Monday, 8 October 2012

Berdagang skandal halimunan

PADA pertengahan Jun lalu, media pembangkang termasuk yang mengaku bebas dan adil menguar-uarkan berita bahawa sapina kepada saksi, apa yang mereka sebut sebagai skandal kapal selam Scorpene dalam perjalanan dari Perancis ke Malaysia.
Dengan penuh keterujaan dan bangga, Suaram, NGO 'cabang' pembangkang itu mengumumkan saksi pertama kes tersebut bakal memberi kerjasama untuk hadir di mahkamah Perancis.
Tetapi apa yang berlaku sehingga sekarang sapina itu tidak muncul-muncul. Barangkali sapina tersebut sebenarnya tidak wujud. Orang yang dikatakan sebagai saksi yang menurut NGO itu 'sapina sedang dalam perjalanan ke rumahnya' turut menafikan.
Kedutaan Perancis yang menjadi pihak pertama mengetahui jika ada sapina dikeluarkan kepada rakyat negara ini juga menjelaskan mereka tidak tahu menahu. Mungkin dalam perjalanan itu membawa maksud hanya dalam mimpi mereka semata-mata.
Walaupun sudah tertangkap basah berbohong, Suaram tetap dengan ulahnya mahu terus menjual cerita Scorpene. Mereka pun sanggup berjalan jauh sehingga ke Perancis dan Thailand. Kitapun sudah tahu dari mana sebenarnya mereka mendapat biaya untuk menguruskan cerita halimunan itu.
Mereka sedikitpun tidak peduli dengan penjelasan kerajaan termasuk di Dewan Rakyat. Yang penting, isu Scorpene yang berkaitan hal ehwal keselamatan negara itu boleh dijadikan senjata untuk menjatuhkan kerajaan.
Kepada mereka, apa jua cara akan digunakan untuk terus menghidupkan cerita halimunan Scorpene dan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaaribuu itu.
Tujuannya tidak lain ialah untuk menyemai perasaan benci rakyat kepada kerajaan. Tujuannya, supaya rakyat percaya kerajaan yang ada tidak boleh dipercayai dan korup.
Mereka sebenarnya tidak lagi mempunyai senjata sehingga perlu mereka cipta isu palsu. Dulu, mereka gunakan isu-isu berkaitan hak asasi seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Buang Negeri dan Akta Kediaman Terhad untuk mengecam kerajaan.
Tetapi setelah kerajaan memansuhkan akta-akta tersebut selain memberi jaminan untuk terus melakukan pembaharuan dalam sistem perundangan negara, mereka seperti hilang upaya.
Isu dan cerita baharu malah bukti palsu terus dicari sebagaimana telah didedahkan oleh bekas peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Zulkifli Noordin yang juga Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu mendedahkan bahawa Anwar pernah mengarahkan peguamnya mencipta bukti baru bagi mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu Scorpene dan pembunuhan Altantunya.
Musykil
Tentu sekali timbul rasa musykil kerana kita tidak pernah terdengar Suaram mahupun NGO sealiran dengannya memuji dan seterusnya mendukung tindakan kerajaan Malaysia. Mengapakah mereka lebih gemar mengecam dan memperlekeh dasar-dasar negara ini berbanding membuat kritikan membina?
Tidak lain, ini kerana mereka adalah suara parti pembangkang. Lebih tepat, mereka adalah suara Anwar. Peranan mempromosi hak asasi manusia dan mengutamakan kebenaran hanyalah topeng.
Apa yang Anwar suka, mereka akan sokong dan dukung. Apa yang Anwar benci, mereka akan sama-sama perangi. Jika gagal menggunakan saluran rasmi, mereka akan turun ke jalanan. Jika gagal mengenakan tekanan dalaman, mereka akan gunakan pengaruh luar. Jika gagal mendapatkan sokongan dalam negara mereka akan cari bantuan antarabangsa.
Mereka, NGO asing ini mengaku mempromosi nilai-nilai sejagat, tetapi realitinya perjuangan mereka ialah meletakkan Anwar di takhta kerajaan. Sebab itu, bukanlah sesuatu yang pelik apabila mereka saling bekerjasama dan jalinan itu terlihat semakin akrab menjelang pilihan raya umum.
Mungkin menyedari sokongan bertambah kuat, mereka malah berani tampil mempromosi nilai-nilai dan budaya yang bertentangan dengan norma budaya dan agama kita.
Juga, bukan berita mengejutkan apabila Anwar menemui peguam Perancis, William Bourdon yang mewakili Suaram dalam kes Scorpene. Seperti dilaporkan portal propembangkang, Anwar baru-baru ini ke Perancis menemui Bourdon untuk mengundang peguam itu memberi taklimat kepada Ahli Parlimen negara ini.
Bourdon dilaporkan bersetuju dengan undangan Anwar atas syarat pihak berkuasa menjamin keselamatannya. Tahun lalu, beliau yang mahu menghadiri majlis anjuran Suaram dihantar pulang ke negara asalnya.
Jelaslah, apa yang kelompok ini lakukan bukannya berusaha menambah baik kualiti kehidupan rakyat Malaysia, sebaliknya cenderung untuk mencetuskan suasana tidak aman. Sudah banyak bukti di depan mata termasuk rusuhan dan pertembungan sesama warga yang berlaku di luar negara.
Jangan nanti sudah terhantuk baru tengadah. Jangan nanti negara sudah porak-peranda baru menyesali perbuatan lalu. Kita kumpulan majoriti tentunya cukup bijak mengelak daripada dipergunakan bagi kepentingan asing.
Kita harus faham bahawa membuat tuntutan dengan cara paksaan sebagaimana yang selalu dilakukan oleh Anwar tidak akan menyelesaikan masalah. Juga telah terbukti bahawa hak asasi manusia, kebenaran dan keadilan hanya sebatas slogan, sekadar memupuk imej demi populariti politik beliau.


No comments:

Post a Comment