Kejayaan proses damai Mindanao
SETELAH berjuang sekian lama, pihak kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (Moro Islamic Liberation Front atau MILF) akhirnya bersetuju berdamai menerusi satu Kerangka Persetujuan Perdamaian Mindanao, yang akan ditandatangani secara formal esok bersamaan 15 Oktober 2012 di Istana Malacanang, Manila. Persetujuan ini diumumkan oleh Presiden Benigno Aquino pada sidang akhbar di Manila, Ahad lalu.Presiden Aquino dalam kenyataannya yang mengambil kira semangat dan aspirasi perjuangan pejuang kebebasan Moro yang telah berjuang untuk kemerdekaan mereka sejak abad ke-15 lagi menyatakan bahawa, "perjanjian ini membentuk satu entiti politik yang baru dan ia berhak untuk mendapat nama yang menggambar dan menghormati perjuangan nenek moyang mereka di Mindanao dan meraikan sejarah dan karakter bahagian ini dalam negara kita. Nama itu adalah Bangsamoro,".
Ini adalah satu peristiwa penting dalam sejarah kerana akhirnya Bangsamoro diterima sebagai satu identiti berdaulat oleh pihak yang satu ketika dulu dilihat sebagai penjajah oleh orang mereka. Bangsamoro juga nama yang diberikan kepada kawasan yang didiami oleh lebih kurang lima juta penduduk beragama Islam di Selatan Filipina ini. Nama ini akan menjadi nama rasmi kawasan ini menggantikan nama yang sedia ada iaitu Autonomous Region of Muslim Mindanao (ARMM) apabila proses transisi kuasa tamat kelak. Sama ada negeri Bangsamoro ini berjaya mencapai perdamaian dan membangunkan masa depan yang lebih baik kepada penduduknya akan bergantung kepada bagaimana kerangka perdamaian ini diimplementasikan.
Sejarah konflik dan proses damai
Proses perdamaian di Mindanao antara kerajaan Filipina telah berlaku hampir 40 tahun. Konflik itu sendiri sebenarnya telah berlangsung lebih lama iaitu sejak abad ke-16. Apabila penjajah Sepanyol datang ke rantau ini, mereka telah berdepan dengan sekelompok pejuang beragama Islam di kepulauan yang kemudiannya dipanggil Filipina. Mereka tidak berjaya menghapuskan tentangan daripada masyarakat ini yang mereka panggil "Moro" sempena nama pejuang Islam yang menentang penjajahan Sepanyol di utara Afrika, ataupun "Moors".
Nama Moro ini kekal sebagai nama kepada 13 kumpulan etno-linguistik beragama Islam yang tinggal di Mindanao dan pulau lain di Selatan Filipina, termasuk Sulu, Palawan, Basilan dan Tawi-Tawi. Perkataan "Bangsa" kemudiannya ditambah kepada "Moro" untuk menunjukkan bahawa kumpulan Moro yang berbeza seperti Maranao, Maguindanao, Tausug, Iranun, Bajau dan lain-lain lagi adalah serumpun atau sebangsa dengan agama Islam sebagai penyatu kepada bangsa ini. Penyatuan ini penting kerana menunjukkan kesatuan mereka sebagai satu bangsa yang dijajah dan tekad mereka untuk membebaskan diri daripada penjajahan negara Filipina.
Proses penentangan penjajahan yang bermula dengan penentangan terhadap Sepanyol disambung kepada penentangan penjajah Amerika dalam abad ke-19 dan 20, seterusnya disambung kepada kerajaan Filipina dalam tahun 1960-an di bawah payung, Pergerakan Kemerdekaan Mindanao (Mindanao Independence Movement). Kejadian pembunuhan beramai-ramai anak muda Moro di Pulau Corregidor atau dikenali sebagai Jabidah Massacre dalam tahun 1968 membangkitkan semangat mereka untuk menubuhkan barisan pembebasan menentang penindasan kerajaan Filipina.
Dalam tahun 1971, Barisan Pembebasan Nasional Moro (Moro National Liberation Front - MNLF) ditubuhkan di bawah pimpinan Nur Misuari dan Salamat Hashim (Ustaz Hashim) sebagai timbalannya. Presiden Marcos memberi respons dengan mengisytiharkan Undang Undang Darurat di Selatan Filipina sebagai usaha menghapuskan perjuangan Moro ini. Intensiti konflik yang meningkat dalam awal tahun 70-an ini seterusnya menyaksikan ramai pelarian dari Selatan Filipina ke Sabah mencari kehidupan lebih aman. Jumlah pelarian ini meningkat dari tahun ke tahun sehingga mencecah hampir 100,000 pada awal tahun 2000.
