Monday 22 October 2012

Nafsu Anwar Tetap Membara


Yahaya Ismail – Anwar tetap yakin bahawa dia menjadi mangsa konspirasi UMNO. Seperti singa tua yang luka, Anwar terus-menerus memberi arahan di belakang tembok penjara Sungai Buloh bahawa dia bukan homoseks. Dia pejuang Islam nombor wahid, pernah menjadi imam dan dipeluk ahlan wasahlan oleh sesetengah pemimpin Arab yang tertarik dengan karisma serta pidatonya yang berani menentang berbagai kemungkaran politik.
Parti Keadilan ditubuhkan dan dipimpin isterinya, Wan Azizah, dengan satu tujuan sahaja – memperjuangkan Anwar Ibrahim.
Demikianlah Wan Azizah dan anaknya Nurul Izzah, sanggup menemui beberapa pemimpin negara asing untuk mendedahkan keburukan kerajaan Malaysia dan mengemis sokongan agar mereka, para pemimpin asing akan menggunakan saluran diplomasi supaya suaminya dibebaskan.
Dia mungkin bersemangat dan berbusa nafsu bila Parti Keadilan menang lima kerusi dalam pilihanraya tahun 1999. Itu sebagai tanda bahawa ada sebahagian rakyat bersimpati dengannya dan memberi kemenangan lima kerusi untuk parti politik pimpinan isterinya yang baru setahun jagung usianya.
Rupa-rupanya poster mata lebam yang dijaja para penyokong Keadilan dan PAS membawa tuah. Mimpinya untuk menjadi bakal Perdana Menteri terus menguasai jiwa dan jasadnya. Tembok penjara Sungai Buloh tidak melunturkan semangatnya untuk berjuang merealisasikan mimpinya sebagai bakal Perdana Menteri.
Walaupun kemenangan parti-parti pembangkang mendapat kerusi yang agak banyak (PAS – 27, DAP – 10 dan Keadilan – 5), namun BN masih menguasai Parlimen dengan suara lebih dari dua pertiga.
Secara tidak langsung, kemenangan pembangkang yang “gemilang” memberi petunjuk bahawa kempen-kempen anti Mahathir dari pihak parti-parti pembangkang, mempunyai kesan kepada rakyat.
Banyak orang berpendapat, sudah sampai masanya Mahathir memberi selamat tinggal pada pentas politik. Jasanya banyak untuk bangsa, agama dan negara, tetapi sudah ada reaksi dari kalangan rakyat yang mendesak dia meletakkan jawatan.
Memang Mahathir mahu meletakkan jawatan. Pernah dia mengumumkannya sewaktu dalam Perhimpunan Agung UMNO yang menggemparkan masyarakat. Akhirnya dia menerima pujukan dari beberapa orang pemimpin untuk meneruskan perjuangan dan kempimpinannya. Dia akur. Namun, usia kepimpinannya tidak berpaut lama selepas pengisytiharaannya yang tidak diduga itu.
Mahathir pula berasa kecewa kerana selama lebih dua dekad menjadi Perdana Menteri, dia masih gagal mengubah pemikiran orang Melayu. Melayu, katanya mudah lupa.
Dia sudah bertekad, cukuplah menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama 22 tahun. Sudah banyak jasa dan pengorbanan yang diberikan untuk negara, bangsa dan agama.
Dia telah berjaya memberi semangat baru kepada setiap warganegara Malaysia. Di bawah pimpinannya, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang dinamik, maju dan berpandangan jauh.
Wawasan 2020 untuk mentransformasikan Malaysia sebagai negara industri yang maju yang memadukan kekayaan teknologi dan materialisme dengan kemajuan di bidang kerohanian akan diteruskan oleh kepimpinan hari ini. Inilah sumbangan Mahathir di samping pembangunan dan kemajuan di berbagai bidang yang lain.
Dia memilih Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, lebih terkenal dengan nama Pak Lah, sebagai penggantinya di Putrajaya pada 2 September 2002. Kononnya ada semacam perjanjian yang tidak bertulis antara Mahathir dengan Pak Lah sewaktu menyerahkan kuasa kepada Pak Lah.
Kononnya Pak Lah harus menyerahkan kuasa sebagai Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, setahun selepas bersemayam di Sri Perdana. Kononnya Pak Lah angguk dengan kemahuan Mahathir.
Bila kuasa bertukar tangan, Pak Lah menganggap dia sudah mendapat mandat untuk memimpin kerajaan dan parti. Maka, terpulang pada hemah dan budi bicara dia untuk berundur selepas setahun atau meneruskan kepimpinannya hingga menempuh pilihanraya yang baru.
Pak Lah ingin membuktikan kepada Mahathir dan juga seluruh rakyat Malaysia, bahawa dia mempunyai kewibawaan dan kemampuan menjadi Perdana Menteri yang terbaik dari segala Perdana Menteri.
