Monday, 22 October 2012

Mitos politik baru

Penduduk Taman Putra Perdana, Puchong menunjukkan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 pakatan pembangkang yang gagal ditunaikan oleh kerajaan pimpinan PKR di Selangor. - Gambar hiasan
 
Istilah politik baru di Malaysia secara khususnya mula mendapat perhatian selepas Pilihan Raya Umum 1999. Pilihan raya itu menyaksikan parti-parti pembangkang buat pertama kali membentuk pakatan politik rentas kaum yang dinamakan Barisan Alternatif.
Menerusi pentas Reformasi ketika itu, organisasi-organisasi masyarakat sivil yang berlainan ideologi dan orientasi kaum juga galak membentuk pakatan mereka sendiri atas nama membawa pembaharuan politik. Buat seketika, politik Malaysia kelihatan tidak lagi dibatasi oleh perbezaan ideologi, kaum dan agama.
Beberapa ahli akademik mula menghasilkan karya ilmiah mengenainya. Antara yang terawal ialah Profesor Francis Loh Kok Wah dari Universiti Sains Malaysia. Beliau antara lain merujuk politik baru sebagai satu fenomena baharu dalam politik Malaysia, di mana faktor etnik dan agama tidak lagi mendominasi politik, tetapi sebaliknya telah digantikan oleh politik kepembangunan (developmentalism) dan demokrasi penyertaan (participatory democracy).
Selepas itu, ramai ahli akademik dan pemerhati politik mula mengupas fenomena politik baru di Malaysia menerusi tulisan-tulisan popular mahupun karya ilmiah.
Sarjana Barat, Meredith Weiss menerusi bukunya Protest and Possibilities: Civil Society and Coalitions for Political Change in Malaysia dan John Hilley, Malaysia: Mahathirism, Hegemony and the New Opposition secara tidak langsung menyentuh fenomena politik baru, yang dikaitkan dengan kemunculan pengaruh politik pembangkang dan organisasi masyarakat sivil secara lebih signifikan dalam pentas politik negara.
Selain itu, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO juga menulis sebuah buku mengenai politik baru.
Secara umumnya, politik baru dilihat sebagai satu perkembangan terkini dalam politik negara kita yang mana masyarakat tidak lagi menganggap etnik dan agama sebagai faktor penting dalam percaturan politik; kemunculan sistem dua parti menggantikan sistem pelbagai parti politik berasaskan kaum; politik pilihan raya menjadi semakin kompetitif dan kerajaan semakin responsif terhadap tuntutan rakyat; amalan demokrasi penyertaan diperkukuhkan dengan kebebasan individu dan kesamarataan hak; dan kemunculan parti-parti politik pembangkang sebagai pembawa obor politik baru.
Benarkah semua ini? Pada hemat saya, sebahagiannya benar.
Politik di negara kita menjadi semakin kompetitif dan terbuka yang mana parti-parti politik, baik Barisan Nasional (BN) atau pembangkang, bertanding di atas padang yang lebih rata. Dalam Pilihan Raya Umum 2008, buat pertama kali dalam sejarah, pembangkang menawan lima buah negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Dalam 16 pilihan raya kecil yang diadakan selepas itu, separuh daripadanya dimenangi oleh BN dan separuh lagi oleh pembangkang.
Dalam mana-mana sistem politik demokrasi, pilihan raya yang kompetitif biasanya menjadikan kerajaan lebih responsif terhadap tuntutan rakyat. Inilah yang berlaku di Malaysia. Kerajaan BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan pelbagai pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan dan pengurusan ekonomi negara.
Menerusi Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, kerajaan bersikap lebih terbuka dalam merangka pelbagai program yang mengutamakan kebajikan rakyat, dan memacu pertumbuhan ekonomi yang rancak dan mapan. Menerusi program transformasi politik pula, beberapa undang-undang yang dilihat menyekat kebebasan rakyat telah dipinda atau dimansuhkan.