MNLF kemudiannya mengambil keputusan berunding dengan kerajaan Filipina dan akhirnya menandatangani perjanjian Tripoli di bawah seliaan Libya pada 1976. Tahun berikutnya Ustaz Hashim bersama pengikutnya keluar dari MNLF dan menubuhkan MILF kerana tidak bersetuju dengan usaha Nur Misuari dan perjanjian Tripoli. Semenjak itu MILF dan MNLF berjalan selari dengan dua pemimpin yang mempunyai latar belakang dan hal tuju berbeza - Nur Misuari selaku mantan pensyarah politik Universiti Filipina berpendekatan sekular, manakala Ustaz Hashim mempunyai latar belakang agama yang kuat dengan pendidikan di Timur Tengah. Satu lagi serpihan MNLF adalah kumpulan Abu Sayyaf yang dibawa keluar dari MNLF oleh sekumpulan mubaligh Islam muda pada 1991 kerana perbezaan pendapat dengan pemimpin MNLF.
Perjanjian Perdamaian Akhir (Final Peace Agreement - FPA) antara kerajaan Filipina dan MNLF, hasil fasilitasi Indonesia di bawah payung OIC, dicapai pada 1996. Perjanjian ini melihat pembentukan Daerah Autonomi Muslim Mindanao (Autonomous Region of Muslim Mindanao - ARMM) di bawah pimpinan Nur Misuari dan MNLF. Bagaimanapun, usaha perdamaian tidak tercapai kerana masalah dalaman di ARMM termasuk kekurangan dana untuk pentadbiran dan menjalankan program, penyelewengan kuasa, korupsi dan perbalahan semasa ahli MNLF.
ARMM juga ditolak oleh MILF kerana dianggap sebagai usaha kerajaan Filipina untuk mengekalkan penjajahan Manila ke atas orang Bangsamoro. MILF seterusnya memulakan perundingan mereka sendiri dengan kerajaan Filipina pada 1997. Perundingan ini dihentikan apabila usaha peperangan habis-habisan (all out war) dijalankan oleh Presiden Estrada pada tahun 2000. Perundingan disambung semula selepas Estrada dijatuhkan dan Presiden Gloria Macapagal Arroyo meminta bantuan Malaysia menjadi fasilitator dalam proses perundingan seterusnya.
Malaysia dipercayai kerana dilihat sebagai sebuah negara jiran yang dihormati oleh kedua-dua belah pihak selain negara Islam yang mempunyai keupayaan untuk mengajak kelompok MILF ke arah perdamaian. Perundingan yang bermula kembali pada 2001 ini segera membuahkan hasil dengan perjanjian gencatan senjata. Ini diikuti dengan persetujuan meningkatkan keadaan sosioekonomi penduduk Mindanao dengan penubuhan Agensi Pembangunan Bangsamoro (Bangsamoro Development Agency - BDA).
Seterusnya dalam tahun 2004, kedua-dua pihak bersetuju menerima pasukan pemantau antarabangsa yang dipimpin oleh Malaysia dengan nama International Monitoring Team (IMT). IMT ini melibatkan juga negara lain seperti Brunei dan Libya (Jepun menyertai pasukan ini pada 2007). Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin, Panglima Angkatan Tentera Malaysia pada masa sekarang telah dipertanggungjawabkan untuk memimpin pasukan IMT yang pertama. IMT telah berjaya mengurangkan insiden keganasan dan pertempuran antara kelompok bersenjata di Mindanao.
Perundingan damai yang berjalan di Malaysia berjaya menghasilkan perjanjian berkenaan kawasan tanah warisan atau Memorandum of Agreement on Ancestral Domain (MOA-AD) pada 2008. Malangnya MOA-AD ini telah ditentang oleh beberapa pemimpin Kristian tempatan di Lanao dan Zamboanga. Mereka ke Mahkamah Agung Filipina untuk menghentikan proses perdamaian ini. Mahkamah kemudiannya mengeluarkan arahan penahanan sementara (temporary restraining order - TRO) ke atas proses ini menyebabkan acara perjanjian yang dirancangkan di Putrajaya pada Ogos 2008 tidak terlaksana.
Atas bangkangan ini juga Mahkamah Agung Filipina akhirnya mengisytiharkan proses perdamaian ini tidak sah dan berlawanan dengan perlembagaan (unlawful and unconstitutional) kerana dianggap membincangkan hal yang di luar bidang kuasanya dan tidak merujuk kepada masyarakat setempat yang akan dipengaruhi oleh keputusan perjanjian ini. Akibatnya, proses perdamaian terpaksa dihentikan. Perkara ini juga mengakibatkan dua komandan MILF keluar memberontak bersama pengikut mereka mengakibatkan kematian beratus orang pada ketika itu. Kumpulan serpihan ini kemudiannya keluar dari MILF dan membentuk Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro atau Bangsamoro Islamic Freedom Fighters (BIFF). Walaupun telah ditolak oleh pihak MILF, kumpulan ini masih menganggap diri mereka pemantau proses perdamaian dan nasib masyarakat Bangsamoro.