Pada pilihanraya 2004, rakyat memberi sokongan padu kepada kepimpinan Pak Lah. Pihak pembangkang yang memperolehi kerusi terbanyak dalam sejarah politik Malaysia pada pemilihan tahun 1999, tiba-tiba hilang sebahagian kerusi yang direbut dari BN.
Pak Lah berasa yakin bahawa kepimpinannya sebagai Mr Clean dan anak seorang ulama telah mendapat kemenangan besar bagi BN. Ini bermakna, rakyat Malaysia menerima baik kepimpinan Pak Lah.
Kemenangan yang maha hebat itu rupa-rupanya menjadikan Pak Lah lupa daratan dan hilang fokus untuk memajukan negara dan membahagiakan rakyat jelata. Dia lebih senang membincangkan hal ehwal negara dengan kaum keluarganya, anak-anak dan menantunya yang berlagak seperti kaduk naik junjung.
Amalan nepotisme paling menjolok sekali, di mana anak-anak dan menantu dan suku sakat Pak Lah memperlihatkan kekayaan, kuasa dan keangkuhan yang melampaui batas. Pak Lah dikatakan lebih banyak tidur dari jaga. Imej Pak Lah sebagai Perdana Menteri jatuh merudum.
Manusia yang paling kesal sekali melihat kepimpinan Pak Lah yang super lemah ialah Mahathir. Akhirnya dia terpaksa turun padang menemui rakyat mengecam kepimpinan Pak Lah yang dipilihnya sendiri sebagai lemah, tidak fokus, mementingkan kaum keluarga, anak-menantu, yang memalukan.
Barangkali, Mahathir kesal kerana Pak Lah tidak mendengar nasihatnya dan tidak menunaikan janjinya kepada mantan Perdana Menteri itu. Hubungan Mahathir dengan Pak Lah renggang.
Kritik-kritik tajam terhadap kepimpinan Pak Lah yang lemah mempengaruhi rakyat yang semakin membenci kepimpinan anak ulama yang menjadikan jawatan Perdana Menteri sebagai keluarga sendirian berhad!
Dalam satu interbiu dengan mantan Perdana Menteri di pejabatnya Menara Petronas, tingkat 86, saya bertanya kepada Tun Mahathir, mengapakah dia memilih Pak Lah sebagai penggantinya?
Dia anggap Pak Lah anak ulama dan mendapat gelaran Mr Clean, tentulah dia boleh menjadi Perdana Menteri yang berkesan dan amanah serta bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat Malaysia. Rupa-rupanya dia lebih mementingkan kaum keluarga, anak-anak dan menantu serta gagal menjadi ketua kerajaan yang baik. Mahathir kesal kerana dia salah memilih penggantinya.
Nampaknya Pak Lah tidak peduli apa orang lain kata, terutama sekali Mahathir, kerana dia sudah dikhayalkan oleh dongeng-dongeng dan nasihat anak-anak dan menantu yang dengan gelojoh menimbun harta dunia sebanyak mungkin selagi Pak Lah bernafas, suka tidur dan berkuasa.
Kebencian rakyat terhadap dia dan anak-anak dan menantu yang menguasainya, tidak dipedulikan. Sebagai pemimpin Islam Hadhari yang dipeloporinya, dia mungkin menganggap Allah akan melindunginya dan akan kekal berkuasa selagi nyawa dikandung badan, tidak sasau dan tidak gila.
Dendam Pak Lah terhadap Mahathir tetap membara, Anwar yang merengkuk dalam penjara dibebaskan dari hukuman meliwat atas isu teknikal oleh Mahkamah Persekutuan.
Kononnya menantu Pak Lah pernah berjumpa Anwar di penjara dan setelah dia keluar, tolong memberi passport kepada mantan penghuni penjara Sungai Buloh tersebut. Begitu baik sekali hubungan menantu Pak Lah, Khairy Jamaluddin dengan Anwar.
Banyak orang berkata, tentulah tindakan menantunya itu mendapat restu dari Pak Lah. Ada orang berpendapat, ada semacam pengertian antara Anwar dengan Pak Lah yang mempunyai musuh politik yang sama – Mahathir.
Keluar saja dari penjara, Anwar sudah mula menjerit dan melolong “reformasi” sebagai mantera politiknya. Dia dilantik sebagai penasihat kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mana isteri tercintanya Wan Azizah, kekal sebagai Presiden PKR.
Sejak Anwar menjadi penasihat PKR, Wan Azizah lebih banyak mendiamkan diri. Yang menonjol ialah suaminya yang memperlihatkan dirinya sebagai Presiden PKR, bukan penasihat PKR. Sebagai seorang penasihat, dia sudah menjadi pemimpin parti mengambil alih kedudukan isterinya, akhinya PKR adalah Anwar dan Anwar adalah PKR.
Ada orang berpendapat, kemenangan “gemilang” tiga parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PAS, Keadilan dan DAP) adalah kerana kehebatan dan sokongan kuat rakyat kepada Anwar yang kononnya menjadi mangsa konspirasi UMNO.
Itu hanya fantasi yang dijaja oleh para juak-juak Anwar untuk membersihkan Anwar dari tuduhan meliwat.
