteraman awam dan kestabilan politik. Undang-undang wajib dilaksanakan secara adil dan saksama kerana pelaksanaan secara selektif atau kegagalan menguatkuasakan sepenuhnya hanya menjurus kepada kepincangan hidup.

Kelima ialah memahami dan mendalami konsep Federalisme berasaskan Perkara-Perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan. Hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kini menjelmakan dimensi baru dan semakin memeningkan kakitangan awam yang berkhidmat di peringkat negeri.

Konsep Federalisme

Sudah berlaku keadaan yang mana pegawai awam Persekutuan yang bertugas di negeri, dilarang menghadiri acara rasmi di peringkat negeri termasuk acara yang dihadiri Raja Pemerintah, manakala pegawai negeri dilarang menyertai acara anjuran Kerajaan Persekutuan. Senario sedemikian nyata tidak menunjukkan kematangan budaya politik negara bangsa dan kurang mendalamnya kefahaman akan konsep Federalisme.

Keenam ialah mengenai kepentingan pilihan raya sebagai satu instrumen utama dalam sistem kerajaan yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Ia adalah proses warga diberikan hak untuk menentukan kerajaan.

Di akhir titah baginda, Pemangku Raja Perak menekankan institusi Raja adalah penerusan tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa, satu lambang kedaulatan dan payung mahkota negara. Ia mungkin pelita lama tetapi kekal memancarkan cahaya.

Bagi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, syarahan Raja Dr Nazrin itu sebagai sidang ilmiah yang perlu disebarkan kepada khalayak dengan lebih meluas. Ia mesti difahami dan dihayati oleh semua pihak termasuk ahli politik.

No comments:

Post a Comment