Monday, 22 October 2012

Sebarkan sejarah kepada masyarakat

UTUSAN: Bagaimana kita hendak menghayati sejarah?
HACK: Jika kita mahu menjelaskan definisi sejarah kepada kanak-kanak, kita perlu membawa diri mereka ke masa lampau. Biarkan mereka menggunakan imaginasi seolah-olah diri mereka berada semasa sesuatu peristiwa itu berlaku kerana sejarah berada pada waktu yang berlainan, bukan sekarang.
Sejarah menceritakan tentang individu, tempat atau peristiwa. Ada sesuatu mesej yang mahu disampaikan dalam sejarah. Lebih berkesan jika kita bawa kanak-kanak itu ke tapak sejarah itu sendiri supaya mereka dapat menghayati dan mendalami cerita di sebaliknya.
Contohnya kalau berada di Batu Gajah, Perak, bawa mereka ke Kellie's Castle. Biarkan mereka berimaginasi tentang kisah cinta yang berputik (di antara Kellie Smith dan Agnes) sehingga terbinanya istana tersebut.
Kenapa anda minat sejarah?
Saya sentiasa meminati sejarah terutama sejarah-sejarah utama dunia. Mungkin secara kebetulan saya dibesarkan di lokasi dan dalam budaya berbeza. Semasa kanak-kanak, diri saya tidak menggambarkan saya berasal dari mana. Saya dilahirkan di Singapura, kemudian kembali ke England menghabiskan zaman kanak-kanak.
Di England, saya dibesarkan dan bersekolah di enam, tujuh lokasi sehingga saya tidak pasti dari mana saya berasal atau identiti saya, jika ada orang bertanya. Saya pernah bekerja di Singapura selama lebih 10 tahun (di Nanyang Technological University) dan sebahagian banyak masa di England. Mungkin kedudukan saya adalah di tengah-tengah budaya Eropah dan Asia.
Bagi saya mempelajari sejarah umpama kita berdialog dengan masa silam. Saya masih ingat semasa kecil, saya didedahkan dengan sejarah Portland di England di mana tentera-tentera laut dari seluruh dunia pernah ke sana. Saya suka mendengar peristiwa-peristiwa yang berlaku di situ seperti peperangan dan penduduknya.
Bolehkah kita mengubah sejarah?
Sejarah adalah terjemahan apa yang berlaku pada masa lampau. Bagaimanapun, sejarah dilihat daripada aspek berbeza oleh golongan tertentu.
Pada pandangan orang awam dan pengkaji sejarah, penilaian kedua-duanya tidak sama.
Sebagai contoh, cuba kita bayangkan diri kita berada di zaman 1900. Terdapat seorang lelaki dari sebuah kampung yang merompak kampung lain dan membawa balik hasilnya untuk diagih-agihkan kepada orang di kampung halamannya.
Orang di kampungnya mungkin akan menganggap dia sebagai hero tetapi yang menjadi mangsa dari kampung lain sudah pasti akan melabelkannya sebagai pengacau. Pihak keselamatan seperti polis pula akan melabelkannya sebagai penjenayah.
Sebagai orang biasa, bila dia mahu menerangkan sesuatu perkara atau peristiwa, dia akan melihat sudut kaca matanya. Jika dia menulis buku tanpa meringkas jalan cerita, dia terpaksa menulis berjela-jela dari satu jilid ke satu jilid semata-mata mahu menceritakan sepenuhnya apa yang berlaku.
Maka, di sinilah tugas pengkaji sejarah. Dia perlu objektif dalam apa yang dihasilkannya. Tanggungjawabnya adalah melihat sejarah dalam bentuk ringkasan supaya lebih mudah difahami orang biasa. Antaranya menggunakan label bagi mewakili sesuatu perkara yang besar.
Namun, ia bergantung kepada ketepatan penilaian kita sama ada label yang digunakan itu sesuai atau tidak.
Sebagai contoh, perompak selalunya digambarkan sebagai penjahat. Label yang diberikan itu tidak boleh diubah.
Bagaimanapun, gambaran sedemikian tidak diberikan begitu sahaja. Pengkaji sejarah perlu berhati-hati kerana apa yang ditulisnya hari ini akan terus digunakan pada masa depan.
Seseorang pengkaji sejarah yang bagus akan cuba memahami dan menilai sesuatu peristiwa dari pelbagai sudut sebelum membuat satu rumusan.
Kenapa generasi muda perlu tahu tentang sejarah?
Jika kamu tahu apa yang berlaku hari ini, kamu juga perlu memahami apa yang pernah terjadi pada masa lampau. Jika tidak, kamu hanya tahu secara rambang. Bagaimanapun, bukan mudah untuk menggalakkan orang ramai khususnya anak-anak muda untuk mempelajari sejarah.
Kita tidak boleh memaksa mereka. Minat untuk mempelajari sejarah perlu datang dengan sendiri. Peranan kita adalah untuk menjadikan sejarah itu sebagai sesuatu yang seronok dipelajari dan dihayati.
Gunakan kreativiti seperti lakonan semula atau membina model bangunan bersejarah supaya anak-anak muda ini seronok belajar sejarah.
Sebagai pengkaji sejarah, apakah tanggungjawab anda?
Apabila seseorang membuat kenyataan berkaitan sejarah, tugas saya adalah menguji apa yang diperkatakan benar atau salah secara berbahas atau berbincang, bukan mengkritik sejarah.
Perbahasan sebegini penting untuk mengetahui perkara sebenar atau meminimumkan kekeliruan atau salah fakta. Bagi saya, sejarah sebenar perlu disebarkan kepada umum. Saya perlu memainkan peranan ini.
Adakah sejarah memainkan peranan penting untuk mengekalkan perpaduan pelbagai kaum seperti di Malaysia?
Saya berpendapat sejarah membantu perkara ini. Sejarah berkebolehan menimbang baik buruk sesuatu perkara.

No comments:

Post a Comment