Sebenarnya kemenangan Pakatan Rakyat dengan 82 kerusi (sebelum beberapa orang Wakil Rakyat PKR keluar dari parti itu), disebabkan rakyat benci pada pimpinan Pak Lah yang dikuasai oleh anak-anak dan menantunya.
Kelemahan kepimpinan Pak Lah itulah yang menyebabkan BN hilang suara dua pertiga di Parlimen selepas pilihanraya ke 12 pada tahun 2008. Orang meluat pada Pak Lah, anak-anak dan menantunya yang lupa daratan, gila kuasa dan gila harta dunia.
Pelik bin hairan seorang anak ulama mendapat gelaran Mr Clean, juga pernah menjadi imam, tiba-tiba menjadi gelap mata bila kuasa ada di tangan.
Mahathir tentulah kecewa tak terkata bila melihat Mr Clean menjadi begitu rakus dalam kepimpinannya hingga dia terpaksa turun padang menentang kepimpinan Pak Lah yang dipilihnya sendiri!
Permusuhan antara Mahathir dengan Pak Lah begitu ketara sekali, hingga mantan Perdana Menteri itu gagal untuk menjadi salah seorang dari perwakilan UMNO Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO.
Mahathir mempunyai pengaruh di kalangan rakyat walaupun sudah bersara dari politik. Justeru itu, sebahagian rakyat yang masih sayang kepada Mahathir dan membenci Pak Lah turut membuat perhitungan mereka sendiri.
Oleh kerana Pak Lah dan anak-anak serta menantunya tidak peka dengan kegelisahan dan kebencian yang meluap-luap di kalangan rakyat, maka sebahagian besar pegundi menukar selera politik dan memberi undi yang berharga kepada calon-calon Pakatan Rakyat.
Inilah yang dikatakan, marahkan pijat kelambu dibakar. Bila keputusan diumumkan, semua pihak terkejut beruk. Pihak pembangkang sendiri tidak menyangka mereka mendapat 82 kerusi dari 222 kawasan Parlimen. Maka hilanglah dua pertiga suara wakil-wakil rakyat BN di Parlimen.
Pak Lah baru sedar dari tidurnya. Sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Rupa-rupanya segala “khutbah” Islam Hadahari yang disodorkan kepada rakyat menjadi senjata makan tuan.
Pak Lah merancang untuk mengekalkan kuasa politiknya, tetapi Allah Yang Maha Berkuasa telah menunjukkan kepada umat manusia di Malaysia, bahawa Dia tidak merestui Islam Hadhari dan ditarik balik kuasa yang ada pada anak ulama dari Kepala Batas ini.
Banyak pihak berpendapat, Pak Lah, Perdana Menteri yang paling lemah di antara mantan Perdana Menteri. Malah ada yang berpendapat, Mahathir membuat pilihan yang salah bila Mr Clean menjadi penggantinya.
Mahathir menyesal tak sudah kerana kelemahan kepimpinan Pak Lah menyebabkan kerajaan BN menjadi lemah dan kepimpinan UMNO diperlekehkan rakyat. Tidak pernah dalam sejarah politik UMNO, kepimpinannya menjadi momokan rakyat semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri yang dikatakan orang, banyak tidur dari jaganya.
Anwar tidak banyak mengkritik kepimpinan Pak Lah. Barangkali dia mengenang budi Pak Lah dan menantunya, membantu apa yang boleh untuk kembali aktif dalam politik tanah air.
Banyak orang berkata, sedikit sebanyak Pak Lah turut main peranan untuk membebaskan Anwar dari penjara Sungai Buloh. Mereka berkata, Pak Lah melepas singa luka yang membara dendamnya untuk memburu kuasa agar dia bersemayam di Putrajaya.
Anwar juga sedar, para pemimpin UMNO tidak akan menerima dia kembali ke dalam pelukan UMNO untuk menjadi pemimpin mereka. Tidak ada maaf bagimu Anwar untuk diterima dengan dada terbuka oleh 3.4 juta ahli UMNO.
Dia tidak ada jalan lain kecuali berhempas-pulas, bersilat dan berkuntau dalam PKR dan ahlan wasahlan bersama PAS dan DAP untuk merancang menggulingkan kerajaan BN melalui pilihanraya ke 13 nanti.
Pak Lah sedar, dia tidak boleh menentang Anwar, tidak ada umph dan hanya bergayut pada nasihat anak-anak dan menantu yang mencari kesempatan selagi Pak Lah masih tidur di Sri Perdana.
Barangkali, dia juga ada firasat bahawa dia tidak akan tinggal lama di Sri Perdana, memandangkan dia tidak mampu memberi kepimpinan yang berkesan dan dinamik seperti Mahathir.
Apakah ada pakatan sulit antara Anwar dengan Pak Lah? Kita tidak tahu tapi Allah Maha Mengetahui. Apakah tidak mungkin Pak Lah dan Anwar yang berjiran antara Permatang Pauh dan Kepala Batas, ada semacam pengertian untuk memberi peluang kepada Anwar menonjolkan dirinya sebagai tokoh alternatif kepada BN untuk memimpin kerajaan, memandangkan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap Pak Lah yang dikuasai oleh anak-beranaknya? Kita tidak tahu.
