Tuesday, 2 October 2012

Belum pun memerintah sudah membazir

SELAMA ini rakyat sudah tentu menyangka pemimpin pembangkang menaiki kapal terbang Cessna yang bergegar di sana sini dari ekor sampai ke muncung kapal terbang untuk ke mana-mana.
Namun pendedahan Utusan Malaysia baru-baru ini amat mengejutkan kerana pemimpin pembangkang juga hidup dalam kemewahan seolah-olah ahli perniagaan berjaya.
Turut berada dalam jet eksekutif tersebut ialah pemimpin wanita yang lantang mengkritik isu Pusat Fidlot Kebangsaan hingga menyebabkan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berundur sebagai Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Paku dulang paku serpih mengata orang dia yang lebih. Pemimpin politik sepatutnya berfikir panjang sebelum menghamburkan kritikan pedas berhubung sebarang isu melibatkan pemimpin negara. Jika menyewa jet sehingga RM96,000 untuk dua hari bukan pembaziran melampau apakah yang boleh disimpulkan dari perlakuan tersebut?
Dari mana datangnya dana puluhan ribu ringgit itu jika bukannya dari tabung parti masing-masing. Adakah ia sumbangan peribadi penyokong pembangkang mahupun tabung parti? Jika begitulah keadaannya, amat malang sekali penyokong parti Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyumbang dana dan infaq. Bayangkan duit hasil jualan meja peniaga dan penyokong PKR dan infaq dari duit bawah bantal penoreh getah penyokong Pas yang digunakan untuk membiayai kos menyewa jet eksekutif.
Lupakah pemimpin pembangkang bahawa perbuatan mereka menyewa kenderaan mewah jelas menghina pengorbanan penyokong yang mahu duit tersebut digunakan dengan berhemah bukannya untuk menyenangkan perut pemimpin pembangkang dan kroni mereka.
Baru-baru ini pembangkang mengatakan mereka menyewa bas dua tingkat untuk kegunaan membuat road show seluruh negara namun pendedahan terbaru menunjukkan ia merupakan bas yang dibeli atas nama seorang pemimpin pembangkang juga. Adakah budaya menipu sunat mahupun haram ini sudah melekat dalam diri pemimpin pembangkang?
Apa yang lebih menyedihkan dalam komponen tersebut terdapat pemimpin yang kononnya memperjuangkan Islam. Cukup-cukuplah menggunakan nama Islam sebagai topeng perjuangan anda . Apa guna menang pilihan raya tapi bersikap ular kepala dua. Di ekor pun ada kepala juga.
Rakyat Malaysia sudah pasti masih ingat apabila pemimpin pembangkang sering mengkritik pemimpin kerajaan BN seolah-olah bukan mereka yang membeli kereta Toyota Camry ratusan ribu ringgit dan cuba menganjurkan majlis ulangtahun Yayasan Selangor dengan belanja hampir RM2juta. Lebih malang pihak yang cuba membazir itu masih menjadi pengerusi yayasan tersebut. Di mana ketelusan kerajaan PKR Selangor selama ini? Jangan sampai harta benda Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tergadai kepada bank sudahlah.
Kepada pemimpin pembangkang di negara ini bangkitlah dari terus mempermainkan rakyat dengan kata-kata anda yang disiarkan di dunia siber.
Justeru, kepada rakyat negara ini yang menganggap kesenangan dan keamanan akan kekal selama-lamanya, sedarlah bahawa sikap pembangkang yang membazir ini menjadi taruhan untuk mereka memilih mereka sebagai wakil di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat. Jika kita mendengar ceramah pembangkang, semua yang kerajaan BN buat membazir dan apa yang mereka buat adalah yang terbaik.
Dulu pusat pentadbiran Putrajaya pun dikatakan membazir, namun hari ini siapa yang hendak merebutnya hingga berlambak fitnah dihamburkan kepada BN, seolah-olah semua perkara dilakukan BN tidak cocok dengan jiwa Islamik dan liberal mereka. Ayuh tolak pemimpin hipokrit!


No comments:

Post a Comment