Perundingan yang terhenti selepas insiden 2008 itu kemudiannya disambung kembali dengan pelantikan Presiden Aquino dalam tahun 2010. Beliau meletakkan perdamaian di Mindanao sebagai antara agenda utama pentadbirannya. Beliau telah memanggil Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Filipina, Marvic Leonen mengetuai panel perunding kerajaan Filipina. Ini ekoran banyak persoalan undang-undang dan perlembagaan yang perlu dijawab dalam perundingan ini. Leonen kemudiannya mengumpulkan ahli panelnya termasuk ahli akademik Miriam Coronel Ferrer dari Universiti Filipina dan wakil masyarakat Bangsamoro sendiri Yasmin Busran Lao. Di pihak MILF, kebanyakan ahli panel dikekalkan kerana pengalaman mereka seperti ketua panel Mohagher Iqbal dan Datu Michael Mastura. MILF juga menambah ahli panel seperti Profesor Abhoud Syed Lingga dari Institute of Bangsamoro Studies dan peguam yang juga aktivis hak asasi manusia, Raissa Jajurie.
Perundingan yang difasilitasi oleh Malaysia ini mempunyai ciri-ciri inovasi yang tiada dalam mana-mana perundingan sebelumnya. Di samping pasukan pemantau antarabangsa atau IMT, proses ini juga melihat pelantikan kumpulan pemerhati luar yang dipanggil International Contact Group (ICG). ICG terdiri daripada empat negara - United Kingdom, Arab Saudi, Turki dan Jepun, selain empat pertubuhan antarabangsa - Conciliation Resources (UK), Center for Humanitarian Dialogue (Switzerland), Asia Foundation (US), dan Muhammadiyah (Indonesia). Terdapat juga komponen penjagaan kepentingan masyarakat yang dipimpin oleh wakil Kesatuan Eropah. Kesemua ini untuk memastikan proses perundingan berjalan lancar dan terdapat jaminan terhadap hasil perundingan (peranan ICG) dan kepentingan masyarakat terjaga.
Aquino juga mempunyai matlamat yang spesifik iaitu menghabiskan usaha ini selama masih lagi Presiden Filipina. Jika isu ini tidak diselesaikan sekarang, kita tidak pasti apakah presiden selepas ini juga mempunyai hasrat yang sama untuk perdamaian di Mindanao. Tempoh Presiden Aquino adalah enam tahun dari 2010 hingga 2016. Beliau juga memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mengimplementasikan perjanjian ini. Sebarang penyelesaian konflik perlu melalui proses referendum dengan masyarakat tempatan yang dipengaruhi, di samping perlu melalui Kongres dan Senat Filipina, serta tidak dibangkang oleh Mahkamah Agung.
Semua ini memerlukan masa. Butir-butir spesifik berkenaan perjanjian ini juga perlu dikembangkan dan disosialisasikan kepada masyarakat Mindanao yang terdiri bukan hanya oleh masyarakat Islam Bangsamoro bahkan masyarakat Kristian dan Lumad. Pendapat mereka perlu diambil kira malah persetujuan dan sokongan mereka juga diperlukan. Ini akan mengambil masa. Halangan juga akan ada daripada kelompok MNLF yang masih ingin mengekalkan struktur pemerintahan ARMM. Mereka juga perlu diyakini untuk menyokong Kerangka Persetujuan (Framework Agreement) penubuhan negeri Bangsamoro ini.
Kerangka ini adalah roadmap atau jalan ke arah perdamaian di Mindanao. Ia bermula dengan penerimaan Bangsamoro sebagai bukan hanya satu identiti tetapi juga satu entiti, dengan kawasan dan kuasa yang spesifik. Kerajaan Bangsamoro akan ditubuhkan berdasarkan undang-undang dasar yang akan digubal oleh Pesuruhjaya Transisi yang terdiri daripada 15 wakil masyarakat Bangsamoro yang dilantik oleh kerajaan Filipina dan MILF. Pesuruhjaya ini kemudiannya akan digantikan oleh Autoriti Transisi Bangsamoro dan akhirnya badan legislatif dan eksekutif yang akan membentuk kerajaan Bangsamoro.
Perjanjian komprehensif berkenaan penubuhan negeri Bangsamoro dijangka dicapai penghujung tahun ini. Ahli-ahlinya akan dilantik melalui proses pilihan raya dan akhirnya masyarakat Bangsamoro akan dapat menikmati pemerintahan sendiri sebagai satu bangsa berdaulat setelah beratus tahun bergelumang dengan konflik, penjajahan dan penindasan. Peranan Malaysia akan berterusan dalam memastikan implementasi kerangka ini berjalan lancar. Ini termasuk meneruskan kerja sebagai fasilitator perundingan serta peranan IMT memantau keselamatan di lapangan.
Kejayaan proses ini bergantung kepada banyak faktor termasuk peranan yang dimainkan oleh pemerintah Malaysia dan badan lain seperti Universiti Sains Malaysia yang telah membantu dengan program-program konsolidasi dan rekonsiliasi pihak-pihak yang berkonflik. Dalam kes seperti ini, setiap inisiatif adalah bermakna dan diharapkan perdamaian ini akan berkekalan.
No comments:
Post a Comment