Saya masih teringat dalam pertemuan saya dengan Anwar di kediamannya di Damansara Height pada tahun 1993, saya bertanya pada Anwar, “Pasai apa you dengan Pak Lah bersenget hati. Di Pulau Pinang cuma ada dua orang pemimpin yang menjadi Menteri dalam UMNO.” Anwar menjawab, “Ya, hang bagitau Pak Lah, aku boleh minum teh tarik, duduk semeja dengannya. Hang bagitau kat Pak Lah.”
Seminggu lepas berjumpa Anwar, saya menemui Pak Lah sewaktu dia menjadi Menteri Luar. Saya bagitahu PakLah apa Anwar minta saya sampaikan kepadanya. “Betoi ka orang Anwar tak kacau Pak Lah seperti kata Anwar tu?”, saya tanya Pak Lah. Pak Lah tunduk sambil membelek tangannya lalu berkata, “Depan hang dia kata macam tu. Tapi kalau boleh, depa nak bunuh politik aku.” Itu kata Pak Lah sebelum dia disintuk limau oleh Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Saya membawa kisah ini untuk menunjukkan kepada para pembaca, betapa liciknya Anwar bermain politik. Dia akan menabur janji, memberi keyakinan kepada berbagai puak bahawa dialah yang akan membawa angin perubahan dalam kehidupan rakyat, dan dialah yang akan menunaikan apa saja janji yang pernah ditabur seperti sang bomoh menabur bertih kepada berbagai golongan dalam masyarakat.
Pak Lah boleh melupakan segala derita dan sengsara dibuat Anwar sewaktu Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan. Dia pernah bercerita kepada saya, bahawa Anwar pernah megurangkan peruntukan Kementerian Luar kerana Pak Lah dianggap sebagai pencabarnya di Pulau Pinang dan dianggap seorang pemimpin yang juga mempunyai pengaruh di negeri boria itu.
Tapi Pak Lah dapat menghapuskan segala derita di tangan Anwar di masa lalu dan dia terpaksa bersekongkol dengan pencabarnya itu kerana kedua-duanya mempunyai musuh politik yang mereka amat membenci – Mahathir.
Jadi, janganlah hairan bin terkejut kalau Pak Lah dan Anwar bersama-sama menemui seorang ulama di Ulu Langat untuk mendapat nasihat dan berkat dari beliau, barangkali.
Anwar menjadi terlalu rakus dan super yakin bahawa kemenangan adalah di pihaknya. Dia mengeksploitasikan kebencian rakyat terhadap Pak Lah dan keluarganya semaksimum mungkin. Tidak perlu dia mengecam kepimpinan Pak Lah yang super lemah itu.
Penyakit tikam-menikam dalam tubuh UMNO sudah cukup lumayan untuk mengegarkan UMNO. Lebih-lebih lagi Mahathir sendiri mengecam Pak Lah dan menyesal memilih Wakil Rakyat dari Kepala Batas sebagai penggantinya.
Kepimpinan UMNO yang lemah menjadikan Anwar lebih bernafsu untuk menggulingkan kerajaan sekarang. Sebagai bekas Timbalan Presiden UMNO merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap lagi sebagai Menteri Kewangan, Anwar cukup mahir dan tahu hati budi pucuk pimpinan UMNO.
Walaupun Pak Lah lemah, namun tidak seorang pun pemimpin UMNO yang berani mengecam beliau kerana masing-masing ada kepentingan diri yang perlu dijaga. Di depan Pak Lah mereka angguk seperti keldai kenyang tapi di belakangnya, mereka kutuk beliau habis-habisan.
Hanya Mahathir, mantan Perdana Menteri yang berani turun padang mengecam Pak Lah tanpa maaf dan ampun. Malah, kebencian Mahathir terhadap Pak Lah begitu membuak hingga beliau sanggup keluar UMNO dan hanya kembali ke dalam pelukan parti itu setelah Datuk Seri Najib menjadi Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri.
Kini, dia berhadapan dengan Datuk Seri Najib Razak yang kepimpinannya kini mendapat sokongan kuat di kalangan rakyat. Najib sedar, dia tidak boleh disamakan dengan Pak Lah. Dia perlu mengangkat martabat dan kewibawaan UMNO yang tercemar oleh kepimpinan yang lemah di era Pak Lah.
Justeru, dia perlu berani membuat perubahan dalam kepimpinan dan pentadbiran negara agar rakyat kembali menjulang tinggi UMNO dan menyokong BN. Dia tidak ada waktu terlalu banyak untuk membuat perubahan sebelum menjelang pilihanraya nasional ke 13 pada tahun 2012 atau 2013 akan datang.
Dia perlu memulihkan kembali keyakinan dan sokongan rakyat kepada UMNO agar BN dapat kembali suara dua pertiga di Parlimen selepas pilihanraya akan datang.
