Monday, 22 October 2012

 

Apa motif bank?

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

AWANG sangat berharap apa yang disampaikan ini menerusi maklumat pihak tertentu, biarlah benar.
Sebuah bank tempatan terkemuka menerusi sayap penyelidikan pelaburannya baru-baru ini mengundang tokoh pembangkang sebagai penceramah utama dalam siri penerangannya untuk memberikan perspektif ekonomi dan politik berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Maka pemimpin berkenaan bersama seorang lagi strategis parti itu mengambil kesempatan sepenuhnya untuk memberikan analisis yang sudah tentu condong kepada kepentingan dan aspirasi pembangkang. Ia melibatkan dua ceramah, satu berlangsung di luar negara dan satu lagi di Kuala Lumpur.
Awang difahamkan kononnya pandangan pemimpin pembangkang itu diperlukan dan mendapat minat yang tinggi daripada pelabur serta pengurus dana.
Antara perkara yang disentuh dalam ceramah ialah potensi pakatan pembangkang untuk menang PRU13 dan langkah serta pembaharuan yang akan dilaksanakan. Si penceramah pun apa lagi, turut menjual apa yang didakwanya sebagai kisah kejayaan pengurusan ekonomi kerajaan Pulau Pinang dan Selangor.
Awang tertanya mengapa bank tersebut memberikan platform kepada parti pembangkang. Mengapa mengundang mereka dan bukannya tokoh korporat atau pakar ekonomi? Mengapa pentas profesional dan korporat dibenarkan menjadi pentas politik?
Apabila ditanya kepada seorang eksekutif kanan sebuah bank asing berkaitan hal itu, dia menjawab menjadi polisi banknya tidak mengundang politikus untuk sesi seumpama itu apatah lagi parti pembangkang bagi menjaga sensitiviti. Kalau bank asing berhati-hati mengapa ada bank tempatan cuba bertindak bagaikan ada udang di sebalik batu.
Adalah tidak pasti sama ada pengurusan tertinggi bank tempatan itu mengetahui tentang undangan tersebut atau ia sememangnya dilakukan tanpa restu. Khabarnya ada golongan pengurusan tertentu yang ‘menguasai’ bank berkenaan. Jika benarlah, Awang kecewa. Daripada sebuah bank tempatan yang berorientasikan akar umbi, ia kini dilihat terpisah jauh semata-mata mengikut kepentingan komersial. Sebenarnya cakap-cakap kurang senang terhadap bank tersebut sudah lama kedengaran. Meskipun membara di dalam, ia agak terbendung tetapi dikhuatiri suatu hari nanti akan meledak jua.
Guan Eng dicabar?
TULISAN Awang dalam ruangan ini minggu lalu berkaitan Dinasti Lim iaitu penguasaan Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng dalam DAP, rupa-rupanya mendapat respons positif daripada sebahagian ahli parti itu.
Sumber-sumber DAP memberitahu, kisah bagaimana Guan Eng menawarkan diri untuk menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sedangkan ada pemimpin DAP tempatan yang lebih layak, menjadi perbualan kitar semula.
Guan Eng yang merupakan calon payung terjun dari Melaka bernasib baik kerana beliau adalah anak Kit Siang. Sebab itu, beliau dilantik sebagai Ketua Menteri dan bukannya tokoh seperti Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.
Ekoran itu, sudah ada suara-suara dalam DAP negeri yang mahukan jawatan tersebut dikembalikan kepada anak tempatan pada PRU13 nanti.
Bukan jawatan Ketua Menteri sahaja mula dipersoalkan malah kemungkinan besar jawatan Setiausaha Agung yang Guan Eng sandang, akan dicabar pada pemilihan sempena Kongres DAP Kebangsaan pada Disember ini.
Antara yang disebut-sebut bakal mencabar Guan Eng ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim. Beliau dilihat membawa suara akar umbi yang mahu memecahkan dominasi Dinasti Lim. Nama sahaja parti berlabel demokratik tetapi dikuasai oleh anak beranak. Bagi sebahagian ahli DAP yang menuntut perubahan, inilah masa terbaik untuk menamatkan era kepimpinan kuku besi dan keangkuhan.
Setakat ini, atas kertas, Chang Khim dikatakan mendapat sokongan meyakinkan. Namun persoalannya mampukah beliau menghalang penguasaan Dinasti Lim, yang sudah tentu tidak akan berdiam. Sejarah lebih empat dekad menyaksikan mana-mana pemimpin DAP yang cuba melawan Kit Siang, akan kecundang. Kali ini, bapa dengan segala ilmu politik dan pengaruh yang ada pasti pertahankan anak habis-habisan. Kalau tak percaya, tunggulah...
Lagi hal teksi
SEORANG suri rumah baru-baru ini menceritakan bagaimana dia dipersenda oleh sekumpulan pemandu teksi yang enggan menggunakan meter.
Ketika menghampiri sebuah teksi berhampiran KLCC untuk menuju Times Square di Kuala Lumpur minggu lalu, pemandunya menetapkan bayaran RM20. Kerana menyedari caj itu begitu tinggi dan tidak munasabah, dia bertanyakan pula kepada beberapa pemandu lain di situ. Mereka juga enggan menggunakan meter.
Bukan itu sahaja, pemandu-pemandu teksi itu memberikan alasan yang tak masuk akal. Seorang memberitahu jalan sesak teruk sedangkan waktu itu baru sekitar pukul 2 petang. Seorang lagi pula mendakwa, dia rugi kalau menggunakan meter. Malah ada yang lebih galak mendakwa jalan ke Times Square dinaiki air ketika cuaca panas terik.
Akhirnya kerana mahu cepat ke destinasi, suri rumah itu menaiki juga teksi di situ walaupun tidak menggunakan meter. Seperti yang dijangka laluan memang lancar dan tiada sama sekali banjir.
Menurut suri rumah itu, ramai pelancong juga merungut dan marah dengan sikap para pemandu teksi pada masa itu. Isu segelintir pemandu teksi tidak menggunakan meter dan cekik darah, bukan baru. Persoalannya ialah pihak penguatkuasa kita kurang efisien dan bertindak mengikut musim.
Pendekatan yang diambil hanya menunggu aduan orang ramai. Itu belum menyentuh soal lain seperti pemandu berlagak samseng, tipu meter, berpakaian selekeh, memilih penumpang dan tidak bersopan.
Sebab itulah, imej perkhidmatan teksi di Malaysia merudum berbanding negara-negara jiran. Suatu ketika dulu pada era 1970-an dan 1980-an, perkhidmatan teksi kita dianggap yang terbaik di rantau ini selepas Singapura tetapi sekarang agaknya tercorot.
Awang pernah terbaca satu laporan dari Hong Kong yang memuji perkhidmatan teksi di Jakarta dan Bangkok dengan meletakkan rating yang rendah kepada perkhidmatan teksi di Kuala Lumpur.
Antara petikan yang merujuk kepada Malaysia ialah bandar raya yang menarik untuk pelancong tetapi perkhidmatan teksi yang kurang meyakinkan.
Untuk berlaku adil, bukan semua pemandu teksi di Kuala lumpur bersikap buruk. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Ramai lagi pemandu teksi yang beretika, turut terkena tempias persepsi negatif masyarakat dan pelancong asing.
Walaupun golongan pemandu teksi bermasalah itu cuma segelintir tetapi ia perlu ditangani dengan tegas sebelum membawa mudarat lebih besar.
Kepada pihak berkuasa kita, bangkitlah. Kalau perlu pergilah belajar dengan pihak berkuasa di Jakarta, jika pun enggan mencontohi Singapura yang selalu kita cemburui kerana keberkesanannya.

