Usaha sabotaj RAPID/PIPC?
AKHBAR berbahasa Cina memberikan liputan yang sangat luar biasa terhadap apa yang berlaku di Pengerang, Johor hujung minggu lalu. Liputan sehebat itu sememangnya sudah dijangka, jika apa yang berlaku di Kuantan (Lynas) dan Bukit Koman (Raub Australian Gold Mining) dijadikan panduan. Sudah barang tentu, apa yang berlaku di Pengerang juga akan diberikan liputan yang sangat luar biasa oleh kumpulan akhbar tersebut.Kali ini, Pengerang melibatkan sebuah syarikat utama negara, Petronas yang mempunyai hajat dan keinginan untuk mewujudkan sebuah Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).
Hakikatnya, pembangunan di Pengerang bukan sahaja mengenai Petronas semata-mata. Banyak lagi syarikat utama dunia yang bersedia untuk menjadi sebahagian daripada Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) di Pengerang, yang dijangka menjadi satu daripada kompleks petroleum bersepadu terbesar di rantau ini apabila ia siap sepenuhnya menjelang 2020.
RAPID ini bukan projek kecil-kecilan. RAPID sebuah projek yang mampu menukar lanskap industri minyak dan gas rantau ini. Jikalau tidak, pastilah seorang pemimpin veteran Singapura tidak dengan sewenang-wenangnya mengundang ketawa para hadirin di Majlis Makan Malam sempena 120 tahun penubuhan Shell Singapura, apabila dengan yakin mengatakan Malaysia tidak mungkin mampu menandingi tahap kecekapan Pelabuhan Singapura.
Ternampak jelas, timbul kerisauan bahawa RAPID akan membawa pengaruh luar biasa kepada industri minyak dan gas di rantau sebelah sini. Secara terperinci, berikut adalah ucapan Menteri-Mentor dalam bahasa Inggeris yang banyak dilaporkan media perdana dan media sosial:
They can see how useful our petrochemical hub has been. They have placed a hub next to us, so that ships will call by on them first, before calling by on us," he said.
The question is: Which is the more efficient hub, and where do the ships turn around faster?"
After a brief pause, Mr Lee shot back at the guest: Have you got my answer?"
The latter replied to laughter from the ballroom: Singapores."
Kita semua tahu dan maklum, bahawa landskap ekonomi dunia sangat pesat dan memerlukan persaingan yang sangat luar biasa. Perkara ini bukan persaingan yang boleh dibuat main-main. Mana-mana negara yang mahu melangkah dan melonjak ke hadapan, perlulah mencari kelebihan yang ada. Apa yang ada pada kita, perlulah diguna pakai untuk menentukan Malaysia mampu untuk mendapat faedah ekonomi jangka panjang.
Nasib penduduk Pengerang sangat penting dalam perimbangan keputusan ekonomi yang bersifat nasional. Sudah tentu, untung nasib mereka juga perlu diberikan perhatian.
Hasil pembacaan penulis, banyak usaha yang sedang dilakukan oleh pihak berwajib mengenai isu ini. Pampasan yang bersesuaian, penempatan semula - semuanya dilakukan secara terbuka dan tidak berahsia. Mereka yang layak, mereka yang wajar menerima pampasan, akan diberikan pampasan yang bersesuaian.
Soalnya, apakah wajar untuk isu ini disensasikan sebagai modal politik? Apakah perlu pihak tertentu menggunakan isu RAPID/PIPC ini sebagai kaedah memenangi undi, sambil menafikan kepentingannya untuk ekonomi Malaysia pada masa akan datang? Lebih malang lagi apabila ada usaha untuk menampilkan isu perkauman dan sengaja membangkitkan isu sensitif yang mampu merosakkan agenda ekonomi negara yang lebih besar.
Segala projek ini dirancang untuk melonjak Malaysia dalam mendepani cabaran ekonomi dunia yang semakin meruncing.
Menurut maklumat terbuka berkenaan projek ini, RAPID dijangka menyumbang Pendapatan Negara Kasar (PNK) hampir RM19.5 bilion pada 2020 nanti. Projek di tempat sama juga dijangka mencipta lebih 12,000 peluang pekerjaan di pelbagai peringkat pada tempoh masa yang sama.