Tanggungjawab Najib bukan mudah. Tidak ada jampi atau mantera yang boleh memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap UMNO khasnya kalau dia mengabaikan kepentingan Melayu. Bumiputera yang merupakan sokongan terkuat buat UMNO di kawasan-kawasan luar bandar.
Ini bermakna, UMNO akan menghadapi cabaran yang kuat dari PAS dan juga PKR yang juga mengharapkan sokongan besar dari orang Melayu. Walaupun PKR parti berbilang kaum, namun sebahagian besar dari ahli PKR dari kalangan Melayu.
Ketiga-tiga parti ini – UMNO, PAS dan PKR akan berentap bermati-matian untuk mendapatkan sokongan pengundi-pengundi Melayu di luar bandar.
Najib juga harus muhasabah dan sedar bahawa seluruh rakyat, khasnya Melayu, melihat setiap langkah politik yang dilaksanakannya. Dia harus juga melihat kelemahan dalam kepimpinannya dan bertindak tegas dan cepat untuk membaiki keadaan agar jangan dijadikan isu politik oleh pihak pembangkang.
Umum mengetahui, bangsa Melayu dan Bumiputera lainnya yang menentukan kepimpinan negara sejak merdeka hingga sekarang. Malah, pada masa depan juga Melayu akan menentukan arah tuju kerajaan sekiranya perpaduan Melayu utuh, kuat dan para pemimpin mereka tidak lemah dan kualiti kepimpinan dihormati ramai.
Walaupun UMNO mempunyai Perdana Menteri yang lemah di era Pak Lah, namun sebahagian besar rakyat masih yakin dengan kepimpinan UMNO. Malah, ujian yang besar berlaku dalam kepimpinan UMNO pada tahun 1987 sewaktu Tengku Razaleigh menentang Mahathir.
Walaupun UMNO kalah semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan dalam pilihanraya 1990, namun Angkatan Perpaduan Ummah tidak mampu menumbangkan BN untuk mengambil alih kekuasaan negara.
Tengku Razaleigh, seorang tokoh politik yang berpengaruh dan dihormati ramai sanggup membubarkan Semangat 46 untuk kembali berjuang dalam UMNO. Beliau tidak pernah kalah dalam setiap pilihanraya tetapi tahu bahawa tidak ada suatu pasti politik Melayu yang boleh menandingi UMNO untuk menguasai kerajaan di peringkat Persekutuan.
Tanya pada Anwar Ibrahim, apakah dia boleh menjadi Timbalan Perdana menteri merangkap Menteri Kewangan merangkap lagi sebagai Timbalan Presiden UMNO, kalau dia bukan ahli UMNO? Apakah dia tidak menumpang habuan dan kekayaan yang diperolehi bapanya melalui UMNO? Hanya manusia munafik dan lupa diri sahaja yang boleh melupakan jasa-jasa besar UMNO terhadap keluarganya dan juga dirinya.
Dia boleh melolong, menjerit dan memaki-hamun UMNO setelah dia dipecat dari parti dan Kabinet. Dia boleh menghimpun ribuan para penyokong yang terpukau dengan retorikanya tetapi yang nyata, anak Pak Brahim ini sudah hilang harga diri dan lupa segala budi, kesenangan dan kerakusan berkuasa yang pernah dia nikmati sewaktu berada dalam UMNO.
Anwar seolah-olah seperti orang gila talak bila dipecat dari UMNO dan Kabinet. Dia merasakan, seolah-olah kuasa yang dipinjam Allah itu sebagai hak mutlaknya selagi nyawa dikandung badan, dia tidak sasau dan tidak gila.
Dia mempertikaikan kuasa Mahathir selaku Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO yang menyebabkan dia dipecat.
Umum mengetahui, termasuk kera dan lutung di hutan barangkali, bahawa Perdana Menteri berhak melantik dan menyingkir siapa saja dalam kabinetnya. Oleh kerana dia dianggap pemimpin anak emas Mahathir, maka terasalah kejatuhannya itu dari takhta kekuasaan sebagai suatu pukulan ko dalam mainan politik nasional.
Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Dia terlalu over confident bahawa dia juga boleh menumbangkan Mahathir dari Putrajaya, kerana kononnya rakyat jelata sudah muak dengan Mahathir yang dianggap sebagai “mahafiraun” dan tidak mempunyai para pengikut dan penyokong yang banyak seperti dirinya.
Dia menganggap dirinya paling hebat kerana dapat melancarkan demonstrasi jalanan dengan ribuan para penyokong menjerit dan melolong slogan reformasi. Dia dibawa oleh arus ombak sokongan orang ramai bila mana dia memberi pidato berapi-api yang menaikkan semangat untuk dijadikan alat dalam mainan politiknya.
Dia berasa megah dan sombong menggilap zaman remajanya memimpin ribuan para pelajar untuk menunjuk perasaan menentang kerajaan pada tahun 1974 dalam peristiwa yang kononnya ada orang kampung di Baling, mati kelaparan makan ubi gajah.