Masyarakat awam juga telah mula dilibatkan secara langsung dalam pembuatan dasar penting negara. Misalnya, dalam penyediaan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, seramai hampir 50,000 orang awam dilibatkan menerusi tinjauan pendapat, temu bual bersemuka, perbincangan kumpulan fokus dan dialog ala town-hall yang diadakan di seluruh negara.
Tidak pernah dalam sejarah negara kita, sebegitu ramai orang awam dilibatkan secara langsung dalam proses pembuatan dasar negara. Ini menunjukkan bahawa proses pembuatan dasar di negara kita telah lebih daripada mencukupi untuk memenuhi ciri-ciri demokrasi penyertaan yang biasanya dikaitkan dengan proses pembuatan dasar di negara-negara maju.
Kesemua ini adalah cerminan kemunculan satu bentuk pembaharuan yang amat signifikan dalam politik negara kita. Inilah yang dikatakan politik baru.
Apa yang tidak benar tentang politik baru? Yang tidak benar ialah andaian bahawa obor politik baru dibawa oleh pembangkang dan organisasi-organisasi bukan kerajaan yang menentang BN. Andaian ini kadang kala menyebabkan segelintir ahli politik, termasuk dari BN, meletakkan perspektif yang kurang tepat mengenai politik baru.
Misalnya, pendedahan mengenai penyaluran dana asing daripada organisasi antarabangsa yang dimiliki oleh penyangak mata wang George Soros kepada beberapa organisasi tempatan untuk tujuan politik dilihat sebagai bertentangan dengan semangat politik baru. Saya tidak nampak apa justifikasinya.
Bagi saya campur tangan asing dalam hal ehwal politik sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat adalah politik lama.
Sejak berdekad yang lalu, dengan menggunakan kekuatan sumber kewangan dan perisikan, beberapa organisasi dari Barat diketahui telah memainkan peranan penting dalam menaikkan beberapa pemimpin boneka di negara-negara Afrika, Asia dan Timur Tengah. Tujuannya adalah untuk menjaga kepentingan mereka, bukan kepentingan rakyat di negara-negara berkenaan. Ini politik lama di kancah antarabangsa.
Politik lama yang membawa kepada penjajahan bentuk baru. Jadi, apakah mendedahkan kepincangan politik lama ini bertentangan dengan semangat politik baru? Saya tidak fikir begitu.
Di negara kita, obor politik baru sebenarnya dibawa oleh BN, bukan pembangkang. Masakan tidak, dalam kesibukan kepimpinan BN melakukan pelbagai transformasi dalam kerajaan, ekonomi dan politik, pemimpin pembangkang masih terperangkap dalam kotak pemikiran lama. Mereka tidak pernah membawa obor pembaharuan, apatah lagi menjadi pelopor politik baru.
Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat, walaupun telah 22 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan, masih merasakan bahawa tiada orang lain yang layak menggantikannya. Ini politik lama, bukan politik baru.
Anwar Ibrahim pula semakin seronok menjadi Ketua Umum PKR walaupun tidak pernah dipilih secara demokratik oleh ahli-ahli parti untuk berada di kedudukan paling tinggi dan paling berkuasa dalam parti itu. Ini adalah jelmaan politik lama yang diamalkan di negara-negara berpemerintahan diktator, bukan politik baru di sebuah negara demokrasi.
DAP pun tiada beza. Lim Kit Siang yang sudah terlibat dalam politik sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi, masih berlegar dalam lingkungan kuasa DAP. Walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan Setiausaha Agung, tetapi dinasti kuasa beliau dalam DAP diteruskan oleh anaknya Lim Guan Eng. Ini juga politik lama.
Sejak parti-parti pembangkang membentuk pakatan politik, daripada zaman Barisan Alternatif hingga kini, tiada pembaharuan yang dibawa oleh pembangkang yang boleh dibanggakan, baik dalam parti mahupun dalam kerajaan yang dipimpin oleh mereka. Mereka masih berada dalam kotak pemikiran politik lama dan mengamalkan politik lama. Andaian bahawa pakatan Pas, PKR dan DAP membawa obor politik baru adalah satu mitos.

No comments:

Post a Comment