Angka ini hanya mampu direalisasikan sekiranya lima projek permulaan dapat dilaksanakan (Terminal Petroleum Pengerang; Terminal Petroleum Tanjung Langsat; Terminal Petroleum Tanjung Bin; PIPC dan Hab Perkhidmatan Sokong Petroleum Tanjung Langsat).
Rakyat seluruhnya perlu faham, bahawa kawasan Pengerang ini bukan dipilih secara semberono dan suka-suka. Pengerang dipilih kerana kawasan sama mempunyai kesesuaian semula jadi untuk menjadi hab petroleum yang dinamik dan boleh kekal signifikan untuk tempoh masa yang panjang.
Ini termasuklah keluasan tanah yang baik, kedalaman semula jadi kawasan perairan sekitarnya, potensi infra yang tersedia dan yang paling penting - terletak dalam laluan dagangan utama industri minyak dan gas. Kesemua angkubah ini penting untuk mewujudkan sebuah hab petroleum yang cukup menarik dan lengkap.
Sudah ada janji politik pemimpin pembangkang di Johor untuk menamatkan riwayat RAPID/PIPC sekiranya mereka diberikan mandat oleh rakyat. Janji sama juga diberikan Ketua Pembangkang apabila berjanji untuk meruntuh dan membubarkan beberapa institusi seperti 1MDB dan sekiranya mereka diberikan mandat oleh rakyat.
Nampaknya dalam kalangan PKR dan Pas sendiri tidak jelas dengan apa yang mereka mahukan daripada penentangan berterusan terhadap projek RAPID/PIPC ini. Sementara Chua Jui Meng memberikan janji bahawa projek tersebut akan dibatalkan sama sekali, pemimpin Pas mahu lokasinya diinjakkan sedikit ke kawasan lain dan terus menjaga kepentingan penduduk. Sikap tidak konsisten ini dapat dibaca melalui laporan media sosial (http://www.malaysiandigest.com/news/36-local2/122011-protest-at-pengerang-refinery-project.html.).
Pemimpin Pas nampak lebih pragmatik dan tidak terlalu emosional dalam menilai projek di Pengerang. Yang nampak terlalu emosi dan tidak mahu dijalankan sepenuhnya adalah pemimpin PKR. Apakah ada keinginan untuk melakukan sabotaj kepada projek RAPID/PIPC - demi kepentingan politik? Soalan ini sewajarnya dijawab secara bersungguh oleh penduduk Pengerang dalam masa yang terdekat ini.
Waima apa pun yang ingin disampaikan, perlu ada imbangan dan nilaian yang tepat mengenai kepentingan nasional Pengerang kepada ekonomi negara. Kepentingan inilah yang nampaknya cuba dimainkan oleh pihak tertentu sebagai usaha mensabotaj potensi ekonomi Pengerang untuk tempoh masa panjang.
Mungkin perkara ini mudah pada mereka untuk menentang isu itu dan ini - sedang mereka sendiri tidak mempunyai perancangan jelas untuk membantu ekonomi negara dan rakyat. Elok sekiranya Ketua Pembangkang turun untuk membangkit sentimen rakyat di Pengerang, tanyakan sekali apakah kunci petunjuk prestasi seorang yang bernama Penasihat Ekonomi kepada sebuah negeri?
Berapa banyak pelaburan yang telah dibawa masuk oleh Penasihat Ekonomi ini? Berapa banyak pula peluang pekerjaan yang telah dicipta oleh pelaburan yang disusun oleh seorang yang bergelar Penasihat Ekonomi Negeri?
Sangat menyedihkan apabila seorang Ketua Pembangkang hanya mempunyai kerangka minda runtuh dan bubar - sedangkan dirinya punya tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan negara kekal kompetitif dan mampu bersaing di peringkat global.
Rakyat perlu memberi signal jelas, agenda mensabotaj ekonomi seperti ini tidak ada tempat dalam perancangan masa hadapan politik Malaysia.
Penulis ialah penganalisis sosial
No comments:
Post a Comment