Dia mencipta sendiri kekuatan politiknya, sanjungan rakyat yang tidak berbelah-bahagi kepadanya, kononnya akulah pemimpin nombor wahid yang akan mewarnai wajah politik Malaysia dengan warna aku sendiri!
Dia berbangga, bahawa Mahathir memberi kedudukan penting dalam UMNO dan Kabinet kerana takut padanya sebagai pemimpin muda yang jaringan para penyokongnya bukan saja banyak dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Oleh kerana Mahathir “takut” pada Anwar yang menjadi pejuang Islam dan mungkin menyertai PAS, maka dia diberi kedudukan yang tinggi dalam hieraki kepimpinan UMNO. Tidak sampai setahun masuk UMNO, dia sudah dapat menumbangkan Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin untuk menjadi Ketua Pemuda.
Apakah para pemimpin UMNO yang lain boleh mencapai kuasa dan kedudukan tinggi dalam parti dan kerajaan dalam masa yang singkat? Tidak ada. Hanya Anwar yang menjadi anak emas Mahathir diberi kedudukan menjadi orang nombor dua terpenting dalam parti dan Kabinet.
Nafsu kuasa menguasai dirinya. Dia dikhayalkan dengan fantasinya bahawa suatu hari nanti aku akan menjadi Perdana Menteri kelak dan akan menguasai segala-galanya.
Kata orang, kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Kalau hendak dibandingkan perjuangan Mahathir dengan Anwar, sumbangan Mahathir untuk memperjuangkan bangsa, agama dan negara lebih terserlah dari apa yang didabik oleh Anwar.
Ingatlah, Mahathir pernah dipecat dari UMNO di era Tunku Abdul Rahman selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969 kerana menentang kepimpinan Tunku. Dia berkelana di pentas PAS dan juga dalam berbagai kampus untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan negara sebagai ahli politik tanpa parti.
Dia juga menulis buku Malay Dillema yang memperjuangkan kepentingan Melayu dan dicap sebagai ultra Melayu. Buku itu pernah diharamkan di Malaysia.
Malah, sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, buku tersebut masih diharamkan di negaranya sendiri. Bila Tun Razak menjadi Perdana Menteri, Mahathir dijemput semula menyertai UMNO dan terus bergiat hingga akhirnya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.
Apa yang dilakukan Mahathir selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri sudah menjadi bahan sejarah dan tidak perlu dipertikaikan lagi.
Yang Anwar dan para juaknya mendabik dada ialah perjuangannya sewaktu memimpin ABIM dan mengadakan demonstrasi sehingga dia ditahan di bawah ISA.
Betul, dia dijemput menyertai UMNO dan diberi kedudukan dalam Kabinet. Tapi apakah sumbangannya yang paling besar sebagai ahli Kabinet, yang membuktikan kewibawaannya sebagai pemimpin politik lebih terserlah dari orang lain? Tidak ada.
Dia juga menjadi pemimpin pengekor angin, menari menurut rentak Mahathir.
Yang ketara kepada para pemimpin dan rakyat, dia membina jaringan penyokong yang taksub dalam UMNO mahu pun dalam kerajaan dan berbagai badan berkanun. Dia menawarkan pangkat, projek, pink form (saham-saham) pada pihak-pihak tertentu di samping menabur berbagai janji kepada berbagai golongan seperti dukun menabur bertih untuk menghalau hantu dan syaitan.
Tengku Razaleigh dan Musa Hitam juga tidak sehaluan dengan Mahathir. Mereka juga ada pengikut tetapi mereka tidak membina jalinan para penyokong seperti Anwar untuk merebut jawatan Perdana Menteri.
Pada pemilihan pucuk pimpinan UMNO pada tahun 1987, Ku Li bergandingan dengan Musa Hitam menentang Mahathir dan Ghafar Baba. Mereka kalah sedikit sahaja hingga mencemaskan Mahathir dan rakan perkongsiannya Ghafar.
Mereka tidak menggunakan sokongan dari pemimpin-pemimpin asing untuk membantu mereka menentang Mahathir sepertimana yang dilakukan Anwar. Menang atau kalah atas sokongan para penyokong mereka dalam parti semata-mata. Dan yang paling afdal sekali, mereka sanggup bertarung untuk merebut jawatan parti melalui Perhimpunan Agung UMNO. Mereka tidak mengujudkan konspirasi sepertimana yang dilakukan Anwar.
Anwar tidak menggunakan saluran parti untuk menentang Mahathir. Dia main politik acilut. Dia diibaratkan baling batu sembunyi tangan. Depan angguk pada Mahathir macam keldai kenyang, tetapi di belakang Mahathir dia merancang berbagai strategi untuk menjatuhkan Perdana Menteri.
Kalau dia pemimpin anak jantan seperti Ku Li dan Musa Hitam, tentulah dia berani menentang Mahathir untuk merebut jawatan Presiden UMNO sepertimana yang dia lakukan terhadap Ghafar. Tapi dia takut, kerana sokongan para perwakilan terhadap Mahathir masih kuat dan dia juga sangsi terhadap kesetiaan sebahagian besar dari perwakilan itu.