Dah banyak masalah
AWANG kurang senang dengan kenyataan Pemangku Ketua Eksekutif Pusat Pertukaran Pekerjaan Binaan Berhad (CLAB), Abdul Rafik Abdul Rajis, baru-baru ini.
Beliau menggesa kerajaan meluluskan permohonan kemasukan ribuan pekerja asing bagi memenuhi keperluan dalam projek pembinaan bertaraf mega antaranya Mass Rapid Transit (MRT).
Nampaknya projek mega mahu dijadikan alasan untuk pihak tertentu melambakkan lagi pekerja asing di negara ini.
Kebanjiran warga asing ke Malaysia mencetuskan banyak masalah sosial dan jenayah. Sekadar menyebut satu perkara, mereka yang tinggal melebihi tempoh dan tidak pulang ke tanah air masing-masing sahaja, berjumlah ratusan ribu orang. Siapa yang mahu bertanggungjawab?
Lambakan warga asing antara isu utama yang menimbulkan kebimbangan rakyat tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada Awang, ia tidak boleh diambil mudah kerana dalam konsep baru keselamatan nasional, kebanjiran warga asing adalah ancaman serius.
Ketika kebanyakan negara melaksanakan dasar yang lebih ketat bagi mengawal imigran, Malaysia tidak harus berundur ke belakang.
Apa yang perlu ditumpukan ialah menangani permasalahan warga asing secara mikro tetapi menyeluruh. Ini meliputi manipulasi majikan apatah lagi agensi pekerja asing yang mengaut keuntungan berlipat ganda.
Maka Awang sangat berharap KDN tidak melayan permintaan CLAB. Sudah terlalu banyak masalah. Cukuplah.

No comments:

Post a Comment