Licik dan terbuka
PERJALANAN Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) kini hampir ke penghujung. Setelah debat Presiden pusingan pertama berakhir pada 3 Oktober lepas, yang dikatakan banyak pihak dimenangi oleh calon Presiden daripada Parti Republikan, Mitt Romney, pusingan kedua debat bakal berlangsung pada Selasa ini.Pusingan ketiga dan terakhir debat akan berlangsung pada 22 Oktober ini. Tarikh 6 November depan pula menjadi 'hari keramat' yang dinantikan oleh hampir kesemua rakyat AS untuk menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat negara itu dalam memilih siapa bakal menjadi Presiden negara Uncle Sam.
Kemeriahan kempen membabitkan kesemua calon itu kini sudah hampir sampai ke kemuncak dengan kedua-dua calon Presiden saling berkempen dan bertelagah mengenai pelbagai isu dan dasar yang dikatakan terbaik bagi menangani pelbagai masalah dan kemelut yang melanda negara kuasa besar dunia itu.
Hakikatnya sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan menarik mengenai pilihan raya kali ini berbanding empat tahun lepas.
Pada pilihan raya lepas yang dilihat antara pilihan raya paling bersemangat pernah berlangsung memandangkan salah seorang calon yang bertanding, Barack Obama mencatat sejarah sebagai warga kulit hitam pertama bertanding jawatan tersebut.
Bagi calon presiden daripada Parti Republikan pula, John McCain ialah calon paling tua jika beliau menang jawatan tersebut.
Namun kini semua itu sudah menjadi sejarah. Obama sudah pun tamat penggal pertamanya sebagai Presiden dan perlu melalui pilihan raya sekali lagi untuk mengekalkan jawatan.
Sejarah debat Presiden AS hanya bermula pada tahun 1960 antara Senator Massachusetts, John F. Kennedy dengan Naib Presiden ketika itu Richard Nixon.
Sesi debat tidak rasmi yang paling diingati pada 1858 di antara Abraham Lincoln dan Senator Stephen Douglas bagi jawatan Senat yang dilakukan secara terbuka selama satu jam. Mereka kemudiannya bertanding jawatan Presiden pada 1860.
Selain itu, calon Parti Republikan dalam pilihan raya Presiden 1940, Wendell Willkie pernah mencabar Presiden Franklin D. Roosevelt untuk berdebat namun beliau menolak.
Sebagai sebuah negara yang sering mengagungkan diri sebagai pengamal demokrasi tulen, pastinya siri debat Presiden ini sesuatu yang dinanti-nantikan oleh para pengundi yang akan memilih calon mana bakal menjadi pilihan mereka.
Kini setelah lebih 50 tahun berlangsung, debat Presiden menjadi antara keperluan utama bagi calon-calon yang bertanding untuk membentang idea dan hujah selain menarik pengundi atas pagar untuk mengundi mereka.
Sebab utama debat ini diadakan pada peringkat awal antaranya untuk menarik perhatian pengundi muda yang melihat debat sebegini sebagai perkara baru selain memberi peluang mereka membuat penilaian mengenai bakal pemimpin yang dipilih.
Ini kerana walau apapun hujahan dan pandangan yang dikemukakan, kita boleh lihat sendiri ia hanya menguntungkan beberapa pihak elit di AS.
Selain itu dasar luar yang diperdebatkan langsung tidak pernah memikirkan hak dan keperluan negara-negara Islam dan miskin di dunia.
Mungkin ada pihak yang melihat satu keperluan untuk debat sebegini diadakan selaras dengan tuntutan demokrasi.
Namun biarlah debat yang berlangsung tidak sekadar satu pembentangan fakta dan angka yang dimanipulasi untuk menarik sokongan.
Apa yang penting, idea dan cadangan itu perlulah bersandarkan realiti semasa selain mampu ditunaikan dan bukan sekadar retorik semata-mata.
No comments:
Post a Comment