Dengan kata lain, dia gubra menghadapi Mahathir. Dia tahu dan sedar bahawa dia terhutang budi kepada Mahathir yang memberi peluang kepadanya menyertai Kabinet sehingga mencapai kedudukan penting sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Anwar seperti singa luka, menjadi marah kerana dipecat dari Kabinet dan parti yang telah memberi kepadanya nikmat hidup kuasa yang tak pernah dia mimipikan sewaktu menjerit dan melolong sebagai pemimpin ABIM di masa lampau.
Takdirnya dia menyertai PAS, memakai kupiah lebai dan berhamburan dengan berbagai ayat dan mantera politik untuk memukau rakyat jelata, pasti dia tidak akan bermimpi menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Dia tahu bahawa tanpa UMNO, dia tidak akan menikmati kekayaan dan kemewahan serta kuasa yang dipinjamkan Allah kepadanya.
Anwar kecewa kerana agendanya patah di tengah jalan bila disingkir dari UMNO dan Kabinet. Sebenarnya dia menyesal atas tindakannya yang terburu-buru hendak menjadi bakal Perdana Menteri tanpa menunggu kata putus dari Mahathir.
Justeru itu, dia berpura-pura mengatakan dia menjadi mangsa konspirasi Mahathir dan orang-orangnya, atas alasan dia ingin menghapuskan korupsi, penyalahgunaan kuasa, melahirkan ketelusan dalam kepimpinan, menghapuskan kronisme dan nepotisme dan berbagai isme yang serba mulus untuk meraih sokongan dan simpati terhadapnya.
Apakah dia berjaya menghapuskan korupsi bila mana dia dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet menghapuskan korupsi? Apakah tindakan yang dia ambil terhadap Presiden MIC yang memberi 10 juta saham Telekom kepada dua buah syarikat modal berbayar RM2.00, yang kononnya dikuasai oleh anak Sammy Vellu sendiri?
Saya telah menulis sebuah buku, memberi senarai kroni-kroni Anwar yang mendapat berbagai projek kerajaan sewaktu dia menjadi Timbalan Perdana menteri merangkap Menteri Kewangan. Sila baca buku saya berjudul, “Antara Kronisme, Nepotisme & Anwar,” (1999).
Saya teringat suatu peristiwa antara saya dengan Anwar. Ini berlaku dalam pilihanraya tahun 1990. Saya berucap dalam satu ceramah, berkempen untuk calon Angkatan Perpaduan Ummah di kawasan pilihanraya Permatang Pauh, kawasan Anwar.
Saya memberitahu ribuan para hadirin bahawa Anwar, waktu menjadi Ketua Pemuda UMNO, telah menerima derma dari tauke judi Genting Berhad, Lim Goh Tong sebanyak RM250 ribu.
Dia mengugut hendak menyaman saya, kerana kononnya saya membuat tuduhan palsu. Allah Maha Berkuasa, Datuk Seri Najib telah membuat kenyataan mengakui Pemuda UMNO telah menerima derma sebanyak itu.
Saya syorkan kepada Anwar dalam ceramah itu, agar dia dan saya bersumpah di masjid Permatang Pauh dalam kawasan pilihanrayanya, bahawa dia tidak pernah menerima derma dari tauke judi tersebut.
Saya pergi ke masjid tersebut bersama-sama dengan para penyokong PAS dan Semangat 46. Tunggu punya tunggu, Anwar tidak datang juga! Kalau benar dia tidak menerima, mengapakah dia takut bersumpah di masjid? Inikah perjuangan seorang pemimpin Islam nombor wahid yang kononnya berjiwa Islam lahir dan batin?
Sesungguhnya Anwar seorang oportunis yang putus asa. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Dia merancang hendak menjatuhkan Perdana Menteri yang memberi kepadanya kedudukan dan kuasa dan dijanjikan sebagai penggantinya.
Tapi orang yang mengaku dirinya pejuang Islam nombor wahid, tidak sabar menunggu gilirannya. Dia gelojoh. Dia serba salah. Dia cemas. Dia hilang perhitungan. Dia tidak menyangka, Mahathir akan memecatnya dari parti dan kerajaan.
Dia fikir Mahathir akan tunduk kepada berbagai tekanan luar dan dalam untuk menyerahkan kuasa kepadanya. Dia lupa perjuangan Mahathir dalam UMNO adalah lebih hebat dan lebih kontroversial dari perjuangan pemuda dari Cheruk Tok Kun ini.
Mahathir tidak menafikan dia sayangkan Anwar dan mahu timbalannya menjadi penggantinya. Tetapi Mahathir tidak dapat menerima Anwar, bila mana dia dapati timbalannya itu seorang homoseks. Dia tidak mahu seorang homoseks yang kononnya pejuang Islam nombor wahid menjadi Perdana Menteri.
