Media dan politik
MENJELANG pilihan raya Presiden tahun 2008 yang lalu, akhbar kelima berpengaruh di Amerika Syarikat (AS), The Washington Post memperlihatkan sokongan kepada calon Presiden Barack Obama berbanding lawannya, McCain. Obama mewakili Parti Demokrat sementara McCain dari Parti Republikan.
Menurut kajian yang dibuat oleh Universiti Harvard, The Washington Post meletakkan Obama di muka depan sebanyak 176 kali berbanding McCain sebanyak 144 kali sepanjang kempen pilihan raya tersebut. Malah akhbar itu menyiarkan 626 berita mengenai Obama dan McCain hanya 584 berita.
Sementara itu Fox News Channel, akhbar New York Times dan Wall Street Journal pula memperlihatkan sokongan kepada Republikan. Malah pemilik media ini, Rupert Murdoch memberi dana sebanyak AS$1 juta (RM$3.1 juta) dan merupakan penyumbang perseorangan terbesar kepada Republikan. Bagaimanapun New York Times memperlihatkan sokongan kepada Obama yang menentang Hillary Clinton dalam Demokrat, tetapi menjelang pilihan raya Presiden 2008 Fox News Channel dan Wall Street Journal menyokong calon Republikan, McCain.
Semua ini bukanlah laporan media yang berat sebelah atau tidak adil. Ini adalah pendirian politik media berkenaan. Media pada hari ini bukan lagi sumber maklumat sebaliknya pencetus aliran pemikiran. Media berperanan membentuk pola pemikiran tidak kira sama ada dalam sosial atau pun politik. Maka yang dipaparkan adalah pemikiran media berkenaan, bukan pihak lain.
Kepada yang masih ingat dengan skandal Watergate yang menggegarkan AS pada 1972, The Washington Post adalah satu-satunya akhbar yang mendedahkan skandal tersebut. Hasil pendedahan dua wartawan penyiasatan, Bob Woodward dan Carl Bernstein itu, Presiden Richard Nixon tumbang walaupun sebelum itu akhbar berkenaan adalah penyokong Nixon.
Senario di atas memperlihatkan media di AS bebas menunjukkan pendirian politik dalam isu-isu tertentu. Sokongan The Washington Post kepada Demokrat bukanlah lesen untuk menutup segala keburukan parti itu pada masa yang lain.
Keadaan ini bukan sahaja di AS malah negara maju lain antaranya Britain. Sokongan media kepada sesuatu parti politik sentiasa berubah-ubah. Media di Britain juga bebas menunjukkan pendirian politik terhadap mana-mana parti politik tanpa dianggap satu kesalahan dalam konteks kebebasan media.
Akhbar The Sun di Britain misalnya memperlihatkan sokongan kepada calon parti Buruh, Tony Blair enam minggu sebelum pilihan raya 1997. Ironiknya beberapa bulan sebelum itu The Sun banyak menyerang Tony Blair. Pada 2009 pula The Sun menyokong calon Perdana Menteri Britain dari Konservatif, David Cameron. Malah The Sun dengan tegas menerusi tajuk "Labour's Lost It" mengumumkan akhbar itu tidak lagi menyokong parti Buruh tetapi menyokong Konservatif.
Pengaruh
Di AS dan Britain, media mempunyai pengaruh yang besar ke atas politik. Walaupun media dianggap hanya estate keempat selepas legislatif, eksekutif dan judisiari, tetapi media sebenarnya yang mencorakkan pemikiran politik di negara berkenaan. Parti politik hanya mampu mempengaruhi rakyat tetapi tidak mempengaruhi media. Maka kalau ada media memperlihatkan pendirian politiknya kepada sesuatu parti, itu bukanlah perkara luar biasa di negara berkenaan.
Presiden Obama antara pemimpin yang paling berkuasa di dunia. Tetapi dia tidak ada kuasa mempengaruhi media utama AS untuk menyokong dia atau Demokrat selama-lamanya. Ini kerana media berpengaruh seperti The Washington Post atau New York Times ada pendirian politik sendiri. Pendirian ini diperlihatkan dalam laporan dan mempengaruhi umum.
Media di AS dan Britain bukan sahaja terlepas dari kongkongan politik malah bebas menunjukkan pendirian.
Sama ada sokongan itu mempunyai agenda atau sebaliknya, itu adalah isu yang berbeza. Yang mahu dilihat di sini ialah kebebasan media menyatakan pendirian politik.
The Washington Post ketika sebelum skandal Watergate dianggap akhbar yang tidak berani memperjuangkan kepentingan rakyat. Ia dianggap akhbar lembik yang terus menyokong rejim Nixon. Bagaimanapun pengaruh dan pendirian politik menentang penyalahgunaan kuasa oleh Nixon membuatkan akhbar ini berjaya mengembalikan keyakinan pembaca. Ini menunjukkan Nixon dan parti Demokrat tidak berjaya mencampuri hal ehwal editorial The Washington Post untuk menghalang pendedahan skandal tersebut.
Media AS lebih dipercayai dan diyakini apabila telah membuktikan pengaruhnya melampaui politik. Media berkhidmat kepada rakyat di mana suara The Washington Post, New York Times malah The Sun di Britain bukan memanjang suara politik parti tetapi pendirian politik media berkenaan.
Maka yang paling digeruni oleh Obama dan Demokrat serta penentangnya Mitt Ronmey dari Republikan bukan sahaja musuh politik masing-masing. Mereka juga gerun dengan media yang bebas menunjukkan pendirian. Ini kerana parti politik tidak boleh menjadi tangan ghaib mencampuri dasar editorial di media. Kalau dilakukan ia dianggap tidak bermoral.
Walaupun begitu, tidak ada pula kes media diambil tindakan undang-undang oleh mana-mana pemimpin atau parti politik. Pemimpin politik di AS atau Britain menganggap kritikan sebagai perbezaan pandangan dan bukan satu kesalahan. Lihatlah apa yang tidak dilabelkan kepada bekas Presiden Bill Clinton kerana skandal seksnya hingga terpaksa melepaskan jawatan.
Tetapi kematangan berpolitik dan menghormati pandangan media sebagai mewakili pandangan umum, tidak ada tindakan undang-undang terhadap media yang berbeza fahaman politiknya. Malah menganggap tindakan menyaman wartawan atau organisasi media sebagai satu yang dayus dan sangat mengaibkan.
Satu lagi, sebab tindakan undang-undang tidak diambil ke atas media adalah sokongan atau tentangan kepada parti politik bukanlah selama-lamanya. Media yang dianggap musuh tidak mustahil akan menjadi kawan pada masa lain, begitu juga kawan yang menjadi musuh pada masa yang lain. Semuanya ini membuktikan politik tidak boleh mempengaruhi media dalam menyatakan pendirian politik. Terpulanglah kepada dasar media berkenaan untuk menyatakan pendiriannya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120930/re_03/Media-dan-politik#ixzz28Bqyx6ZK
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment