Tuesday 2 October 2012

Gerakan, MCA perlu perhebat kerjasama

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Parti Gerakan perlu memperhebatkan kerjasama dengan rakan komponen Barisan Nasional (BN) terutamanya MCA bagi membantu BN memenangi pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha Agungnya, Teng Chang Yeow berkata, kerjasama antara Gerakan dan MCA merupakan antara asas kepada kejayaan BN pada pilihan raya umum nanti.
Sambil menggesa ahli serta pemimpin-pemimpin parti melupakan ‘pergeseran’ yang pernah dihadapi kedua-dua parti itu sebelum ini, Chang Yeow berkata, dalam senario politik semasa, kedua-dua parti tersebut tidak lagi boleh diasingkan.
“Kita perlu bekerjasama dengan MCA untuk menang pada pilihan raya umum akan datang. Kita tidak boleh lagi mengasingkan diri daripada MCA.
“Saya tahu dulu pernah wujud ‘krisis’ antara Gerakan dan MCA, tetapi ia sudah berlalu. Pemimpin-pemimpin terdahulu juga telah meninggalkan parti, mengapa kita masih ada fikiran lama, kita harus bergerak ke hadapan dan melihat hanya kerjasama dengan MCA mampu memacu kemenangan Gerakan serta BN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan di sini hari ini.
Sementara itu, Chang Yeow yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang berkata, ahli parti sewajarnya menghentikan kritikan kepada barisan kepimpinan untuk sementara waktu dan memberi tumpuan utama kepada musuh sebenar iaitu pembangkang.
“Kita bukan seperti pembangkang yang jawatan dalam parti diwarisi turun temurun, jawatan saya tidak akan diambil alih anak saya, semuanya menerusi pemilihan. Kalau ahli tidak suka, waktu pemilihan nanti boleh calonkan orang lain, tetapi tunggulah selepas pilihan raya.
“Saya minta untuk kali ini sahaja, berhentilah mempertikaikan kepimpinan parti, kita berhenti mencari musuh di dalam parti, sebaliknya memberi fokus kepada musuh utama iaitu pembangkang di luar sana. Apabila pilihan raya berakhir, baru kita bincangkan perkara tersebut," ujarnya.


No comments:

Post a Comment