Sunday, 14 October 2012

Bisik-Bisik: Dinasti Lim

SELEPAS menang banyak kerusi peringkat negeri Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), DAP memanggil satu mesyuarat di Hotel Red Rock, Jalan Macalister. Satu soalan ditanya, siapa yang sewajarnya menjadi Ketua Menteri?
Lim Guan Eng lantas menawarkan diri sambil menyatakan bahawa sebagai Setiausaha Agung, beliau paling layak. Khabarnya, ada pemimpin DAP lain yang hadir pada mesyuarat itu agak tersentak. Sepatutnya, jawatan tersebut diberi kepada tokoh anak tempatan, Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.
Kisah tersebut sehingga hari ini menjadi bualan beberapa pemimpin dan bekas pemimpin DAP. Kon Yeow dikatakan lebih layak kerana beliau ialah anak jati Pulau Pinang berbanding Guan Eng yang merupakan calon payung terjun berasal dari Melaka.
Di peringkat akar umbi DAP negeri, Kon Yeow disenangi ramai kerana dilihat seorang yang berkebolehan, bersikap matang, merendah diri dan bersih. Cuma kekurangannya, beliau bukan anak Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang lebih empat dekad menguasai parti.
Ramai pemerhati politik termasuk orang dalam DAP sependapat bahawa peranan Kit Siang mempengaruhi pendakian politik Guan Eng. Bukan sahaja bagi jawatan parti sehingga diangkat menjadi Setiausaha Agung, bahkan turut dijadikan Ketua Menteri. Nama sahaja parti berlabel demokratik tetapi dikuasai dua beranak.
Sejarah menyaksikan bagaimana ramai pemimpin yang berkebolehan terpinggir dalam satu permainan politik halus olahan Kit Siang demi meneruskan dinastinya dalam DAP.
Hari ini, Guan Eng dilingkari banyak kelemahan dan isu termasuk imej angkuh yang dilemparkan kepadanya oleh pemimpin pakatan. Beliau juga kerap mengeluarkan kenyataan yang memudaratkan imej parti termasuk isu Johor tidak sesuai sebagai destinasi pelaburan kerana banyak berlaku jenayah.
Cakap-cakap mempersoalkan kewajaran Guan Eng sebagai Ketua Menteri kini berlegar. Ada yang mencadangkan agar jawatan Ketua Menteri, jika DAP terus memerintah selepas PRU13 dikembalikan kepada anak tempatan.
Awang percaya itu langkah yang baik. Pulau Pinang tidak ketandusan pemimpin negeri. Adalah suatu penghinaan menafikan hak rakyat negeri itu untuk mendapatkan peneraju rakyat tempatan. Lagipun Guan Eng terlalu yakin bahawa pakatan pembangkang akan memerintah negara. Maka beliau sepatutnya menumpukan sahaja kepada Pusat. Janganlah mahu membolot semua. Guan Eng faham apa yang dimaksudkan.
Sekadar rekod, antara kejayaan Kit Siang yang pasti dikenang adalah melorongkan laluan istimewa kepada anaknya ke persada kuasa parti. Memang Guan Eng bertuah. Anak bapaklah katakan.

Teresa dan maaf

AWANG ingin mengimbas peristiwa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang pernah membuat kenyataan di Dewan Rakyat berkaitan isu klip video seorang wanita melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel pada tahun 2005.
Beliau mendakwa wanita berkenaan seorang warga China. Insiden tersebut menggemparkan negara. Polis dihina dan kerajaan dipersalahkan. Malah Kabinet ketika itu mengutuskan seorang menteri ke China bagi memohon maaf, dalam satu tindakan yang turut mengundang kritikan.
Adalah tidak pasti sama ada tindakan Teresa Kok ketika itu didorong oleh semangat perkauman yang tebal tetapi itulah sentimen yang dimainkan oleh DAP.
Bagaimanapun dakwaan beliau kemudiannya didapati tidak benar. Wanita berkenaan sebenarnya rakyat tempatan - Melayu dan beragama Islam.
Selepas kisah sebenar diketahui ekoran siasatan yang dijalankan, Teresa Kok berdiam. Bukan itu sahaja beliau tidak memohon maaf atas apa yang telah dilakukannya. Tidak silap Awang, sampai hari ini, pemimpin DAP itu tiada usaha untuk bersikap budiman dan mengambil tanggungjawab mengakui kesilapannya. Sedangkan, ia adalah soal asas dalam prinsip demokrasi.
Apakah rakyat Malaysia, polis dan kerajaan, tidak layak mendapat kemaafan daripada Teresa Kok? Apakah beliau belum cukup keberanian dan keyakinan diri untuk melafazkannya atau perlu menunggu pada sisa usia tuanya nanti?
Sesungguhnya tidak sukar untuk menilai pemimpin jenis itu. Selagi Teresa Kok tidak memohon maaf secara terbuka, selagi itu Awang tidak menganggapnya sebagai pemimpin yang bersih nalurinya. Ia umpama pakaian yang kelihatan bersih di luar tetapi sebenarnya terpalit kotoran di dalam.



