Tuesday 2 October 2012

Jangan taksub kepada parti

SHAH ALAM 30 Sept. - Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak terlalu taksub kepada pemimpin dan parti politik yang mereka anggotai sehingga sanggup membiarkan perpecahan berlaku semasa sendiri.
Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria menegaskan, mereka boleh berbeza pendapat tetapi perlu dipastikan ia tidak menimbulkan perselisihan faham dan memutuskan persaudaraan Islam yang menjadi tonggak ajaran agama.
"Orang Melayu bergaduh dan bertelagah bukan kerana harta atau perempuan tetapi demi untuk merebut kuasa sedangkan dulu orang Melayu 500 tahun dijajah mereka taksub kepada agama hingga terpaksa diberikan kemerdekaan.
"(Sekarang) Oleh kerana kelemahahan kita dan ketinggalan dalam ekonomi dan sebagainya, maka kita tidak berjaya dominasi ekonomi sehingga menjadikan orang Melayu dan Islam terhimpit," katanya pada program Himpunan ke arah Penyatuan Umat di Kompleks Taman Seni Islam Selangor di sini hari ini.
Beliau yang pernah dikecam penyokong pembangkang kerana menggerakkan usaha kerjasama politik Pas dan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 berkata demikian ketika menjadi panel sesi 'Bahaya Ketaksuban'.
Bersama beliau sebagai panel pada sesi tersebut ialah Pengerusi Yayasan Darul Hanan, Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi Dasuki.
Forum dua hari yang berakhir hari ini dianjurkan oleh Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDAS).
Harussani berkata, masyarakat Islam di negara ini perlu bersatu jika mereka tidak mahu diperhambakan selain perlu berusaha untuk menjadi mereka yang profesional supaya dapat bersaing.
Beliau turut menegur sikap segelintir umat Islam yang lebih rela berpecah semasa orang Islam yang didakwa tidak Islam sedangkan dalam masa sama mengutamakan orang bukan Islam.
"Dulu cakap imam UMNO sembelih ayam haram, akhirnya ayam campak dalam sungai tetapi kini orang Islam minum ke kedai kopi orang bukan Islam tidak mengapa.
"Ini sebab fanatik dan taksub kepada pemimpin, dalam Islam boleh beza pendapat tetapi tidak boleh taksub kepada parti," katanya.
Malah kata beliau, terdapat pemimpin parti bertaraf ulama mengatakan berkawan dengan orang kafir lebih baik daripada berkawan dengan orang Islam yang zalim.
"Sedangkan perkara itu tidak ada dalam Islam. Sekarang kita ada masalah dalam soal kefahaman, kita perlu faham supaya yang dilakukan selaras dengan ajaran Islam," katanya.
Sementara itu pada sesi 'Mencari Persamaan, Memahami Perbezaan', Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin mengingatkan umat Islam tentang perancangan untuk menggugat kedudukan umat Islam di negara ini termasuk mengubah tonggak utama pembentukan negara seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi.
Beliau berkata, pihak berkenaan menggunakan pendekatan yang disebut sebagai 'garam dan ragi' iaitu memupuk dan melalaikan serta memperkembangkan usaha untuk melahirkan orang Islam menjadi manusia duniawi, gila jawatan, harta dan kuasa.
"Semua pihak perlu sedar perkara ini, malah telah pun berlaku ada parti yang kononnya memperjuangkan Islam tapi dipergunakan oleh pihak lain sehingga terpaksa akur dan diam," katanya.
Zulkifli berkata umat Islam di negara ini perlu terus bersatu kerana Malaysia menjadi harapan negara-negara Islam yang lain dalam memperjuangkan pelbagai isu membabitkan kepentingan umat Islam.
"Sebenarnya kita dilihat sebagai benteng terakhir oleh negara-negara Islam di dunia. Kita menjadi harapan mereka (negara Islam lain) jika kita hancur maka habis mereka," katanya


No comments:

Post a Comment