Monday, 8 October 2012

Agenda tersirat Reporters Without Borders


SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Reporters Without Borders yang berpangkalan di Perancis dikatakan sebuah badan bebas yang memperjuangkan kebebasan media. Pertubuhan ini juga mengeluarkan penarafan (rating) kebebasan media di seluruh dunia. Penarafan yang dikenali Indeks Kebebasan Akhbar (Press Freedom Index) atau PFI menjadi rujukan tahap kebebasan media.
Reporters Without Borders diasaskan oleh Robert Ménard, Rony Brauman dan wartawan Jean-Claude Guillebaud tahun 1985. Pertubuhan ini mendapat ilham daripada Artikel 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia di mana setiap orang berhak mempunyai kebebasan untuk mengutarakan pandangan.
Di atas kertas, matlamat Reporters Without Borders memang murni kerana memperjuangkan supaya media diberi kebebasan. Pertubuhan ini menyediakan biaya guaman untuk wartawan yang dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak kerajaan di sesebuah negara. Tetapi yang selalu diberi bantuan kewangan dan khidmat guaman adalah wartawan bukan daripada media arus perdana. Kenapa?
Di negara ini, Reporters Without Borders memperjuangkan kelulusan penerbitan Malaysiakini versi cetak. Dalam laman sesawangnya turut disiarkan surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberi kebebasan kepada media. Malaysiakini adalah sebuah portal berita dalam talian yang mencetuskan kontroversi kerana mendapat dana daripada penyangak mata wang, George Soros menerusi Open Society Institute (OSI).
Siapakah pula yang membiayai Reporters Without Borders? Sebenarnya walaupun berpangkalan di Perancis tetapi pertubuhan ini mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak tertentu di Amerika Syarikat (AS). Sebahagian daripada dana untuk menggerakkan kegiatan pertubuhan ini disalurkan oleh OSI dan Jabatan Negara AS menerusi National Endowment for Democracy (NED).
Penjajahan
Kedua-dua pertubuhan ini iaitu OSI dan NED sebenarnya telah menjadi alat AS untuk menjayakan neokolonialisme atau penjajahan bentuk baru ke atas negara lain. Peranan kedua-duanya sama seperti Agensi Perisikan Pusat (CIA) pada tahun 1950-an dan 1960-an. Selepas terbongkar kerja kotor CIA ketika era Presiden Richard Nixon yang melindungi Nixon daripada skandal Watergate tahun 1970-an, peranan CIA dijalankan oleh pertubuhan seperti OSI dan NED.
Disebabkan itu, penarafan PFI yang diberikan oleh Reporters Without Borders sangat diragukan. NGO ini kelihatan meneruskan tugas-tugas OSI dan NED untuk memberikan gambaran ketiadaan kebebasan media terhadap negara-negara tertentu. Ini adalah agenda OSI dan NED yang sebelum ini didakwa menyalurkan dana kepada Suaram, sebuah NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia di negara ini.
Indeks 2011- 2012 yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders mencatatkan Malaysia berada di tangga ke-122. Ini memperlihatkan lonjakan berbanding PFI 2010 di tangga 144. Dalam PFI terbaru itu Malaysia dilihat mendahului negara Asia Tenggara misalnya Singapura di tangga 135, Thailand (137), Filipina (140) dan Indonesia (146).
Tidak ada siapa yang tahu bagaimana kaedah Reporters Without Borders mendapat angka penarafan itu. Tetapi yang jelas daripada komen yang dipaparkan di laman sesawangnya, Reporters Without Borders banyak membesar-besarkan isu polis "memukul" wartawan semasa perhimpunan haram Bersih 3.0 di Kuala Lumpur tidak lama dulu.
Tetapi pada masa yang sama mereka tidak memperbesarkan pula nasib wartawan media arus perdana yang sering disaman oleh pemimpin politik pembangkang. Reporters Without Borders tidak mendefinisikan "saman" sebagai faktor yang mengekang kebebasan media di negara ini, padahal itulah kekangan sebenarnya. Mereka hanya melihat kes terpencil polis memukul wartawan media pro pembangkang sebagai tidak ada kebebasan media.
Mungkin ada bertanya apa maknanya lonjakan Malaysia dalam indeks yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders? Jawapannya indeks ini tidak ada makna apa-apa dalam konteks kebebasan media negara ini. Sebabnya mereka bebas menaikkan atau menurunkan Malaysia pada PFI.
PFI 2011-2012 sebenarnya mempunyai kaitan dengan pendekatan Perdana Menteri menyuntikkan pembaharuan terhadap kawalan dan tapisan media. Pada September tahun lalu, Najib mengumumkan pemansuhan tapisan terhadap media luar yang menyiarkan laporan mengenai Malaysia.
Sebaliknya kerajaan mengambil pendekatan memberi penjelasan terhadap laporan yang tidak tepat mengenai Malaysia dan bukannya mengharamkan atau menghitamkan frasa atau bahagian tertentu seperti sebelum ini. Barangkali pembaharuan ini memberikan faedah kepada pihak Barat dan nama Malaysia dilonjakkan dalam PFI. Atas alasan itu PFI bukan penanda aras mutlak bebas atau tidaknya media di sesebuah negara. Malah diyakini wujud tangan ghaib menerusi OSI dan NED yang memainkan peranan di belakang Reporters Without Borders menjayakan agenda tersirat.
Pihak yang sama menyalurkan dana kepada beberapa NGO yang berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia dan demokrasi. Kemudian mereka juga yang menyalurkan dana kepada Reporters Without Borders yang memilih media anti kerajaan sebagai role model kebebasan media yang dimahukan.

No comments:

Post a Comment