Dia tidak mahu menanggung dosa memilih seorang homoseks sebagai penggantinya. Biar apa pun terjadi, dia akan menentang Anwar habis-habisan kerana dia tidak tahu sewaktu menerima Anwar sebagai ahli parti dan ahli Kabinet, Anwar itu homoseks orangnya.
Allahyarham Tan Sri Megat Junid, pernah memberitahu saya dalam satu interview dengannya di kediamannya, bahawa Mahathir amat dukacita bila mengetahui Anwar seorang homoseks. Sebenarnya, menurut Megat Junid, Mahathir sudah bersiap-sedia untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar!
Pintu sudah tutup untuk Anwar kembali dalam UMNO. Mahu tidak mahu, dia harus berjuang di luar UMNO. Tidak ada lagi harapan jalan mudah menjadi Menteri, apalagi hendak menjadi bakal Perdana Menteri.
Dalam pilihanraya 2008, rakyat telah memberi amaran keras kepada BN, khasnya UMNO yang memimpin kerajaan, agar kembali ke pangkal jalan dan berjuang untuk kepentingan rakyat. Mereka memberi amaran kepada UMNO, bahawa mereka menolak kepimpinan yang lemah seperti Pak Lah yang celik menjaga kepentingan keluarga dan suku-sakatnya tetapi “tidur” memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.
Rakyat berharap agar Datuk Seri Najib mengambil iktibar dari kemerosotan sokongan rakyat terhadap BN dalam pilihanraya 2008. Jangan salah ibu mengandung kalau rakyat tidak berpihak kepada BN, oleh kerana pucuk pimpinannya dan para ahlinya persetankan teguran dan amaran mereka itu.
Jelas, rakyat muak dan benci kepimpinan Pak Lah yang tidak ada umph, lembik dihanyut oleh kuasa yang dia dan kaum keluarganya tidak pernah menikmati sebelum itu.
Najib dan para kabilahnya diberi ingatan agar jangan sekali-kali membelakangkan rakyat, khasnya Melayu dan Bumiputera yang menjadi penyokong kuat UMNO sejak merdeka hingga sekarang.
Sebenarnya, pihak pembangkang juga terkejut dengan sokongan rakyat yang berani menukar selera politik mereka setelah sekian lama memberi dukungan dan sokongan kepada UMNO/BN sejak merdeka lagi.
Para pemimpin UMNO/BN terkejut beruk, tidak menyangka BN akan hilang suara dua-pertiga di Parlimen dan lima buah kerajaan negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
Najib perlu memulih semula keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya setelah Pak Lah ditolak mereka sebagai Perdana Menteri yang super lemah. Dia mesti bersungguh-sungguh menyakinkan rakyat bahawa slogan “rakyat didahulukan” itu bukan retorika kosong tetapi dilaksanakan sepenuhnya.
Hari ini terdapat enam juta pengundi muda yang terpelajar mula mengundi. Mereka tidak mudah dibeli dengan berbagai janji yang tak ditepati. Juga mereka tidak mudah terpengaruh dengan berbagai slogan yang dilontarkan di tengah-tengah rakyat.
Hubaya-hubaya menghadapi karenah dan idealisme orang muda. Mantera politik dengan slogan-slogan lusuh atau kitar semula, sukar mengetuk hati budi bicara anak-anak muda yang terdedah dengan dunia internet, informasi tanpa sempadan dari berbagai bloggers yang membicarakan hal ehwal semasa dengan berbagai fakta dan pendedahan dari siasatan mereka dari multi sudut.
Anwar tentu bermimpi di siang hari bahawa golongan muda akan berpihak kepadanya. Tunggu dulu. Mereka tidak taksub pada Anwar dan tidak telan bulat-bulat segala nista dan kecamannya terhadap BN.
Dulu mungkin mereka kagum dan bersimpati dengannya setelah dipecat dari kerajaan dan UMNO. Tapi golongan terpelajar dan rakyat jelata sudah tahu banyak kisah dan skandal Anwar yang menjadikan mereka tidak sehaluan dengan perjuangannya lagi.
Seperti orang yang hampir lemas, Anwar akan berhempas pulas dan berpaut pada apa sekalipun untuk survivalnya. Setiap detik yang berlalu membawa kecemasan pada dirinya. Dia akan bermimpi berbagai bala yang akan menimpa, pintu penjara yang akan terbuka. Jalan ke Putrajaya semakin sayup, penuh dengan ranjau yang sukar dilaluinya.
Tapi orang yang bernama Anwar dari Cheruk Tok Kun ini akan terus bersilat dan berkuntau, menjaja janji-janjinya dalam slogan reformasinya dalam dan luar negara.
Petikan dari buku Yahaya Ismail, “Anwar Ibrahim, Pengkhianat Atau Patriot?,” Usaha Teguh Sdn Bhd, 2011.
Anwar Terjerat Dalam Mimpinya
Anwar Mabuk Kuasa
Agenda Anwar Ibrahim
Siapa Anwar Sebenarnya
Anwar Pejuang Islam ?

No comments:

Post a Comment