Sunday 14 October 2012

Islam Liberal : Anwar Enggan Komen Teguran Haron Din

AIDCNews – 10/10/12 – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini enggan memberi sebarang ulasan berkenaan teguran Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang mendakwanya telah bersekongkol dengan penulis berfikiran Islam liberal dari India.
Wartawan Antarapos menemui Anwar di lobi Parlimen, mengajukan soalan itu, Anwar yang tidak mahu menjawab soalan itu mengelengkan kepalanya dan berlalu pergi.
Baru-baru ini, Anwar menjemput sahabatnya dari India, Mobashar Jawed Akbar untuk majlis pelancaran buku terbaru tulisannya berjudul “Tinderbox:The Past and Future of Pakistan” yang diadakan di Royal Lake Club Kuala Lumpur.
Majlis pelancaran buku itu dilakukan Anwar.
Akbar yang juga pengarah editorial majalah mingguan India Today dalam majlis itu berkata ‘Islam bukan bertujuan untuk pembentukan sesebuah negara, sebaliknya hanya agama peribadi untuk persaudaraan’.
Lebih mengejutkan Akbar yang juga seorang Islam mendakwa, ‘solat lima waktu sehari semalam bukan sesuatu yang perlu bagi dirinya.’
Pengakuan itu menimbulkan satu persoalan, jika pemikiran Islam Akhbar seumpama itu, kenapa perlu Anwar jemput dan lancarkan bukunya di Malaysia ?
Dr Haron Din ketika dihubungi Antarapos berkata tindakan Anwar itu dilakukan atas kapasitinya sendiri dan tidak ada kaitan dengan PAS.
“Jangan kita rujuk kepada seorang perseorangan seperti Anwar, kerana itu tindakan dia sendiri.
“Anwar pun ada cara dia, sebab dia pun bukan tubuh parti Islam tetapi parti Keadilan. Dia rasakan itu boleh mendapat keuntungan (buat) dia, maka dia buat.
“Itu politik Anwar dan dia tiada asas politiknya kepada Islam. Jadi dia (Anwar) tidak macam kita,” katanya.
Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Rozan Azen Mat Rasip dalam kenyataannya kepada FMT hari ini menafikan idolanya, Anwar penganut Islam Liberal dan pluralisme agama meskipun Ketua Umum PKR menjadi penganjur dan perasmi buku tulisan pemikir liberal dari India itu.
Dalam masa sama Rozan mengecam tindakan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa membangkitkan persoalan itu semasa membentangkan kertas kerja dalam Seminar Dakwah Islamiyyah Sebagai Tonggak Kekuatan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
“Saya tidak terkejut jika Nasha dikenakan tindakan disiplin, seperti dipecat atau seumpamanya kerana ini sudah ke sekian kalinya beliau bertindak sedemikian.
“Bukan pertama kali berlaku, sudah banyak kali. Saya percaya jika beliau dikenakan tindakan disiplin, itu adalah disebabkan oleh keceluparan mulut beliau sendiri dan komen beliau yang pada saya tidak Islamik.
“Nasha patut sedar risiko yang beliau hadapi kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya”, katanya.
Penganjur Seminar di PWTC semalam, Ismail Mina yang juga Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) sebelum ini pernah memberi komen kepada Antarapos tentang keterlibatan Anwar bersama penulis liberal dari India itu.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh membawa (Mobashar Jawed Akbar) adalah logik kerana pemikiran Anwar sama dengan pemikiran individu ini.
“Betul, ini selari dengan pemikiran Anwar, dia konsisten menolak syariat (Islam) sebagai asas pemerintahan negara Malaysia. Sebab itu Anwar membawa orang yang sealiran dengan dia,” kata Ismail yang juga merupakan sahabat lama Anwar sejak dari Universiti Malaya.
Pada Mac lalu, Akhbar pernah menjemput Anwar bersama penulis buku menghina Islam, Salman Rusdie menghadiri program ‘India Today Conclave’ di Delhi.
Imran Khan, pemain kriket Pakistan yang turut dijemput Akhbar enggan hadir dalam program itu kerana membantah kehadiran pengarang buku “The Satanic Verses”, Salman Rushdie.
“Kami amat kesal apabila Imran Khan tidak akan datang ke India Today Conclave disebabkan penyertaan Salman Rushdie. The India Today Conclave adalah platform kebebasan dan bebas dalam pertukaran idea.
“Kami tidak menyokong pandangan mana-mana penceramah kami tetapi kami berdiri untuk kebebasan bersuara (freedom of expression) dalam semua yang kita lakukan, ia adalah satu prinsip penting dalam sebuah negara yang bebas (free nation) dan media yang bebas (free media)”, kata India Today seperti dilaporkan pkonweb.com.
Tidak seperti Imran, Anwar tetap hadir juga ke program itu walaupun tahu program yang sama dihadiri oleh Salman Rushdie.
Sebelum itu, pada 11 Oktober 2010, ketika membela Salman Rushdie di pusat Islam Liberal Indonesia, Komuniti Salihara, Indonesia, Anwar menegaskan beliau tidak menyokong Islam yang bersifat jumud dan mengongkong kebebasan serta bersedia bertempur dengan aliran Islam sedemikian.
“Kalau kita berikan kuasa kepada mana-mana tokoh atau alim (ulama) putuskan. Kalau di Malaysia yang bawa idea Asian Value (nilai ketimuran Asian) digunakan Islam.
“Jadi saya, kalau Islam itu mengongkong kebebasan..Islam yang sangat usang dan jumud..dan saya tidak sokong kefahaman Islam sedemikian.
“Saya berbeza pendapat yang besar..bahkan kalau di Malaysia..bertempur dengan kalangan yang menjadikan Islam itu sebagai faktor penghalang (kebebasan)”, kata Anwar.

No comments:

Post a Comment