Undi Soros?

SETAKAT ini, Malaysiakini masih enggan memohon maaf kepada rakyat negara ini atas penglibatan beberapa pihak asing membiayai portal propembangkang itu.
Walaupun sudah ada bukti jelas operasinya dibiayai oleh organisasi luar termasuk penyangak mata wang Yahudi, George Soros, Malaysiakini bagaikan seronok seolah-olah apa yang berlaku itu sesuatu yang mulia.
Sampai hari ini juga portal tersebut seperti mahu menghina diri dengan terus menjual slogan kononnya ia mengamalkan kebebasan media sedangkan realitinya - tidak sama sekali. Malaysiakini dan Suaram baru-baru ini telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa menerima dana asing yang konsisten. Maka persoalan mengapa kedua-duanya menyokong pembangkang dan memburuk-burukkan kerajaan secara keterlaluan, sudah diketahui motifnya. Ia dilihat sebahagian daripada gerakan untuk menumbangkan kerajaan termasuk menerusi perhimpunan haram ganas yang dipromosi secara luar biasa oleh Malaysiakini.
Dalam pada itu, Awang hanya senyum apabila Malaysiakini mengalihkan isu kepada pertemuan antara Soros dan Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.
Kenapalah portal itu kabur sangat. Pertemuan Soros dengan kedua-dua tokoh negara itu adalah isu lain dan tiada kaitan sama sekali dengan soal menerima dana asing sebagaimana perbuatan Malaysiakini.
Awang harap Malaysiakini faham bahawa isunya bukan setakat dana asing dan kemungkinan wang kotor tetapi lebih daripada itu, ia soal kedaulatan negara. Dunia tahu bahawa Soros melalui yayasannya dan beberapa pertubuhan lain, membiayai banyak organisasi media di seluruh dunia. Sebagai balasan, media berkenaan mesti mengikut percaturan dan agenda mereka.
Lalu apa yang ditegaskan oleh Mahathir adalah berasas iaitu undi pembangkang bermakna undi kepada usaha Soros untuk menjajah Malaysia. Awang ingin menambah sedikit. Begitu jugalah setiap kali menyebut nama Malaysiakini, tergambarlah terus wajah Soros.

Islam liberal...

BUKAN sahaja Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sinikal terhadap Ketua Pembangkang Anwar yang melancarkan buku seorang tokoh Islam liberal di ibu negara baru-baru ini, ramai lagi yang menggeleng kepala.
Tindakan Anwar melancarkan karya bekas Ahli Parlimen India, Mobashar Jawed Akbar yang berfahaman liberal, mengundang keresahan umat Islam.
Pada majlis itu, Akbar meremehkan peranan Islam dalam pembentukan sebuah negara, yang kebetulan menjadi agenda Pas di Malaysia. ‘‘Islam adalah sebuah persaudaraan dan bukannya sebuah negara," kata beliau.
Kenyataan itu ditempelak oleh Haron. Beliau lalu meminta umat Islam tidak menganggap tindakan Anwar bersekutu dengan orang seperti Akbar sebagai sesuatu yang direstui Pas.
Ini bukan kali pertama Anwar menyekutukan diri dengan kelompok liberal termasuk personaliti yang kontroversial. Pada Mac lalu, pemimpin PKR itu menghadiri Persidangan India Today Conclave di Delhi, yang turut disertai penulis buku Satanic Verses, Salman Rushdie. Siapa yang tidak kenal penulis itu yang kini menjadi pujaan Barat kerana terang-terangan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Berbeza dengan Anwar, pemimpin pembangkang Pakistan, Imran Khan yang turut dijemput pada persidangan itu, enggan hadir kerana membantah Rushdie.
Ketegasan Imran mendapat pujian masyarakat Islam Pakistan. Tentu ada suatu dorongan yang kuat sehingga Anwar sanggup bersekutu dengan dengan Akbar dan Rushdie. Beliau juga dikatakan mempunyai rangkaian hubungan baik dengan beberapa lagi tokoh yang menghina Islam antaranya Irshad Manji, Ayaan Hirsi Ali dan Taslima Nasreeen.
Maka jangan terkejut jika mereka memuji Anwar sebagaimana dalam buku Irshad Manji, The Trouble With Islam Today: A Muslim‘s Call for Reform in Her Faith. Sedangkan penulis yang sama diketahui umum mempersoalkan syariat Islam dan ulama selain membela golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Yang jelas pemikiran kelompok itu bertentangan dengan fahaman Islam sebenar tetapi menghairankan mengapa Anwar mendokong tokoh-tokoh itu, apakah beliau juga teruja mahu menjadi idola Barat untuk tujuan tersirat? Atau sudah terperangkap dalam naluri gaya hidup bebas agar boleh dihalalkan golongan seperti itu?

Awang Selamat




No comments:

Post a Comment