Hisham lebih selesa dengan kehidupannya kini.
Hisham lebih selesa dengan kehidupannya kini.
 
Sekali imbas, gaya ‘mat rempit’ masih kelihatan pada penampilan Hisham Ismail (bukan nama sebenar), 21. Mungkin juga, dirinya sudah terbiasa dengan penampilan rambut berekor kuda, baju T merah dan jean lusuh sejak sekian lama.

Bezanya, Hisham tidak ditemui sedang bertenggek di atas motor tepi simpang atau baru selesai melakukan aksi ‘Superman’ di tengah jalan raya. Hisham yang ditemui hari ini, sedang giat berniaga barangan permainan kanak-kanak di sebuah tapak pasar malam sekitar ibu kota. Sementara dia ditemu bual, teman wanitanya mengambil alih sebentar urusan perniagaan.
Pada mulanya Hisham tidak mengaku dia terlibat dalam lumba haram sebaliknya sekadar penonton. Bagaimanapun setelah kian selesa berbual, dia berterus terang memang terlibat secara langsung.

“Tapi sekarang saya dah cuci tangan,” jelasnya bersungguh-sungguh.
Mengimbau gaya hidup silam sebagai mat rempit yang diistilahkan Hisham sebagai kesilapan zaman remaja, Hisham ketika itu menyertai satu geng rempit yang dirahsiakan namanya. Selain geng yang disertai Hisham, antara nama geng lain ketika itu yang masih diingatinya ialah Apache, Rangup, Langgar Lari dan Pangkah.


Gaduh sampai mati

Menurut Hisham, pergaduhan sesama kumpulan adalah perkara biasa. Malah jangan terkejut, ada yang sampai membawa maut. Puncanya pula cukup bodoh, biasanya berebut bohsia atau sakit hati ‘kena bahan’ dengan anggota geng berlainan.

“Sebelum bergaduh kita orang akan set tempat pertemuan. Antara sebab saya masih selamat sebab setiap kali kepala berdarah, saya terus lari tinggalkan tempat pergaduhan,” kata Hisham.

Begitu pun, semua kumpulan akan saling menyokong apabila ada perlumbaan. Tempat biasa mereka berkumpul adalah selepas pondok tol Puchong. Di sini mereka yang terlibat akan memecut sebelum berpatah balik di persimpangan USJ.

“Jom test malam ni? Berapa kilo? Ha, inilah ayat yang biasa kami gunakan.

"Banyak kali juga polis datang buat sekatan. Setiap kali sekurang-kurangnya dua, tiga orang akan masuk dalam. Tapi tak lama, sehari dua kemudian mereka dibebaskan dan akan datang balik sambil tersengih-sengih cerita pengalaman kena tahan,” katanya.Sebelum perlumbaan bermula, seorang daripada kalangan mat rempit akan memanaskan keadaan dengan melakukan aksi wheelie dan ‘wikang’ sambil menderam ekzos. Apabila bunyi ini kedengaran, semua orang tahu perlumbaan hampir bermula.

Masa ini, kepala masing-masing sudah 'berdengung' dengan macam-macam benda terlarang. Ada yang khayal dengan gam kayu, lebih ramai lagi rasa tenaga luar biasa hasil menyedut ‘ice’.

Bagi yang ambil gam, biasanya plastik berisi cecair melekit ini diletakkan dalam baju dan sekali sekala dikeluarkan ketika atas motor untuk dihidu.

Hadiah perlumbaan yang dikejar dalam bentuk wang tunai hasil pertaruhan dan berpeluang menjamah tubuh bohsia.

Bagaimanapun duit yang diterima biasanya tak kekal lama sebab yang menang akan ‘open table’ dengan menjamu kawan minum minuman keras selepas itu.

“Motosikal yang biasa digunakan semua dah diubahsuai termasuk ganti enjin dan guna blok lumba pada karburetor,” ujar Hisham.


Hati kering

Oleh sebab kebanyakan yang terlibat bukanlah berduit sangat, mereka mempunyai cara tertentu untuk meningkatkan prestasi motosikal masing-masing. Tak lain tak bukan, caranya adalah dengan mencuri motosikal orang lain.

“Ada antara kami aktif curi motosikal jenis sama, kemudian ‘dibaraikan’ sebelum komponen curi dipasang pada motor sendiri sampai nampak baru.

“Apabila dah buat macam ini, kami akan tayang pada kawan-kawan lain dengan bangga. Ini namanya proses ‘salin’ motor,” jelas Hisham.

Kebanyakan kawan Hisham yang terlibat dengan aktiviti rempit berusia seawal 13 tahun.

Sesetengahnya sampai tega meninggalkan bangku sekolah dan keluarga untuk tinggal bersama kawan. Alasan masing-masing, tak seronok duduk rumah sebab ibu bapa tak faham perasaan.

“Apabila dah tak ada pelajaran dan usia pula muda, susahlah nak dapat kerja. Sebab itu saya berani kata, kebanyakan mat rempit akhirnya terjebak dengan benda jahat lain.

"Daripada pergaulan sesama mereka, ada yang mula belajar curi motor, ambil dadah, lumba haram, ragut pun ramai. Saya sendiri kadang-kadang takut dengan cara sesetengah mereka yang boleh dikatakan hati kering. Jenis tak ada rasa kasihan dan tak takut mati,” kata Hisham.

Biarpun rasa mula rasa tak selesa, Hisham akui masih seronok bercampur dengan geng mat rempit dan sayang hendak tinggalkan kawan-kawan.

Bagaimanapun, apabila melalui satu insiden dia nekad untuk tinggalkan kehidupan bersama kawan-kawan yang tidak berfaedah.

“Oleh sebab saya selalu lepak dan sertai lumba haram, balik rumah mesti lepas jam 3 pagi. Padahal saya bekerja sebagai despatch.

“Satu hari saya memecut walaupun mengantuk ketika itu, sebab dah lambat. Atas motor saya tiba-tiba pitam dan terus langgar tiang,” katanya.

Mujurlah, dia hanya mengalami patah kaki dan terlantar di hospital selama seminggu.

Ketika terlantar, tiada kawan yang datang melawat dan masa lapang diisi dengan berfikir secara lebih waras.

“Sebaik keluar dari hospital saya terus jauhkan diri daripada kawan-kawan rempit. Dengan pertolongan abang yang berniaga pasar malam, saya buka perniagaan serupa.

“Alhamdulillah sampai sekarang saya bersyukur sebab tak terus hanyut dalam dunia rempit yang hanya bergelumang dosa dan tidak datangkan faedah pada diri langsung,” katanya.